Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah malaikat merupakan khadam ayat, dan bolehkah kita beramal dengannya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Khadam dari sudut istilahnya dalam konteks ini adalah pembantu manusia dalam kalangan jin. Khadam ayat ini terkenal dalam kalangan mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional atau amalan kebatinan Melayu. Ia merujuk kepada pendamping atau penjaga yang diperoleh setelah mengamalkan ayat-ayat al-Quran tertentu dengan kaedah yang khusus. Kadangkala, ia tidak hadir dengan pengamalan ayat al-Quran tetapi cukup dengan amalan kebatinan. Antara yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu adalah khadam ayat al-Kursi. Walau bagaimanapun, khadam yang difahami sebagai khadam ayat ini bukanlah orang suruhan tetapi ianya lebih kepada pendamping atau penjaga seperti rijal al-ghaib. Rijal al-ghaib ini biasanya akan hadir dan mendakwa diri sebagai wali-wali, atau orang soleh. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/46)
Ada juga sebahagian pawang atau bomoh yang mendakwa bahawa khadam ayat itu adalah malaikat, bukan jin atau syaitan. Dakwaan ini jauh tersasar kerana tugas malaikat adalah menjalankan apa jua perintah Allah SWT kepadanya, bukan perintah manusia. Sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu. Neraka dijaga oleh malaikat-malaikat yang kasar dan bengis. Malaikat ini tidak pernah mengingkari apa yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka dan mereka melakukan apa yang disuruh.”
(Surah al-Tahrim: 6)
Imam Ibn Kathir menegaskan bahawa tugas malaikat yang sangat patuh dan akur dengan bersegera mengerjakan segala perintah Allah SWT dan mereka tidak akan menangguhkan sesuatu walaupun sekelip mata sekali pun dan mereka mampu melaksanakannya serta tiada suatu kelemahan dalam diri mereka untuk melaksanakan segala suruhan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/189)
Kesimpulan
Natijahnya, hukum beramal bagi mendapatkan khadam ayat adalah haram dan membawa kepada kesyirikan. Al-Quran dibaca dan diamalkan juga sebagai tujuan rawatan tetapi yang menyembuhkan tetaplah Allah SWT. Ianya tidak memerlukan kepada apa-apa perantara yang terdiri daripada apa jua makhluk.
Cukuplah Allah SWT yang Maha Mendengar, jua Maha Penyembuh. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Wallahu a‘lam