#4299: Menolak Teori Darwin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah manusia berasal dari monyet atau spesis kera ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ يُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ثُمَّ لِتَكُونُوا شُيُوخًا ۚ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ مِن قَبْلُ ۖ وَلِتَبْلُغُوا أَجَلًا مُّسَمًّى وَلَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan).

(Surah Ghafir: 67)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Allah SWT menerangkan proses penciptaan manusia menerusi ayat 67 Surah Ghafir. Proses penciptaan manusia begitu tersusun dan mengandungi iktibar bahawa manusia ialah makhluk yang istimewa dan dilahirkan untuk memikul sebuah tanggungjawab kehidupan. Penciptaan manusia berbeza dengan penciptaan makhluk lain seperti binatang kerana manusia dikurniakan akal, roh, sanubari, fizikal dan kewibawaan selaku khalifah Allah. Teori penciptaan manusia seperti teori Darwin banyak merendahkan martabat manusia. Paling utama, teori sedemikian tertolak di sisi Islam kerana berlawanan dengan nas-nas agama yang meletakkan manusia di bawah penciptaan Tuhan secara langsung.

Teori Darwin diasaskan Charles Robert Darwin yang berasal daripada keturunan Yahudi. Darwin menyusun teori ini menerusi buku The Origin of Species by Means of Natural Selection, or the Preservation of Favoured Races in the Struggle for Life. Teori ini berhujah perubahan atau evolusi manusia adalah disebabkan persekitaran dunia. Penyebab utama perubahan ialah mana-mana makhluk yang paling kuat menyesuaikan diri dengan alam habitatnya akan membentuk fizikal dan persekitaran baharu. Kemudiannya berkuasa memiliki keturunan yang bertahan hidup.

Menurut kajian Ahmad Syafii, Dekan Fakulti Usuluddin IAIN Palu, beliau menyatakan hasil beberapa keterangan sains, sebenarnya evolusi makhluk khasnya manusia tidak pernah berlaku perubahan sedemikian dari dahulu sehingga ke zaman sekarang. Antara buktinya, tiada fosil yang menerangkan perubahan mana-mana makhluk secara berperingkat ditemui. Sepatutnya terdapat peninggalan tertentu disebabkan teori Darwin memperkatakan kehebatan makhluk yang berkuasa atau berpengaruh terhadap persekitaran atau habitat. Keadaan teori ini sepatutnya menemukan sesuatu bukti.

Ahmad Syafii mewakili para pemikir Islam berhujah bahawa ramai manusia bertanyakan siapakah makhluk hidup pertama muncul di muka bumi. Para pendokong evolusi menjawab makhluk hidup pertama adalah sel tunggal yang terbentuk dengan sendirinya berpunca daripada objek mati secara mutlak. Objek yang mati akan terus mati dan muncul pula objek hidup yang lain. Perubahan ini berlaku secara kebetulan.

Jawapan ini bertentangan dengan salah satu prinsip biologi bahawa kehidupan boleh berasal dari kehidupan sebelumnya bukan daripada objek yang mati secara mutlak. Ini kerana objek yang mati secara mutlak tidak akan melahirkan kehidupan.

Justeru, Teori Darwin adalah terbatal dengan prinsip biologi. Al-Quran al-Karim sendiri mengetengahkan kenyataan bahawa “kehidupan boleh muncul daripada perkara yang dilihat mati atau perkara yang hidup”. (Lihat Kritik Islam Atas Teori Evolusi Darwin, 3/267-270)

Setiap makhluk yang hidup dan muncul di bumi adalah diciptakan Allah Yang Maha Hidup. Firman Allah SWT:

 يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَيُحْيِي الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا ۚ وَكَذَٰلِكَ تُخْرَجُونَ

Maksudnya:  Ia mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup, serta menghidupkan bumi sesudah matinya; dan sedemikian itulah kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur)

(Surah al-Rum: 19)

Begitu juga firman Allah SWT:

 وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ ۚ وَلَهُ الْمَثَلُ الْأَعْلَىٰ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: Dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Rum: 27)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua`lam.