#4307: Tafsir ayat 4 Surah al-Zumar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ustaz ceritakan berkenaan perumpamaan Allah SWT mengambil anak seperti dalam Surah al-Zumar ayat 4?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 لَّوْ أَرَادَ اللَّهُ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا لَّاصْطَفَىٰ مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۚ سُبْحَانَهُ ۖ هُوَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ

Maksudnya: “Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Ia memilih mana-mana yang dikehendakiNya dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya; Maha Sucilah Ia (dari menghendaki yang demikian). Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya.”

(Surah al-Zumar: 4)

Imam al-Qurtubi mengatakan, sekiranya Allah SWT ingin menggelar seseorang dari kalangan makhluknya dan menjadikannya anak, nescaya Allah SWT tidak akan menyucikan dirinya dari sebarang anak sebagaimana dalam firmannya: (هُوَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ) yang bermaksud “Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 15/234)

Imam Ibn Kathir menambah, akan tetapi hakikatnya bertentangan dengan sangkaan mereka (yang menyangka bahawa Allah SWT mempunyai anak). Allah SWT menggunakan lafaz syarat (لَّوْ أَرَادَ اللَّهُ) yang tidak mewajibkan perkara itu berlaku atau boleh berlaku, bahkan ianya mustahil berlaku. Adapun Allah SWT ingin menunjukkan kejahilan mereka terhadap dakwaan serta sangkaan mereka, seperti firman-Nya:

لَوْ أَرَدْنَا أَنْ نَتَّخِذَ لَهْوًا لاتَّخَذْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا إِنْ كُنَّا فَاعِلِينَ

Maksudnya: “Sekiranya Kami hendak mengambil sesuatu untuk hiburan, tentulah Kami akan mengambilnya dari sisi Kami; Kami tidak melakukannya.”

(Surah al-Anbiya’: 17)

Dan juga firman-Nya:

قُلْ إِن كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدٌ فَأَنَا أَوَّلُ الْعَابِدِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad, kepada mereka yang musyrik itu): ‘Kalau betul Allah yang maha pemurah, mempunyai anak (sebagaimana yang kamu dakwakan) maka akulah orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu; (tetapi dakwaan kamu itu tidak berasas)!’”

(Surah al-Zukhruf: 81)

Kesemua lafaz ini dengan lafaz syarat, yang mana ianya boleh digunakan untuk merujuk kepada perkara mustahil berlaku oleh orang yang mengucapkannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/5)

Allah SWT telah mendatangkan hujjah berkenaan keesaan-Nya, sekiranya Allah SWT mahu mengambil anak, nescaya dia akan memilih yang lebih sempurna daripada kalangan makhluk mengikut kehendaknya, iaitu anak lelaki dan bukan perempuan sebagaimana yang mereka sangka. Maha suci Allah SWT daripada mempunyai anak. (Lihat Tafsir al-Kabir wa Mafatih al-Ghaib, 23/225; Tafsir al-Bayan, 4/669)

Syeikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur pula memberikan perincian tentang ayat ini, beliau mengatakan bahawa ayat ini merupakan hujjah ke atas kaum Musyrikin yang menipu dan kufur, dengan mereka menyembah selain Allah SWT dari kalangan para wali. Allah SWT berfirman ketika menceritakan apa yang diucapkan oleh mereka:

مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَىٰ

Maksudnya: “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya.”

(Surah al-Zumar: 3)

Dan sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan hidayah buat mereka seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).”

(Surah al-Zumar: 3)

Maka tujuan dari ayat ini adalah untuk membatalkan apa yang mereka syirikkan Allah SWT dengannya, dengan cara membatalkan hujjah mereka yang paling kuat, iaitu mereka mengambil sekutu yang mereka sangka sebagai anak-anak perempuan Allah SWT. Dan yang disangkakan anak Allah SWT itu adalah al-Lat dan al-‘Uzza, seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

أَفَرَأَيْتُمُ اللَّاتَ وَالْعُزَّىٰ

Maksudnya: “(Setelah kamu – wahai kaum musyrik Makkah – mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa Al-Lat dan Al-Uzza.”

وَمَنَاةَ الثَّالِثَةَ الْأُخْرَىٰ

Maksudnya: “Serta ‘Manaat’ yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)?”

أَلَكُمُ الذَّكَرُ وَلَهُ الْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)?”

(Surah al-Najm: 19-21)

Dan yang dimaksudkan dari firman Allah SWT dalam Surah al-Zumar ini adalah untuk membatalkan ketuhanan berhala-berhala kaum musyrikin. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 24/325)

Kesimpulan

Berdasarkan ayat 4 Surah al-Zumar ini, kita dapat lihat bagaimana Allah SWT menafikan dakwaan kaum musyrikin terdahulu yang menyangka Allah SWT itu mempunyai anak dari kalangan wali-wali mereka. Bukan sahaja dakwaan mereka itu terbatal, bahkan kesemuanya itu hanyalah pendustaan yang merupakan rekaan mereka semata-mata.

Semoga kita beroleh ilmu dan manfaat, serta bertambah keimanan kita kepada uluhiyyah Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Wallahu a‘lam