#4292: Iktibar Kebinasaan Umat Terdahulu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa yang dapat kita ambil apabila membaca al-Quran yang terkait dengan kebinasaan dengan umat-umat terdahulu? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَٰكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.

(Surah Yusuf:111)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahwa Allah SWT menegaskan bahawa dalam kisah Yusuf A.S terdapat peringatan dan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. Adapun orang-orang yang lalai dan ingkar, mereka tidak menggunakan akal mereka untuk berfikir, lalu mereka tidak dapat mengambil sebarang pengajaran berfaedah daripada kisah tersebut. Kisah tersebut bukanlah suatu cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang mahu beriman.

Kesan-kesan kebinasaan umat yang silam boleh menyedarkan hati manusia yang mengambil pengajaran daripadanya. Renungan yang dibuat oleh mereka dapat menimbulkan kesedaran di dalam hati manusia. Justeru itulah, al-Quran mengalakkan umat manusia supaya merenungi kesan-kesan daripada kebinasaan umat pada zaman lampau, supaya ia boleh dijadikan sebagai pengajaran.

Objektifnya adalah supaya mereka insaf bahawa nasib mereka juga mungkin akan sama sebagaimana nasib umat-umat terdahulu, sekiranya melakukan kesilapan yang sama. Sekiranya kesilapan tersebut terus berulang, mereka berkemungkinan akan dilenyapkan dari muka bumi ini. Oleh itu, perhatilah dan ambillah pengajaran daripada kesan yang berlaku terhadap umat yang silam. Utamakanlah kenikmatan akhirat yang kekal abadi, berbanding dengan kenikmatan dunia yang sementara.

Justeru, semua kisah di dalam al-Quran adalah sebaik-baik kisah yang diceritakan. Mempunyai hikmah yang tinggi dan pengajaran yang menjadi panduan hidup untuk umat ini. Kisah di dalam al-Quran juga dikaitkan dengan sifat keadilan Allah SWT yang memberi hukuman kepada kaum yang mendustakan-Nya. Selain itu, ia juga memberi kekuatan dan semangat kepada Nabi SAW dalam menghadapi cabaran dakwah kepada kaumnya. Memberi galakan kepada umat Islam untuk terus istiqamah dengan iman yang teguh. Dan sudah menjadi sunnatullah yang akhirnya akan memberi kemenangan kepada umat Islam. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/578)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Wallahua’lam