#4305:  Mukjizat Al-Quran Dari Sudut Bahasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah al-Quran mempunyai mukjizat termasuk dari segi bahasa ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الم (1) ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Alif, Laam, Miim.  Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

( Surah al-Baqarah 1-2)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Mukjizat al-Quran dapat dilihat menerusi aspek keindahan bahasa dan balaghah sehingga mempersonakan seluruh penyair di Semenanjung Tanah Arab ketika itu. Bahasa al-Quran sangat unik kerana dalam satu masa ia menyentuh akal, hati, emosi dan jiwa pembaca dan pendengarnya. Setiap ayat merangkumi pelbagai aspek dalam bahasa seperti gaya bahasa yang tinggi, bentuk pengucapan yang indah, susunan kata yang tepat dan lunak, mengandungi sistem perundangan yang hebat, hukum hakam yang sesuai pada setiap masa dan tempat dan pemberitahuan mengenai perkara ghaib. (Lihat Pengantar Ijaz al-Quran, hlm. 34.)

Sebagai contoh dalam al-Quran terdapat beberapa kalimah yang merujuk kepada makna hujan, antaranya (الحساب), (الودوق) , (الطل), (الصيب) ,(الوابل) ,(الماء) ,(المطر) ,(الغيث). Sementara hujandalam makna majazi ialah seperti (الرحمة), (الرزق), (السماء) dan (الرجع). (Lihat Mufradat al-Matar fi Dhaw’ al-Nudzm al-Quraniy wa al-Ilm al-Tajribiy. 34-38.)

  • Kalimah ( المطر ): Ramai orang menganggap kalimah al-matar bermaksud hujan yang menyuburkan bumi dan mengeluarkan tumbuhan bagi manfaat makhluk di bumi. Sebenarnya, kalimah al-matar hanya digunakan dalam al-Quran bagi maksud azab yang diturunkan oleh Allah SWT untuk membinasakan kaum yang ingkar. Kalimah al-matar tidak membawa makna hujan rahmat tetapi hujan azab yang membawa kehancuran dan kebinasaan pada penduduk bumi sebagaimana yang dinyatakan dalam kisah kaum terdahulu contohnya dalam surah al-A’raf: 84, al-Hijr: 74, al-Naml: 58, al-Anfal:32 dan lain-lain.
  • Kalimah ( الغيث ): Telah dijelaskan dalam bayan kalimat secara terperinci yang membawa makna hujan rahmat dan membawa kehidupan kepada seluruh makhluk.
  • Kalimah ( الماء ): Air dan semua yang dinamakan air asalnya diturunkan dari langit, iaitu hujan.
  • Kalimah ( الوابل ): Sesuatu yang berat dan berbahaya iaitu hujan yang turun dengan lebatnya. Ia merujuk kepada makna peringatan dan perumpamaan kepada golongan yang menginfakkan harta.
  • Kalimah ( الصيب ): Awan tebal, sesuatu yang turun dan menimpa, iaitu hujan lebat yang turun dalam konteks kemenangan. Dalam al-Quran hanya dinyatakan sebagai perumpamaan kepada golongan munafik yang ditimpa hujan lebat pada surah al-Baqarah: 19.
  • Kalimah ( الطل ): Hujan gerimis, ringan dan tidak lebat. Hujan yang sedikit dan tidak memberi kesan kecuali sedikit sahaja. Dalam al-Quran ia merujuk kepada perumpamaan infak dengan harta yang sedikit dalam surah al- Baqarah: 265.
  • Kalimah ( الودق ): Hujan secara umum sama ada lebat atau sebaliknya. Semua titisan air yang turun dari langit dinamakan al-Wadq.
  • Kalimah ( الحسبان ): Hitungan dan husban sesuatu yang tidak terhitung kerana banyaknya. Dalam konteks hujan, ia adalah gabungan titisan air hujan yang sangat banyak serta angin yang kencang hingga membawa bencana kepada tanaman.

Berkaitan hujan dan hubungannya dengan mukjizat al-Quran juga, surah al-Hijr, ayat 22 memberi ilham kepada kita bagaimana menggunakan angin untuk pembenihan sebelum turunnya hujan. Pembenihan panas dilakukan pada suhu awan yang melebihi suhu beku dan menggunakan bahan higroskopik yang mempunyai keupayaan menarik dan menyerap air dalam atmosfera untuk menggalakkan pembentukan titisan air yang lebih besar dan seterusnya diturunkan sebagai hujan. Teknik ini lebih sesuai digunakan pada kawasan yang mempunyai cuaca seperti di Malaysia.[1]

Sebagai kesimpulannya kami katakan  al-Quran merupakan kitab mukjizat kerana tidak ada makhluk, baik manusia maupun jin, yang akan mampu menciptakan sebuah kitab seumpamanya sekalipun mereka bekerja sama dengan sepenuh kesepakatan dan keahlian mereka. Ini menegaskan bahawa perkataan makhluk tidak akan pernah mampu menyamai keagungan dan keindahan kata-kata yang berasal dari Sang Maha Pencipta, yang tidak ada tandingannya di alam semesta ini.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.

Nota kaki:

[1] Ts. Muhammad Nazir. Menerokai Rahsia S.T.E.M Dalam Al-Quran. https://youtu.be/VMjvybtX3TI