#4308: Wanita Diciptakan Dari Tulang Rusuk

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah kita memahami hadith berkenaan dengan wanita diciptakan daripada tulang rusuk dan cara kita berinteraksi dengannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, hadith ini thabit sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا، فَإِنَّ المَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلاَهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ

Maksudnya: “Nasihatilah para wanita akan kebaikan, kerana sesungguhnya wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang paling bengkok. Bahagian yang paling bengkok dari tulang rusuk ialah pangkalnya, jika engkau hendak meluruskannya ia akan patah dan jika engkau biarkan maka ia akan tetap bengkok. Maka nasihatilah (untuk bersikap baik) terhadap wanita.”

Riwayat al-Bukhari (3331) dan Muslim (1468)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, yang dimaksudkan dengan wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk ialah asal penciptaan wanita adalah bengkok dan wanita tidak menerima pembetulan sebagaimana tulang rusuk juga tidak menerima pelurusan. Maka dengan itu, setiap kali kamu ingin membetulkannya maka ia akan patah. Ini adalah perumpamaan bagi talak iaitu jika kamu ingin daripadanya untuk meluruskan apa yang tidak lurus itu maka ia akan membawa kepada perpisahan. (Lihat Fath al-Bari, 6/368)

Padanya terdapat dalil atau tanda apa yang dikatakan oleh fuqaha’ atau sebahagian daripada mereka bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana firman Allah SWT bahawa Allah SWT menciptakan manusia daripada diri yang satu dan daripada diri itu Allah SWT ciptakan pasangannya. Selain itu, Nabi SAW menjelaskan bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk. Di dalam hadis ini, dianjurkan agar berkelakuan baik dan lembut dengan wanita serta sabar di atas sikapnya yang bengkok dan juga kelemahan akalnya. Selain itu, dikeji mentalaknya tanpa sebab dan dalam keadaan dia (suami) tidak  ingin membetulkannya (isteri). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/57)

Para ulama’ telah berselisih pendapat dalam memahami makna hadith Rasulullah SAW ini. Kami meringkaskannya perbahasan mereka seperti yang berikut:

Pertama: Sebahagian ahli tafsir dan ahli hadith berpendapat bahawa hakikat penciptaan wanita itu adalah daripada tulang rusuk dan ia bukanlah perumpamaan sebagaimana yang dinyatakan oleh sebahagian ulama’ yang lain. Antaranya hujah yang mengatakan bahawa wanita ini diciptakan daripada tulang rusuk ialah, berdasarkan firman Allah SWT:

خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا

Maksudnya: “Dia (Allah) menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya isterinya (Hawa).”

(Surah al-Zumar: 6)

Imam Ibn Kathir berkata di dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (7/75), maksud Allah SWT telah menciptakan kamu daripada diri yang satu adalah Allah SWT menciptakan kamu dalam keadaan berbeza jenis, golongan, lidah (bahasa), warna daripada diri yang satu iaitu Adam AS. Kemudian di jadikan daripadanya Hawa sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang dijadikan daripadanya (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya – (zuriat keturunan) – lelaki dan perempuan yang ramai.”

(Surah al-Nisa’ : 1)

Kedua: Wanita diciptakan daripada tulang rusuk adalah sekadar perumpamaan dan ia bukannya menunjukkan akan hakikat penciptaan wanita.

Ini merupakan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam al-Qurtubi ketika mensyarahkan hadith ini, dan kebanyakan ulama’ kontemporari juga memilih pendapat ini. Antaranya ialah Syeikh Syu‘aib al-Arna’uth, beliau berkata: “Apa yang dimaksudkan di sini (iaitu hadith bahawa wanita diciptakan daripada tulang rusuk) adalah sekadar perumpamaan dan ini jelas dinyatakan di dalam riwayat yang lain iaitu (إنَّ المرأةَ كالضِّلَعِ) ‘Sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk)’. Begitu juga, ia tidak bermaksud bahawa wanita ini diciptakan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian individu, dan dakwaan tersebut tidak ada dinyatakan di dalam hadith yang sahih.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/75)

Kesimpulan

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan dan dibahaskan oleh para ulama’, kami lebih cenderung kepada pendapat yang kedua yang menyatakan bahawa maksud hadith tersebut adalah sekadar perumpamaan dan bukannya wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Ini kerana, tidak dinafikan bahawa perwatakan wanita itu amat berbeza dengan lelaki sehingga diumpamakan mereka ini seperti tulang rusuk.

Tambahan pula, Rasulullah SAW memulakan dengan perintah menasihati wanita dengan baik, dan di dalam hadith ini juga tidak disebut daripada tulang rusuk Adam.

Selain itu, terdapat sebuah hadith yang sahih sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْمَرْأَةَ كَالضِّلَعِ إِذَا ذَهَبْتَ تُقِيمُهَا كَسَرْتَهَا وَإِنْ تَرَكْتَهَا اسْتَمْتَعْتَ بِهَا وَفِيهَا عِوَجٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu diciptakan seperti tulang rusuk, jika kamu ingin meluruskannya nescaya akan patah dan jika kamu membiarkannya maka kamu akan dapat bersenang-senang akan tetapi dia tetap bengkok.”

Riwayat Muslim (2669)

Tambahan pula, berkenaan dengan maksud diri yang satu di dalam surah al-Zumar ialah  ialah jenis yang sama iaitu manusia dan bukannya asal penciptaan wanita itu daripada lelaki, bahkan manusia itu lahir dan tercipta daripada lelaki dan wanita. (Lihat Tafsir al-Manar, 4/272)

Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama dan memimpin kita untuk sentiasa berada di atas jalan yang benar serta menganugerahkan kepada kita isteri-isteri yang solehah dan keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam