#4306: Nabi SAW Adalah Syahid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada mendengar ucapan Abu Ubaidah yang menyebut selawat dan salam ke atas nabi yang mujahid dan syahid. Adakah benar Rasulullah SAW mati syahid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, Rasulullah SAW tidaklah mati syahid, dalam erti kata terbunuh atau mati dalam peperangan. Tetapi yang berlaku bagi mereka yang menganggap Rasulullah SAW syahid kerana pernah diracun oleh wanita Yahudiyyah. Kami nukilkan di sini seperti yang dinyatakan oleh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, katanya, setelah Rasulullah SAW selesai menakluki Khaibar dan keadaan kembali tenteram, seorang wanita bernama Zainab bin al-Harith menghadiahkan daging kambing yang dipanggang kepada Rasulullah SAW. Zainab merupakan isteri Sallam bin Misykam. Sebelum itu, dia bertanya orang tentang bahagian kambing yang paling disukai oleh Rasulullah SAW. Lalu diberitahu kepadanya bahawa Rasulullah SAW menyukai bahagian paha kambing.

Zainab meletakkan racun yang banyak pada bahagian paha daging kambing itu dan melumurkan racun di seluruh bahagian daging yang lain. Kemudian dia pergi membawa daging itu dan meletakkannya di hadapan Rasulullah SAW. Baginda SAW lalu mencapai paha kambing dan menjamahnya dengan satu kunyahan, tetapi tidak menelannya, sebaliknya Baginda terus meludahnya. Kemudian Rasulullah SAW berkata:

إِنَّ هَذَا الْعَظْمَ لَيُخْبِرُنِي أَنَّهُ مَسْمُومٌ

Maksudnya: “Tulang ini memberitahuku bahawa ia dibubuh racun.”

Setelah Zainab dipanggil, dia pun mengaku meletakkan racun pada daging kambing itu. Rasulullah SAW bertanya, “Mengapa engkau melakukan begitu?” Zainab menjawab, “Saya berbicara sendiri sebelum melakukan perbuatan ini, bahawa jika dia (Nabi) ialah seorang raja, dapatlah saya berlapang diri daripadanya. Dan jika dia seorang Nabi, tentulah dia akan diberitahu.” Lalu Rasulullah SAW bersabda:

مَا كَانَ اللَّهُ لِيُسَلِّطَكِ عَلَى ذَاكِ

Maksudnya: “Allah SWT tidak akan membenarkan perkara itu berlaku (terbunuh dengan racun).”

Riwayat al-Bukhari (2474) dan Muslim (2190)

Ketika itu, yang duduk bersama-sama Rasulullah SAW ialah Bisyr bin al-Barra’ bin Ma‘rur. Dia sempat memakan daging kambing itu, lalu meninggal dunia disebabkannya. Terdapat perbezaan riwayat sama ada Rasulullah SAW memaafkan Zainab atau membunuhnya. Namun, kesemua riwayat itu bersetuju mengatakan bahawa pada awalnya, Rasulullah SAW memaafkan Zainab. Namun, apabila Bisyr meninggal dunia kerana memakan daging kambing itu, maka wanita itu dibunuh sebagai pembalasan qisas terhadapnya. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 2/139; Fath al-Bari, 7/497; al-Sirah al-Nabawiyyah, 2/337; al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 558-559)

Syeikh Badr al-Din al-‘Aini mengatakan, ini merupakan mukjizat Rasulullah SAW yang jelas, Baginda tidak terkesan dengan racun tersebut yang mana jika seseorang itu makan, maka boleh menyebabkan kematian. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 15/92)

Imam al-Zurqani pula menyebutkan, antara mukjizat Rasulullah SAW adalah tidak terkesan dengan racun pada ketika itu, kerana mereka (kuffar) berkata: “Seandainya dia seorang Nabi, maka racun ini tidak akan memudharatkannya, dan jika dia sekadar seorang raja, maka kami berehat dengan pemergiannya.” Apabila Baginda SAW tidak terkesan dengan racun itu, mereka pun yakin dengan kenabian Baginda sehingga dikatakan bahawa wanita Yahudiyyah itu memeluk agama Islam. Selepas 3 tahun barulah racun ini memberi kesan bagi memuliakan Rasulullah SAW dengan mati dalam keadaan syahid. (Lihat Syarh al-Zurqani ‘ala al-Mawahib al-Ladunniyyah, 12/94)

Imam Ibn al-Qayyim juga mengkhabarkan perkara yang sama, bahawa Rasulullah SAW kekal hidup dan tidak terkesan dengan racun tersebut selama 3 tahun. Baginda SAW kemudiannya meninggal dalam keadaan syahid kerana racun itu. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 4/111)

Ini jelas sebagaimana yang thabit dalam riwayat Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ ﷺ يَقُولُ فِي مَرَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ: يَا عَائِشَةُ مَا أَزَالُ أَجِدُ أَلَمَ الطَّعَامِ الَّذِي أَكَلْتُ بِخَيْبَرَ، فَهَذَا أَوَانُ وَجَدْتُ انْقِطَاعَ أَبْهَرِي مِنْ ذَلِكَ السُّمِّ

Maksudnya: “Nabi SAW bersabda ketika sakit yang menyebabkan Baginda SAW wafat: ‘Wahai Aisyah, aku masih merasa sakit disebabkan makanan yang aku makan di Khaibar. Pada saat ini, aku merasakan urat nadiku terputus kerana racun itu’.”

Riwayat al-Bukhari (4428)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan yang kami bawakan, benarlah bahawa Rasulullah SAW itu seorang syahid, seperti yang saudara dengar dalam ucapan Abu Ubaidah (jurucakap Briged al-Qassam) yang menyebut selawat dan salam ke atas nabi yang mujahid dan syahid.

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan kita kefahaman, kecintaan serta keimanan terhadap Rasulullah SAW serta sirah hayat Baginda. Dan kami juga berdoa agar kita semua dikurniakan pengakhiran hidup yang baik, di atas aga Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا الإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِينَ‏.‏ اللَّهُمَّ تَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ، وَأَحْيِنَا مُسْلِمِينَ، وَأَلْحِقْنَا بِالصَّالِحِينَ، غَيْرَ خَزَايَا وَلاَ مَفْتُونِينَ

Maksudnya: “ Ya Allah, cintakan pada diri kami keimanan dan hiaskanlah hati-hati kami dengan iman. Dan bencikan diri kami terhadap kekufuran, kefasikan serta kemaksiatan. Jadikan kami di antara orang-orang yang diberikan petunjuk. Ya Allah, wafatkan kami dalam keadaan Islam, hidupkan kami dalam keadaan Islam dan sertakan kami bersama dengan orang orang soleh yang tidak hina dan tidak pula terfitnah.”

Wallahu a‘lam