#4316: Melihat Jibril

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah manusia melihat Malaikat Jibril dalam rupa seperti manusia?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi.”

عِندَ سِدْرَةِ الْمُنتَهَىٰ

Maksudnya: “Di sisi Sidratul-Muntaha.”

عِندَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَىٰ

Maksudnya: “Yang di sisinya terletak Syurga Jannatul-Makwa.”

(Surah al-Najm: 13-15)

Pada asalnya, manusia tidak mampu melihat para malaikat. Manusia mungkin melihat malaikat jika mereka menjelma bukan dalam bentuk rupa aslinya. Perkara ini telah terjadi kepada para sahabat R.Anhum, di mana mereka pernah melihat Jibril A.S dalam bentuk Dihyah al-Kalbi. Terdapat riwayat daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَرَأَيْتُ جِبْرِيلَ – عَلَيْهِ السَّلاَمُ – فَإِذَا أَقْرَبُ مَنْ رَأَيْتُ بِهِ شَبَهًا دِحْيَةُ

Maksudnya: “Dan aku melihat Jibril A.S, dan kelihatan paling mirip menyerupai Dihyah (seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Dihyah al-Kalbi).”

Riwayat Muslim (167)

Para sahabat juga pernah melihat Jibril A.S dalam rupa seorang lelaki yang tidak dikenali oleh mereka sebagaimana disebutkan dalam riwayat ‘Umar R.A, beliau berkata:

بيْنَما نَحْنُ عِنْدَ رَسولِ اللهِ ﷺ ذاتَ يَومٍ، إذْ طَلَعَ عليْنا رَجُلٌ شَدِيدُ بَياضِ الثِّيابِ، شَدِيدُ سَوادِ الشَّعَرِ، لا يُرَى عليه أثَرُ السَّفَرِ، ولا يَعْرِفُهُ مِنَّا أحَدٌ، حتَّى جَلَسَ إلى النبيِّ ﷺ، فأسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إلى رُكْبَتَيْهِ، ووَضَعَ كَفَّيْهِ علَى فَخِذَيْهِ. وَقالَ: يا مُحَمَّدُ أخْبِرْنِي عَنِ الإسْلامِ، فقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: الإسْلامُ أنْ تَشْهَدَ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللهِ ﷺ، وتُقِيمَ الصَّلاةَ، وتُؤْتِيَ الزَّكاةَ، وتَصُومَ رَمَضانَ، وتَحُجَّ البَيْتَ إنِ اسْتَطَعْتَ إلَيْهِ سَبِيلًا، قالَ: صَدَقْتَ، قالَ: فَعَجِبْنا له يَسْأَلُهُ، ويُصَدِّقُهُ، قالَ: فأخْبِرْنِي عَنِ الإيمانِ، قالَ: أنْ تُؤْمِنَ باللَّهِ، ومَلائِكَتِهِ، وكُتُبِهِ، ورُسُلِهِ، والْيَومِ الآخِرِ، وتُؤْمِنَ بالقَدَرِ خَيْرِهِ وشَرِّهِ، قالَ: صَدَقْتَ، قالَ: فأخْبِرْنِي عَنِ الإحْسانِ، قالَ: أنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأنَّكَ تَراهُ، فإنْ لَمْ تَكُنْ تَراهُ فإنَّه يَراكَ، قالَ: فأخْبِرْنِي عَنِ السَّاعَةِ، قالَ: ما المَسْؤُولُ عَنْها بأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ قالَ: فأخْبِرْنِي عن أمارَتِها، قالَ: أنْ تَلِدَ الأمَةُ رَبَّتَها، وأَنْ تَرَى الحُفاةَ العُراةَ العالَةَ رِعاءَ الشَّاءِ يَتَطاوَلُونَ في البُنْيانِ، قالَ: ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا، ثُمَّ قالَ لِي: يا عُمَرُ أتَدْرِي مَنِ السَّائِلُ؟ قُلتُ: اللَّهُ ورَسولُهُ أعْلَمُ، قالَ: فإنَّه جِبْرِيلُ أتاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ

Maksudnya: “Pada suatu hari ketika kami duduk di dekat Rasulullah SAW, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang berpakaian sangat putih dan rambutnya sangat hitam. Pada dirinya tidak kelihatan tanda dari perjalanan jauh dan tidak ada seorang pun di antara kami yang mengenalinya. Kemudian dia duduk di hadapan Nabi SAW, lalu merapatkan kedua lututnya ke lutut Nabi, dan meletakkan kedua tangannya di atas kedua pahanya, kemudian berkata: ‘Wahai Muhammad, terangkanlah kepadaku tentang Islam.’ Kemudian Rasulullah SAW menjawab: ‘Islam itu, hendaklah engkau bersaksi tiada Tuhan yang berhaq disembah kecuali Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah. Hendaklah engkau mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan mengerjakan haji ke rumah Allah jika engkau mampu mengerjakannya.’ Orang itu berkata: ‘Engkau benar.’ Kami merasa hairan kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya. Orang itu bertanya lagi: ‘Lalu terangkanlah kepadaku tentang iman.’ (Rasulullah) menjawab: ‘Hendaklah engkau beriman kepada Allah, beriman kepada para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para utusan-Nya, hari akhir, dan hendaklah engkau beriman kepada takdir yang baik dan yang buruk.’ Orang tadi berkata: ‘Engkau benar.’ Lalu orang itu bertanya lagi: ‘Lalu terangkanlah kepadaku tentang ihsan.’ (Baginda) menjawab: ‘Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Namun jika engkau tidak dapat (beribadah seolah-olah) melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihat engkau.’ Orang itu berkata lagi: ‘Beritahukanlah kepadaku tentang hari kiamat.’ (Baginda) mejawab: ‘Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya.’ Orang itu selanjutnya berkata: ‘Beritahukanlah kepadaku tanda-tandanya.’ (Baginda) menjawab: ‘Apabila budak melahirkan tuannya, dan engkau melihat orang-orang Badui yang bertelanjang kaki, yang miskin lagi penggembala domba berlomba-lomba dalam mendirikan bangunan.’ Kemudian orang itu pergi, sedangkan aku tetap tinggal beberapa saat lamanya. Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Wahai Umar, tahukah engkau siapa orang yang bertanya itu ?’ Aku menjawab: ‘Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.’ Lalu beliau bersabda: ‘Dia itu adalah malaikat Jibril yang datang kepada kalian untuk mengajarkan agama kalian’.”

Riwayat Muslim (8)

Ia adalah hadith yang panjang tentang Jibril A.S, yang datang untuk mengajarkan kepada mereka mengenai Islam, Iman dan Ihsan. Selain itu, Jibril A.S juga pernah menjelma dalam bentuk rupa manusia di hadapan Maryam A.S sebagaimana firman-Nya:

فَاتَّخَذَتْ مِن دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَا إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا

Maksudnya: “Lalu kami utuskan kepadanya Jibril dalam rupa seorang lelaki yang sempurna.”

(Surah Maryam: 17)

Tahir al-Jaza’iri mengatakan bahawa manusia tidak dapat melihat bentuk asli malaikat melainkan para nabi kerana malaikat tercipta daripada jisim halus seperti udara di dalam ruangan yang tidak dapat dilihat dengan mata (tetapi dapat dirasa kehadirannya). Namun apabila malaikat mewujudkan dirinya dalam bentuk jasmani kasar sebagaimana manusia, maka semua orang dapat melihatnya. Adapun kemampuan para nabi melihat malaikat dalam bentuknya yang asli (jisim halus) tidak lain tidak bukan merupakan perkara khusus yang diberikan Allah SWT kepada mereka bagi menyelesaikan pelbagai masalah keagamaan dan hukum-hukum syara‘. (Lihat al-Jawahir al-Kalamiyyah, hlm. 29)

‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad menambah dengan mengatakan bahawa terdapat dalil yang sahih bahawa malaikat jika datang bertemu manusia, maka dia dapat berubah bentuk seperti manusia sebagaimana Jibril A.S yang datang bertemu Maryam A.S dalam bentuk rupa manusia. Begitulah juga, para malaikat yang datang bertemu Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Lut A.S, juga dalam bentuk rupa manusia. Mereka (para malaikat) dapat berubah bentuk daripada bentuk mereka yang asal kepada bentuk manusia dengan kekuasaan Allah SWT. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 18-19)

Kami menutup perbincangan ini dengan pendapat ulama salaf, yang menyatakan bahawa mereka (manusia) tidak akan mampu melihat malaikat dalam rupa bentuknya yang sebenar. Jikalau Allah SWT menghendaki untuk menurunkan malaikat kepada mereka, pasti Dia akan turunkan malaikat itu dalam rupa bentuk manusia, di mana kemudiannya akan timbul keraguan dalam diri mereka, adakah susuk tersebut malaikat ataupun manusia? Oleh itu, mereka tidak akan memperoleh manfaat apapun dengan perutusan malaikat kepada mereka. Justeru, Allah SWT mengutuskan kepada mereka susuk manusia daripada jenis mereka sendiri, yang membolehkan mereka untuk melihatnya dan bertalaqqi dengannya. Ini adalah satu bentuk kesempurnaan ihsan dan kasih sayang Allah SWT kepada makhluk-Nya. (Lihat Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 2/333)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a‘lam