Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah angin yang merupakan tentera Allah SWT mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan ini?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَالْمُرْسَلَاتِ عُرْفًا
Maksudnya: “Demi (makhluk-makhluk) yang dihantarkan berturut-turut (menjalankan tugasnya).”
فَالْعَاصِفَاتِ عَصْفًا
Maksudnya: “Juga yang merempuh mara dengan sekencang-kencangnya.”
(Surah al-Mursalat: 1-2)
Angin merupakan salah satu fenomena alam yang mempunyai peranan penting dalam kitaran kehidupan manusia. Walaupun kajian tentang manfaat dan bahaya yang datang daripada angin ini mula diperkatakan melalui penemuan ilmiah daripada para saintis, tetapi al-Quran yang turun lebih 1000 tahun yang lalu sudah menjelaskan banyak perkara tentang angin baik dari sudut manfaat dan mudarat yang datang daripadanya. Zaglul Najjar dalam Tafsir al-Ayat al-Kauniyyah fi al-Quran al-Karim (3/301) menjelaskan secara terperinci tentang jenis-jenis angin dan fungsinya secara ilmiah dan menurut al-Quran. Beliau menyatakan terdapat empat jenis angin:
- Angin yang berkisar di permukaan laut atau di dataran rendah (al-riyah al-sattahiyah) yang ketinggiannya 1 km.
- Angin yang menengah (al-riyah al-mutawassitah) yang ketinggiannya sekitar 35 km.
- Angin yang berada di ketinggian 35-65 km.
- Angin di atas ketinggian 65 km.
Antara manfaat angin yang dinyatakan dalam al-Quran adalah sebagai ejen dalam proses pendebungaan. Firman Allah SWT:
وَأَرْسَلْنَا الرِّيَاحَ لَوَاقِحَ فَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَسْقَيْنَاكُمُوهُ وَمَا أَنتُمْ لَهُ بِخَازِنِينَ
Maksudnya: “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.”
(Surah al-Hijr: 22)
ِAntara lainnya adalah proses penurunan hujan, penggerak kapal bahtera di tengah lautan, dan sebagai udara dalam proses pernafasan manusia, haiwan dan tumbuhan. Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT:
وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Maksudnya: “Demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.”
(Surah al-Baqarah: 164)
Dalam al-Quran, angin disebut dengan pelbagai istilah yang berbeza, antaranya:
- (الرِّيحُ)
- (الرِّيَاحُ)
- (الْمُرْسَلَاتُ)
- (إِعْصَارُ)
- (الذَّارِيَاتُ)
- (الْعَاصِفَاتُ)
Kesemuanya juga membawa maksud dan jenis angin yang berbeza. Malah angin dalam kalimah (الرِّيحُ) membawa maksud negatif dan buruk, laitu angin yang membawa azab, manakala (الرِّيَاحُ) bermaksud angin yang membawa kebaikan dan manfaat kepada alam sejagat. Sementara kalimah selainnya membawa kategori angin badai, angin taufan dan sebagainya seperti yang terdapat pada Surah Ibrahim ayat 18 dan Surah al-Isra’ ayat 69.
Penjelasan Sains Mengenai Taufan
Ribut taufan merupakan sejenis ribut yang terjadi di kawasan lautan tropika dan subtropika. Ribut Taufan merupakan ribut pada tahap yang terakhir. Terdapat 4 tahap untuk ribut, bermula dari disturbance, depression, storm, dan tropical cyclone (ribut taufan). Apa yang membezakan di antara ketiga-tiga ini adalah kekuatan dan kelajuan ribut itu sebagaimana yang dinyatakan oleh Zaghlul Najjar.
Kekuatan ribut taufan dijana oleh haba daripada lautan dan wap-wap air. Semakin dan banyak haba dan wap air diserap oleh ribut taufan, semakin laju lah ia. Kelahiran sesebuah ribut tautan bermula apabila udara panas dari permukaan lautan nak dan meninggalkan ruangan bertekanan rendah. Ini akan membuatkan udara persekitaran akan cuba untuk memenuhi ruangan bertekanan rendah itu. Udara tersebut juga turut akan menjadi panas dan kitaran udara akan berterusan. Udara panas yang nak ke atas itu juga akan turun membawa wap-wap air. Wap-wap tersebut akan menyejuk melalui proses kondensasi dan melepaskan haba lalu membentuk awan (awan Cumulonimbus). Sistem awan ini akan makin membesar dan kitaran udara pula menjadi semakin laju. Semasa menghampiri pembentukan ribut taufan, udara panas akan naik secara berputar meninggalkan kawasan bertekanan rendah di bahagian tengah, udara yang sejuk akan cuba memenuhi ruangan bertekanan rendah di bahagian tengah.
Malaysia, Ribut Taufan dan Puting Beliung
Kedua-dua fenomena alam ini juga berlaku di Malaysia. Negeri Sabah menerima tempias ribut tautan daripada taufan yang melanda Filipina, manakala puting beliung pula dilaporkan kerap berlaku di kawasan lapang di Kedah. Waterspout pula sering dilihat di kawasan Jambatan Pulau Pinang.
COVID-19: WHO Kaji Penemuan Virus Tersebar Melalui Udara
Sebagaimana yang dijelaskan tentang kehebatan angin pada awal Surah al-Mursalat bahawa ia menjadi ejen penyebar kebaikan dan juga pembawa azab seperti penyakit wabak COVID-19. Menurut laporan akhbar Berita Harian, sebagaimana yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan COVID-19 adalah melalui udara. Kajian susulan oleh sekumpulan saintis antarabangsa menyimpulkan bahawa virus itu boleh merebak lebih daripada 2 meter. Apabila orang yang dijangkiti menghembus nafas mereka mengeluarkan titisan (droplet). Titisan yang berukuran di bawah 5 mikrometer mampu berada di udara selama beberapa jam dan bergerak hingga puluhan meter, kata pakar. Justeru, garis panduan jarak fizikal sejauh 2 meter telah menjadi faktor utama dalam memerang pandemik COVID-19 yang telah membunuh lebih 1 juta orang dan menjangket lebih 30 juta sejak wabak itu muncul di China pada Disember 2019. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/299)
Beginilah sedikit sebanyak yang dapat kami kongsikan berkenaan angin dan peranannya, sama ada peranan yang positif atau negatif. Semoga kita semua beroleh manfaat. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”
Wallahu a‘lam