#4289: Intelektual Hakiki

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. boleh terangkan kepada kami tentang kebijaksaan yang sebenar atau intelektual hakiki? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ‎﴿١٩٠﴾‏ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

(Surah al-Imran: 190-191)

Menjawab bagi persoalan di  atas kami katakan bahawa Islam adalah agama yang memartabatkan ilmu dan ilmuwan. Sejak dari wahyu pertamanya lagi umat manusia diseru untuk meneroka dan menguasai ilmu pengetahuan. Justeru, tiada siapa yang dapat menafikan bahawa ajaran Islam adalah terbina atas struktur ilmu yang hakiki. Islam sedari awal tidak pernah gentar untuk berhadapan dengan soal jawab mahupun hujahan. Bahkan Quran sendiri turut merakam sebahagian dari persoalan yang dikemukakan pelbagai pihak dan menjawabnya dengan tuntas. Dalam hubungan ini, statistik menunjukkan bahawa terdapat 15 ayat dalam Quran yang merakamkan soalan dengan uslub “mereka bertanya kepadamu” (يسئلونك).

Di zaman penurunannya, Quran berhadapan dengan golongan ahli kitab yang merupakan golongan ilmuwan dan pakar rujuk dalam banyak perkara terutama berkaitan dengan ilmu umat terdahulu dan hal ehwal umat akan datang. Mereka menjadi rujukan masyarakat Arab memandangkan mereka mempunyai pengetahuan yang luas dalam perkara berkenaan menerusi ilmu dari kitab yang diturunkan kepada nabi mereka. Malah Quran sendiri menyifatkan mereka sebagai ahli ilmu. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 107:

قُلْ آمِنُوا بِهِ أَوْ لَا تُؤْمِنُوا ۚ إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِن قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا

Maksudnya: “Katakan kepada manusia, “Berimanlah kalian dengannya atau tidak beriman dengannya, ia tidak memberi kesan pada Allah Sesungguhnya orang yang diberi ilmu dengan kitab-kitab sebelum al-Quran apabila dibacakan kepada mereka al-Quran, mereka akan tunduk sujud bersyukur kepada Allah”

(Surah al-Isra’ : 107)

Menurut ahli tafsir ( الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ ) “orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu” adalah ahli kitab. (Lihat al-Jami’ Ahkam al-Quran, 10/340 )

Walau bagaimanapun sebahagian besar dari ahli kitab seperti yang terserlah dalam Quran bukanlah dalam kalangan orang beriman. Bahkan lebih daripada itu, merekalah yang banyak mempertikai, menolak dan mempersenda ajaran Quran dengan menyelewengkan fakta dari kitab dan ilmu pengetahuan mereka atau menyembunyikannya. Justeru, ketinggian ilmu dan keluasan pengetahuan semata-mata tidak menjamin seseorang untuk menjadi seorang intelektual yang baik iaitu akur kepada kebenaran, menerima yang hak dan mengajak masyarakat untuk sama-sama mengamal dan mempertahankannya. Intelektual sebenar akan sentiasa mengkaji dan berusaha mencari kebenaran tanpa sebarang prejudis terhadap pandangan yang berbeza, juga tanpa rasa fanatik terhadap sesuatu idea atau teori, juga tanpa rasa taasub terhadap kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu. Hanya dengan ciri ini seperti yang dipamerkan oleh golongan Ulul Albab intelektual hakiki yang berpotensi untuk menyumbang idea, tenaga dan iltizam untuk kemakmuran dan keharmonian sejagat akan terlahir.

Antara contoh ilmuwan yang boleh dikategorikan sebagai intelektual Ulul Albab di zaman ini, Maurice Bucaille seorang profesor pakar bedah yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan Perancis untuk mengkaji tentang mumia Ramesses II atau Firaun Nabi Musa A.S. Hasil kajian makmal saintifiknya beliau telah berjaya menemui punca kematian Firaun. Beliau merumuskan bahawa Firaun mati disebabkan lemas di lautan, tulang dalam badannya patah tanpa mencederakan kulitnya kerana tekanan air laut yang terlalu kuat, tangan kirinya terkejang ke hadapan kerana cuba mempertahankan diri dari hempasan air kuat secara tiba-tiba dan mayatnya telah berjaya dikeluarkan dari laut dengan segera untuk diawet sebelum membusuk. Walau bagaimanapun seperkara yang membingungkan beliau apabila diberitahu bahawa dapatan kajiannya telah disebut dengan jelas oleh Quran, sedangkan perkara itu tidak beliau temui dalam Taurat. Hal ini telah mendorong beliau untuk mengkaji lanjut dan membandingkan antara fakta penemuan saintifik antara Taurat, Injil dan Quran. Hasilnya setelah 10 tahun mengkaji, beliau telah berjaya menerbitkan sebuah buku yang mengejutkan dunia ilmu pengetahuan pada kurun ke-20 sehingga diulang cetak beberapa kali dan diterjemahkan dari bahasa asalnya Perancis, ke beberapa bahasa lain termasuk Inggeris, Jerman, Arab, Turki dan Indonesia dengan judul “Bibel, Quran dan Sains Modern.”(Lihat JIhad Mi’ath Min Uzama Ummat al-Islam Ghayyaru Majra al-Tarikh,254-257)

Inilah antara contoh cendekiawan berciri Ulul Albab yang bekerja keras mencari kebenaran dan akur kepada hakikat ilmu tanpa sebarang prejudis mahupun fanatik kepada teori, fahaman dan pegangan lama beliau. Tidak menyembunyikan fakta atau memesongkannya semata-mata untuk menjaga kepentingan peribadi atau kumpulan, malah sanggup meninggalkan agama anutan keluarga dan kumpulan sendiri untuk melafaz syahadah atas penemuan penting yang menjadi ciri utama agama ini iaitu keserasian tidak berbelah bahagi antara hakikat ilmu dan wahyu.

Justeru, usaha berterusan pihak berwajib dalam instiusi pendidikan negara ini untuk melahirkan generasi Ulul Albab bercirikan 16 ayat mengenainya dalam Quran, seperti yang di martabatkan oleh kementerian Pendidikan Malaysia melalui berbagai inisiatif dan insentif sewajarnya diberi sokongan padu oleh masyarakat Muslim sebagai sebahagian daripada tanda beramal dengan ayat ini. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/537-538)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam