#4327: Hamalah al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah kelebihan hamalah al-Quran serta kelebihan mereka?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Hamalah al-Quran ialah orang yang membaca, mendengar, menghafaz, mengajar, belajar dan beramal dengan al-Quran. (Lihat Sejarah dan Kaedah Pendidikan al-Quran, hlm. 9)

Allah SWT memuliakan martabat para pencinta al-Quran berdasarkan dalil-dalil yang terdapat dalam al-Quran dan hadith, antaranya:

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَّن تَبُورَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang sentiasa membaca kitab Allah dan mendirikan solat serta berinfak sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka secara rahsia atau terang-terangan, mereka mengharapkan amalan mereka itu ibarat sejenis perniagaan yang tidak akan rugi.”

(Surah al-Fatir: 29)

Allah SWT menyatakan dalam kalam-Nya kriteria-kriteria golongan yang mendapat ganjaran pahala di atas ketaatannya diumpamakan satu perniagaan yang tidak merugikan iaitu orang yang sentiasa membaca dan mendampingi al-Quran, yang mendirikan solat mengikut waktu dengan kesempurnaan rukun-rukunnya serta bacaannya serta sentiasa berinfak daripada rezeki mereka sama ada secara sembunyi iaitu cara yang paling afdhal atau secara terang-terangan. (Lihat Fath al-Qadir, 4/459)

Diriwayatkan daripada ‘Uthman bin ‘Affan R.A, daripada Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang-orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya.”

Riwayat al-Bukhari (5027)

Pengajaran hadith:

  • Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, yang tertulis di dalam mushaf, dinukil daripadanya secara mutawatir dan diberikan ganjaran pahala beribadah apabila membacanya.
  • Umat Islam dituntut mempelajari al-Quran sama ada untuk memperbetulkan bacaannya atau memahami isi kandungannya sebagai pedoman dalam kehidupan.
  • Apabila seseorang Muslim mempelajari al-Quran maka Allah SWT akan mengurniakan kemuliaan dan kelebihan yang besar. Manakala bagi mereka yang mahir dengan al-Quran dituntut mengajarkannya kerana Allah SWT akan memberikan kepadanya kemuliaan sebagai ahli al-Quran.[1]

Namun terdapat satu hadith yang masyhur berkaitan dipakaikan mahkota ke atas kedua ibu bapa dalam kalangan ahli Quran yang perlu diteliti. Hal ini kerana terdapat perbincangan di kalangan ulama’ mengenai hadith yang diriwayatkan daripada Mu‘az bin Anas al-Juhani R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَعَمِلَ بِمَا فِيهِ، أُلْبِسَ وَالِدَاهُ تَاجًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، ضَوْءُهُ أَحْسَنُ مِنْ ضَوْءِ الشَّمْسِ فِي بُيُوتِ الدُّنْيَا لَوْ كَانَتْ فِيكُمْ، فَمَا ظَنُّكُمْ بِالَّذِي عَمِلَ بِهَذَا

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya, maka pada hari kiamat kedua ibu bapanya akan di pakaikan mahkota, sinarnya lebih terang daripada cahaya matahari yang berada di rumah dunia. Bagaimana menurut perkiraan kalian, bagaimana agaknya ganjaran untuk orang yang mengamalkannya sendiri?”

Riwayat Abu Dawud (1453)

Antara pendapat ulama’ dalam menghukum hadith ini:

  • Abu Dawud tidak memberi apa-apa komentar berkaitan hadith ini ( سَكَتَ عَنه ). Ini bermakna hadith ini soleh ( صَالحِ ) berdasarkan risalah kepada ahli Makkah yang ditulis olehnya.
  • al-Baghawi mengatakan bahawa hadith ini adalah gharib. (Lihat Syarah al-Sunnah, 4/436)
  • Syu‘aib al-Arnaut mengatakan sanadnya dhaif disebabkan dhaifnya Zabban bin Faid dan juga Sahl bin Mu‘az. (Lihat Sunan Abu Dawud, 2/583)

Berdasarkan pendapat dan hukum para ulama dalam menilai hadith ini, status hadith ini adalah dhaif disebabkan terdapat perawi yang dihukum dhaif di dalam sanad tersebut.

Walau bagaimanapun, di sana terdapat sebuah hadith yang boleh dijadikan syawahid atau mutaba’at bagi hadith ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Syu‘aib al-Arnaut, beliau berkata: “Sanadnya adalah hasan pada syawahid atau mutaba‘at disebabkan Basyir bin al-Muhajir al-Ghanawi dan perawi-perawi yang lain adalah thiqah iaitu perawi-perawi al- Syaikhan (Bukhari dan Muslim).” (Lihat Musnad Ahmad, 38/42)

Kesimpulan

Natijahnya, golongan ahli al-Quran dipandang tinggi di sisi Allah dan juga masyarakat kerana karakter dan keperibadian mereka yang sentiasa mendampingi al-Quran, bahkan banyak hadith-hadith sahih yang menjelaskan kelebihan ahli al-Quran.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita mendidik anak kita untuk mencintai al-Quran, membaca dan menghafaznya. Di samping itu, agar dapat memahami makna dan maksud al-Quran al-Karim. Kerana ia adalah kalam Allah yang mempunyai pelbagai kelebihan terutamanya sebagai hidayah kepada kita semua.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahu a‘lam

Nota kaki:

[1] Lihat http://www.islam.gov.my/e-hadis/1393-kelebihan-mempelajari-al-qur-an-dan-mengajarkannya. Diakses pada 20 November 2023.