#4328: Fir‘aun Simbol Kediktatoran

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah fir‘aun merupakan simbol kediktatoran dalam pemerintahan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kediktatoran (al-Istibdad) dari sudut bahasa antara lainnya bermaksud seseorang yang tertipu dengan pandangannya sendiri serta sombong daripada menerima nasihat. Adapun dari sudut istilah pemikir politik, ia bermaksud sifat bagi sebuah kerajaan yang berkuasa mutlak yang boleh bertindak secara sesuka hati dalam mentadbir urusan rakyat, tanpa perlu bimbang kepada pengawasan serta hukuman.

Definisi ini tanpa syak lagi selayaknya ditujukan kepada Firaun serta aparat-aparatnya. Selain daripada mengamalkan polisi pecah dan perintah, menindas rakyat sendiri serta membunuh bayi-bayi lelaki untuk mengekalkan kuasa, Firaun juga menyekat kebebasan rakyat serta mengongkong pemikiran rakyat apabila dia melihat ia bakal mengancam cengkamannya terhadap mereka. Allah SWT berfirman:

قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sambil berkata: ‘Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam’.”

رَبِّ مُوسَىٰ وَهَارُونَ

Maksudnya: “‘(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun’.”

قَالَ فِرْعَوْنُ آمَنتُم بِهِ قَبْلَ أَنْ آذَنَ لَكُمْ ۖ إِنَّ هَٰذَا لَمَكْرٌ مَّكَرْتُمُوهُ فِي الْمَدِينَةِ لِتُخْرِجُوا مِنْهَا أَهْلَهَا ۖ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Firaun berkata: ‘Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya)’.”

(Surah al-A‘raf: 121-123)

Disebutkan juga dalam firman Allah SWT yang lain:

يَا قَوْمِ لَكُمُ الْمُلْكُ الْيَوْمَ ظَاهِرِينَ فِي الْأَرْضِ فَمَن يَنصُرُنَا مِن بَأْسِ اللَّهِ إِن جَاءَنَا ۚ قَالَ فِرْعَوْنُ مَا أُرِيكُمْ إِلَّا مَا أَرَىٰ وَمَا أَهْدِيكُمْ إِلَّا سَبِيلَ الرَّشَادِ

Maksudnya: “‘Wahai kaumku! Kamulah yang memiliki kerajaan pada hari ini, kamulah yang bermaharajalela di atas muka bumi ini, tetapi siapakah yang dapat menolong kita daripada azab Allah jika ia menimpa kita?’ Firaun berkata: ‘Aku tidak mengusulkan kepadamu melainkan apa yang aku pandang baik dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar’.”

(Surah Ghafir: 29)

Sungguh, betapa dahsyatnya cengkaman Firaun terhadap rakyatnya, hatta soal keimanan pun perlu meminta izin kepadanya terlebih dahulu, dan perbezaan pandangan tidak akan ditoleransi sama sekali, khususnya apabila ia mencabar kekuasaannya.

Menurut Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi pula, sikap kediktatoran ini merupakan satu penyakit jiwa yang telah menimpa Firaun serta sekian ramai pemimpin dan pemerintah; mereka melihat orang lain sebagai hina, dan mereka lupa bahawa mereka hanyalah manusia biasa yang dipertanggungjawabkan untuk berkhidmat kepada rakyat di bawah mereka. Namun mereka tertipu dengan kuasa yang diperoleh, dan menyeru rakyat supaya mematuhi mereka, bahkan menyembah mereka. Selain itu, sesungguhnya watak Firaun merupakan contoh dan ikon yang pasti berulang sepanjang sejarah manusia, dan betapa ramainya ‘Firaun’ pada zaman dahulu mahupun sekarang! (Lihat Taba‘i’ al-Istibdad wa Masari‘ al-Isti‘bad, hlm. 17-18; al-Qasas al-Qur’ani, 2/265)

Kesimpulan

Benarlah bahawa fir‘aun itu menjadi simbolik kediktatoran berdasarkan sifat-sidatnya yang amat dahsyat menekan serta memaksa rakyatnya untuk sentiasa mengikut telunjuknya dan tidak menyelisihinya.

Sifat ini tidak lain, adalah satu penyakit yang ada dalam jiwa seseorang pemimpin yang kurang waras. Semoga kita dijauhkan dari penyakit seperti ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.”

Wallahu a‘lam