#4304: Al-Quran Bukan Karangan Nabi Muhammad SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimana cara kita menolak fahaman orientalis yang mengatakan al- quran karangan nabi muhammad saw? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا ۖ فَإِن يَشَإِ اللَّهُ يَخْتِمْ عَلَىٰ قَلْبِكَ ۗ وَيَمْحُ اللَّهُ الْبَاطِلَ وَيُحِقُّ الْحَقَّ بِكَلِمَاتِهِ ۚ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Maksudnya: (Orang-orang kafir tidak mengakui kerasulan Nabi Muhammad) bahkan mereka mengatakan: “Ia telah mereka-reka perkara dusta terhadap Allah” (Sebenarnya tidak patut mereka berkata demikian) kerana Allah berkuasa – jika Ia menghendaki – menutup hatimu (dan ingatanmu daripada menyatakan apa yang engkau telah nyatakan itu, tetapi Allah tidak menghendaki yang demikian, bahkan Ia memberi kuasa menyampaikan perintahNya, maka semua kenyataan yang engkau sampaikan adalah benar belaka). Dan sememangnya Allah tetap menghapuskan perkara yang salah serta Ia menetapkan yang benar dengan kalimah-kalimah wahyuNya dan keputusanNya. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

(Surah al-syura: 24)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Pandangan dangkal bahawa al-Quran ialah karangan Nabi Muhammad SAW yang  telah diutarakan seawal penurunan al-Quran sehingga kini. Para ulama silam dan kontemporari telah memberi sumbangan besar dalam menegakkan kebenaran dengan menolak dakwaan ini berdasarkan hujah yang jitu dan padu, antaranya:

  • Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Perkara ini dijelaskan dengan banyak sekali menerusi ayat al-Quran antaranya surah al-A’raf: 158-157 dan surah al-Jum’ah: 2. Begitu juga dalam hadis banyak memperkatakan tentang perkara tersebut. Justeru, bagaimana mungkin seorang yang buta huruf mampu mengarang al-Quran dengan gaya bahasa sastera yang begitu unggul dan tinggi nilainya?
  • Isi kandungan al-Quran banyak menyentuh perkara ghaib yang berkaitan kisah umat terdahulu dengan fakta sejarah yang tepat seperti kisah ashabul kahfi, kapal Nabi Nuh A.S, kerajaan Saba’, Nabi Sulaiman A.S dan banyak lagi. Begitu juga perkara ghaib akan datang seperti peristiwa kemenangan Rom dalam surah al-Rum, gambaran hari kiamat, gambaran Abu Lahab di neraka sedangkan dia masih hidup, pembongkaran sikap golongan munafik dan banyak lagi. Perkara-perkara seumpama ini sama sekali tidak boleh dilakukan oleh mana-mana genius di dunia kerana ia melibatkan perkara ghaib. Justeru, mustahil Nabi Muhammad SAW mereka-reka al-Quran dengan tangannya sendiri.
  • Nabi Muhammad SAW sendiri ditegur oleh Allah SWT di dalam al-Quran sepertimana yang dikisahkan dalam surah Abasa: 11-1, al-Kahfi: 24-23, al-Anfal: 68-67 dan lain-lain. Lazimnya, seseorang pengarang pasti akan menyembunyikan kekurangannya dan menzahirkan apa yang menjadi kemegahan dan kemasyhuran diri sahaja. Namun, dalam al-Quran tidak menyebut pun kisah isteri kesayangan Nabi SAW, Saidatina Khadijah binti Khuwailid, putera puteri Rasulullah SAW dan seumpamanya melainkan ia mengandungi pengajaran dan hukum syariat bagi umat Islam.
  • Terdapat banyak ayat kauniyah yang menceritakan tentang kejadian alam semesta secara ilmiah sama ada di angkasa lepas, dalam bumi, dasar lautan, alam flora dan fauna, proses kejadian manusia dalam janin dan seumpamanya.Hakikatnya, zaman penurunan al-Quran masih belum wujud peralatan canggih berteknologi tinggi yang mampu meneropong jauh ke tempat yang tidak mampu diterokai oleh manusia. Maka, bagaimana golongan orientalis boleh mendakwa bahawa al-Quran karangan Nabi Muhammad SAW?
  • Kelewatan penurunan wahyu hingga menyebabkan Nabi Muhammad SAW terbeban dan berat hati dalam beberapa keadaan seperti kelewatan penurunan surah al-Kahfi, kisah fitnah al-Ifk terhadap Saidatina Aisyah, begitu juga kerinduan Nabi SAW kepada Jibril yang menurunkan wahyu dan lain lain menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak memiliki sebarang kemampuan untuk menulis dan mereka-reka al-Quran.

Justeru kami katkan di sini bahawa dakwaan tidak berasas yang dilemparkan oleh golongan orientalis ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk memisahkan hubungan al-Quran sebagai wahyu samawi daripada Allah SWT. Namun, segala dakwaan dan tohmahan mereka telah dipatahkan dengan hujah yang jitu berasaskan bukti yang benar.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.