Soalan
Baru-baru ini kerajaan Arab Saudi melalui Pengurusan Masjid al-Haram memperkenalkan Inisiatif “Virtual Black Stone” / “الحجر الأسود الافتراضي” (Hajar al-Aswad Secara Maya) yang membolehkan Hajar al-Aswad disentuh secara maya menerusi kemudahan teknologi realiti maya (VR) sehingga ada sesetengah orang berpandangan tidak perlu lagi pergi umrah dan haji kerana Masjid al-Haram boleh dikunjungi secara maya pada bila-bila masa sahaja dan boleh terus melakukan ibadah melalui VR tersebut. Mohon pandangan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Virtual Reality (VR), ataupun dalam bahasa melayu Realiti maya adalah persekitaran yang dihasilkan oleh komputer. Kebanyakan persekitaran realiti maya menumpu kepada pengalaman visual, dipaparkan sama ada pada skrin komputer atau melalui paparan stereoskop khas, tetapi sebahagian simulasi memasukkan maklumat deria tambahan, seperti bunyi melalui pembesar suara atau fonkepala. Sesetengah sistem termaju dan sistem ujian memasukkan maklumat sentuh, yang dipanggil suap balas terhad.
Pengguna boleh berinteraksi dengan persekitaran VR, sama ada melalui peranti input piwaian seperti papan kekunci dan tetikus, atau melalui peranti direka khas seperti sarung tangan berwayar dan mesin jalan (treadmill) pelbagai arah. Persekitaran simulasi boleh menyerupai dunia sebenar, misalnya, simulasi untuk tujuan melatih penerbangan pesawat atau tempur, atau ia boleh berlainan sama sekali berbanding alam sebenar, sepertimana dalam permainan VR.
Amat sukar untuk menghasilkan pengalaman realiti maya yang sebenar-benarnya kerana kekangan teknikal pada kuasa pemproses, leraian gambar dihasilkan dan lebar jalur. Bagaimanapun, kekangan-kekangan ini dijangka dapat diatasi apabila teknologi membangunkan simulasi begini menjadi semakin maju dan murah.
Realiti maya pada asalnya membawa erti sistem lengkap sepenuhnya, walaupun ia kemudiannya telah digunakan bagi menggambarkan sistem tanpa sarung tangan berwayar atau sut sentuh, contohnya seperti VRML dan X3D pada World Wide Web dan kadang-kala juga bagi sistem interaksi berasaskan teks seperti MOO atau MUD. Sistem realiti maya bukan penuh menggunakan skrin komputer biasa, dan pengguna mengawal persekitaran maya menggunakan tetikus atau peranti input lain.
Istilah realiti maya (Virtual Reality) dicipta oleh Jaron Lanier pada tahun 1989. Lanier merupakan salah seorang peneroka dalam bidang ini, menubuhkan syarikat VPL Research (daripada “Virtual Programming Languages”) yang mencipta sebahagian sistem pertama pada tahun 1980. Istilah berkait realiti buatan telah digunakan semenjak 1970 dan alam siber semenjak tahun 1984.
Sistem hipermedia dan realiti maya pertama merupakan Aspen Movie Map, yang dihasilkan di MIT pada tahun 1977. Program tersebut merupakan simulasi maya kasar Aspen, Colorado di mana pengguna berjalan di jalan dalam tiga mod: musim panas, sejuk, dan poligon. Dua yang pertama berasaskan gambar – penyelidik telah mengambil gambar sebenar setiap pergerakan yang mungkin melalui grid jalan bandar dalam kedua musim – dan yang ketiga merupakan asas model 3-D bandar tersebut.[1]
Arab Saudi Memperkenalkan Inisiatif Sentuh Hajar Al-Aswad Secara Maya[2]
Saudi Press Agency (SPA) melalui laman rasminya melaporkan pada 13 Disember 2021 bahawa Presiden Pengurusan Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi, Syeikh Dr Abdul Rahman bin Abd al-Aziz al-Sudais, dalam pejabatnya merasmikan “Virtual Black Stone” (مبادرة الحجر الأسود الافتراضي) yang dilancarkan oleh oleh Agensi Ehwal Pameran dan Muzium Arab Saudi dengan kerjasama Universiti Umm al Qura. Inisiatif ini bertujuan untuk menggunakan Virtual Reality (VR) dan pengalaman digital yang mensimulasikan realiti sebenar.
Beliau menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran simulasi maya, untuk mensimulasikan bilangan deria yang paling banyak, seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan, malah bau, untuk menyampaikannya ke seluruh pelusuk dunia. Melalui alam maya ini, ia seakan-akan realiti, terang dan jelas. Beliau menegaskan bahawa Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi memiliki tapak keagamaan dan sejarah yang hebat, yang mesti didigitalkan dan disampaikan kepada semua manusia, berdasarkan keupayaan dan sokongan daripada dermawan yang diberikan kepada pengurusan mereka.
Kerajaan Turki Mengumumkan Hukum Mengunjungi Kaabah Dalam Dunia Maya Bagi Menunaikan Haji dan umrah.[3]
Lembaga Pengarah Ehwal Keagamaan Turki (Diyanet) mengisytiharkan bahawa menziarahi Kaabah melalui metaverse (Virtual Reality) tidak akan dianggap sebagai menunaikan “haji yang sah”. Selepas berbincang selama sebulan, Diyanet memuktamadkan keputusan ini pada 1 Februari 2022 bahawa meskipun lawatan ke Kaabah boleh dilakukan menerusi Realiti Maya (VR), ia tidak akan dikira sebagai mengerjakan ibadah haji yang sah. Hal ini kerana ibadah haji sepatutnya dan akan dikerjakan dengan menjejakkan kaki ke tanah suci.
Haji dan Umrah Wajib Dilakukan Secara Nyata Dengan Menjejakkan Kaki di Masjid al-Haram dan Makkah
Haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah bermaksud mengunjungi Baitullah (Ka’bah) pada masa-masa tertentu (bulan haji, Zulhijah) serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 17 / 23)
Haji merupakan salah satu dari rukun Islam dan menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya dan melaksanakannya dikira wajib hanya sekali seumur hidup jika dilakukan lebih dari itu maka ia dikira sunat.
Antara dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah tentang kewajipan mengerjakan ibadah haji adalah seperti firman Allah SWT:
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
(Surah Ali-Imran: 97)
Istito’ah (berkemampuan) yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Lihat Al-Muhalla li Ibn Hazm, 7/54 dan Subul al-Salam li al-Son’aani, 2/180)
Ibn Kathir berkata:” istato’ah (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 1/364)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kemampuan untuk menunaikan haji ini wajib bagi mereka yang berkemampuan termasuklah kemampuan daripada sudut jasad dan badan. Kalimah ‘عَلَى النَّاسِ’ di sini menunjukkan kewajipan dan kemestian untuk seseorang yang ingin menunaikan haji untuk berada di tempat yang ditetapkan oleh syara’, iaitu di Masjid al-Haram, Mina, Arafah dan Muzdalifah secara nyata dan hakiki. Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Idhah fi Manasik al-Haj menyatakan bahawa berkemampuan dengan sendirinya ialah:
- Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan.
- Mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik.
- Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.
- Sihat tubuh badan.
- Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj, 1/96,)
Allah SWT berfirman:
وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ
Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji”
(Surah al-Hajj: 27)
Firman Allah SWT:
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ
Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.”
(Surah al-Baqarah: 197)
Umrah pada bahasa ialah ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama ialah tawaf di baitullah, dan saie di antara safa dan marwah dengan ihram. (Lihat Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 30/314)
Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum melaksanakan umrah adalah wajib atau fardhu bagi orang yang belum melaksanakan sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya.
Firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Inilah pendapat yang sahih dari mazhab Imam Al-Syafie, namun sebahagian ulama seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah yang mengatakan bahawa ibadah umrah itu hukumnya sunat mu’akkad pada umrah yang pertama. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 30/ 315)
Dapat kami ringkaskan di sini perbezaan di antara ibadah haji dan umrah adalah seperti berikut:
- Haji hanya dikerjakan pada bulan haji sahaja, iaitu bermula 1 Syawal sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Manakala waktu umrah pula adalah pada bila-bila masa sepanjang tahun
- Haji adalah wajib bagi setiap individu, manakala umrah pula adalah sunat dilakukan jika berkemampuan (mengikut sebahagian pendapat).
- Haji memerlukan wukuf di Arafah pada hari 9 Zulhijjah, bermalam di Muzdalifah dan di Mina serta melontar jamrah manakala umrah tiada wukuf serta perkara-perkara yang disebutkan tadi.
- Rukun haji ada lima iaitu ihram, wukuf di Arafah, tawaf, sa’ie dan tahallul, manakala umrah hanya empat iaitu ihram, tawaf, sa’i dan tahallul.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyokong penuh inisiatif yang dilakukan oleh Arab Saudi melalui pengurusan Masjid al-Haram yang memperkenalkan teknologi Realiti Maya (VR) bagi membolehkan umat Islam di seluruh dunia merasai suasana berada di hadapan Kaabah di dalam Masjid al-Haram. Hal ini kerana tidak semua orang mampu untuk merasai suasana di hadapan secara nyata. Bahkan melalui inisiatif ini bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, ramai orang yang akan dapat memanfaatkan teknologi ini untuk belajar melakukan haji dan umrah secara Virtual Reality (VR).
Namun begitu, tidak wajar untuk sesetengah pihak menganggap bahawa dengan adanya VR di hadapan Kaabah, sudah cukup untuk tidak mengunjungi Kaabah secara nyata dan boleh melakukan ibadah melaluinya, sedangkan hakikatnya dia berada di bilik rumahnya.
Kami tegaskan bahawa ibadah haji dan umrah wajib dilakukan di tempat-tempat yang telah disyariatkan untuk dilakukan padanya, seperti di Masjid al-Haram, tempat bersa’ie, mina, Arafah, dan Muzdalifah. Sekiranya ia hanya hadir secara virtual, maka tidak sah ibadah haji dan umrahnya.
Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H
[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Realiti_maya
[2] Lihat https://www.spa.gov.sa/2312371
[3] Lihat https://www.trtworld.com/turkey/turkiye-visiting-kaaba-in-metaverse-is-not-real-hajj-54403