#4313: Iktibar Dari Peperangan Uhud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami beberapa iktibar yang mungkin dapat diambil dari peperangan uhud.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”

إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِّثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.”

(Surah Ali ‘Imran: 139-140)

Kupasan ayat ini ibarat merawat kembali luka peperangan yang berlaku dalam peristiwa Uhud. Kekalahan dalam Perang Uhud adalah salah satu daripada proses tarbiah yang direncanakan oleh Allah SWT dalam membina jati diri umat Islam. Kekalahan ini mengajak kaum Muslimin merenung diri serta bermuhasabah tentang insiden yang berlaku.

Dalam kelompok ayat ini Allah SWT memberikan didikan yang sempurna buat umat Islam bagi merawat luka hati mereka setelah ditimpa kekalahan. Proses memperteguh hati dimulakan dengan Allah SWT memujuk kaum Muslimin dengan menegah mereka dari bersedih dan merasa rendah diri. Ini kerana mereka yang memperjuangkan agama Allah SWT adalah golongan yang menang bahkan Allah SWT memilih menggunakan lafaz (الْأَعْلَوْنَ) bagi menunjukkan mereka berada di kedudukan yang tinggi sekalipun kalah. Kemudian dalam ayat seterusnya Allah SWT memberikan rasional kepada kaum Muslimin tentang hikmah daripada kekalahan ini iaitu:

  • Kekalahan adalah lumrah dan fitrah dalam kehidupan. Allah SWT mengingatkan kaum Muslimin andai mereka kecewa kerana ditimpa kecederaan dan kematian, maka begitu jugalah tentera musuh. Menurut Sheikh al-Tantawi, kaum Quraisy turut ditimpa kesusahan dalam peperangan malah mereka telah pun tewas dalam Perang Badar. Namun sekalipun kalah dan berada dalam kebatilan, ia tidak melunturkan semangat Quraisy. (Lihat Tafsir al-Wasit li al-Quran al-Karim, 2/274)

Di sinilah seharusnya kita mengambil pengajaran, kaum Muslimin adalah lebih baik daripada itu. Mereka bukan sahaja telah menang sebelum ini malah perjuangan mereka adalah bagi menjunjung kebenaran, tidak seharusnya orang Islam berputus asa dan merasa rendah diri.

  • Kekalahan adalah satu proses ujian bagi Allah SWT untuk melihat keimanan kaum Muslimin. Ia memudahkan prosedur pengurniaan anugerah syuhada buat mereka yang benar-benar beriman.
  • Kekalahan adalah proses pemilihan yang rapi bagi menentukan siapa yang benar-benar beriman untuk memikul beban dakwah dan jihad selepas ini. Kesukaran yang dilalui oleh kaum Muslimin adalah seumpama kaffarah (pembersih dosa) buat diri mereka.

Inilah antara iktibar yang dapat kami kongsikan kepada saudara serta para pembaca yang lainnya. Semoga kita dapat benar-benar mengambil iktibar serta memperbaiki kesilapan dari kisah kekalahan yang berlaku dahulu.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Wallahu a‘lam