Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bagaimana cara yang terbaik dalam jihad melawan nafsu? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَىٰ أَن تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ ۚ فَعَسَى اللَّهُ أَن يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِّنْ عِندِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا أَسَرُّوا فِي أَنفُسِهِمْ نَادِمِينَ ﴿٥٢﴾ وَيَقُولُ الَّذِينَ آمَنُوا أَهَٰؤُلَاءِ الَّذِينَ أَقْسَمُوا بِاللَّهِ جَهْدَ أَيْمَانِهِمْ ۙ إِنَّهُمْ لَمَعَكُمْ ۚ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَأَصْبَحُوا خَاسِرِينَ
Maksudnya: Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya. Dan (telatah kaum munafik itu menjadikan) orang-orang yang beriman berkata: “Adakah mereka ini orang-orang yang bersumpah dengan nama Allah, dengan sebenar-benar sumpahnya, bahawa mereka benar-benar menyertai dan menolong kamu?” Telah gugurlah amal-amal mereka, lalu menjadilah mereka: orang-orang yang rugi.
(Surah al-Maidah:52-53)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Jihad melawan nafsu adalah perkara yang perlu untuk setiap umat Islam mengambilberat kerana ia merupakan jihad untuk mengawal diri dari dikuasai oleh hawa nafsu. Cara untuk berjihad melawan nafsu mempunyai empat peringkat iaitu:
- Melakukan jihad terhadap diri supaya mempelajari petunjuk dan agama yang sebenar.Tiada kebahagiaan dan kejayaan untuk diri sendiri tanpanya dan tiada kebahagiaan di dunia dan akhirat tanpanya. Apabila jiwa tidak dibekalkan dengan ilmu, makamalanglah seseorang itu di dunia dan akhirat.
- Berjihad terhadap diri supaya mengamalkan ilmu yang diperoleh. Apabila seseorang itu tidak mengamalkannya, maka ilmu yang dipelajari hanya sekadar menjadi ilmu tanpa amal. Walaupun tidak membahayakannya, tetapi tiada manfaat yang dapat diambil.
- Berjihad terhadap diri supaya berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada orang- orang yang tidak mengetahuinya. Sekiranya seseorang itu tidak melakukannya, dia termasuk dalam golongan yang menyembunyikan apa yang Allah SWT turunkan daripada petunjuk dan penerangan. Ilmunya tidak memberikan manfaat dan tidak dapat menyelamatkannya daripada seksaan Allah SWT.
- Berjihad dengan kesabaran ketika mengalami kesukaran dan seksaan daripada makhluk dalam berdakwah pada jalan Allah SWT dan menanggung semuanya denganmengharapkan redha Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan,1/776-777)
Justeru, berjuang melawan hawa nafsu (mujahadah linafsihi) merupakan salah satu keperibadian yang harus ada pada diri kerana setiap manusia memiliki kecenderungan pada melakukan perkara baik atau buruk. Melaksanakan kecenderungan pada perkara yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan dan kesungguhan itu akan ada di dalam seseorang yang berjuang dalam melawan hawa nafsu.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahua’lam