#4300: Terjemahan al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimana hakikat sebenar menterjemah al-Quran ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

حم (1) تَنزِيلٌ مِّنَ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ (2) كِتَابٌ فُصِّلَتْ آيَاتُهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِّقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (3) بَشِيرًا وَنَذِيرًا فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ (4) وَقَالُوا قُلُوبُنَا فِي أَكِنَّةٍ مِّمَّا تَدْعُونَا إِلَيْهِ وَفِي آذَانِنَا وَقْرٌ وَمِن بَيْنِنَا وَبَيْنِكَ حِجَابٌ فَاعْمَلْ إِنَّنَا عَامِلُونَ

Maksudnya: Haa, Miim  Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya. Dan mereka berkata: “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk ugamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)!

( Surah Fussilat  1-5)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa: Memandangkan al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab, sewajarnya ia difahami berdasarkan tatabahasa ia diturunkan. Menurut al-Razi, kebanyakan ahli kalam berpandangan bahawa perkataan dalam al-Quran wajib dipadankan dengan maknanya yang sebenar mengikut kaedah Bahasa Arab. Sebarang usaha memadankan manamana perkataan dalam al-Quran dengan makna yang lain daripada yang disepakati oleh ahli Bahasa Arab termasuk dalam kategori takwil yang batil. Hal ini adalah seperti yang dilakukan oleh sebahagian golongan Batiniyyah yang mentafsirkan perkataan-perkataan.al-Quran berasaskan Hisab Jummal dan sebagainya. Begitu juga tafsiran yang dilakukan oleh sebahagian golongan sufi yang diistilahkan sebagai Ilmu Mukasyafah

Menurut al-Razi lagi , ungkapan ( قرآنا عربيا ) dalam ayat 3 Surah Fussilat bermaksud ayat-ayat al-Quran itu dibentuk menggunakan perkataan-perkataan Arab yang memiliki maknanya yang tersendiri dalam Bahasa Arab. Jika ia digunakan pada selain daripada makna yang telah disepakati oleh penutur Bahasa Arab, perbuatan tersebut telah menyalahi kebenaran. (Lihat Tafsir al-Kabir, 27/539)

Namun, kami berpandangan menterjemahkan al-Quran dengan pengertian mentafsirkannya  ke dalam bahasa penerima adalah diharuskan, bahkan dituntut agar isi kandungan al-Quran ini benar-benar difahami oleh semua umat Islam.  Ini kerana Allah SWT berfirman:

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya:  dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.

Sebagai kesimpulannya kami katakan menterjemahkan al-quran  dengan makna menjelaskan dalam bahasa penerima  adalah diharuskan selagimana tidak mengubah makna yang asal. Ini kerana al-quran hendaklah difahami oleh semua umat islam kerana ia merupakan panduan bagi kehidupan seorang muslim.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.