#4329: Tanggungjawab Sosial dalam Melawan Kezaliman

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah tanggungjawab sosial yang perlu dimainkan dalam melawan kezaliman?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Zalim menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud tidak berperikemanusiaan, tidak adil, bengis, kejam. Ia sering kali digunakan untuk menyifatkan seseorang yang tidak mempunyai belas kasihan, tidak berlaku adil atau kejam.

Islam telah mengharamkan kita berbuat zalim ke atas orang lain. Ini berdasarkan riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A bahawa Rasulullah SAW meriwayatkan daripada Allah SWT dalam hadith qudsi, firman-Nya:

يَاعِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا

Maksudnya: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Akupun jadikan kezaliman itu di antara kalian sebagai sesuatu yang haram.”

Riwayat Muslim (2577) dan Ibn Hibban (619)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan oleh saudara, kami bawakan sebuah kisah tentang Nabi Allah Musa A.S yang boleh kita mengambil iktibar serta tauladan yang baik daripadanya.

Kisah Nabi Musa A.S di Mesir sebelum Baginda melarikan diri ke Madyan memberikan pembaca sebuah pengajaran tentang tanggungjawab setiap individu untuk melawan kezaliman dalam masyarakat. Pada lazimnya, golongan yang mendapat keistimewaan dalam masyarakat lantaran latar belakangnya yang membesar dalam istana yang penuh dengan kemewahan dan kekuasaan, akan berasa kurang sensitif dengan apa yang berlaku di luar lingkungannya. Ini kerana hampir segala keperluannya sudah pun dipenuhi dan dia tidak perlu lagi bersusah payah seperti orang lain yang miskin.

Walaupun begitu, hal sedemikian tidak berlaku kepada Nabi Musa A.S. Baginda, sekalipun sebelum dilantik menjadi rasul, mempunyai kekuatan mental, fizikal dan emosi yang sama seimbang dan unggul. Kasta sosialnya sebagai anak asuhan keluarga Firaun tidak menghalang dirinya daripada berpihak kepada individu yang lemah daripada Bani Israel yang sedang ditindas oleh seseorang daripada kaum Firaun, yang berbangsa Qibti.

Begitu juga, Nabi Musa A.S tidak teragak-agak untuk menggunakan kekuatan jasmaninya bagi mempertahankan golongan yang dizalimi dan membalas kekerasan dengan kekerasan, sekalipun tindakan itu mempunyai risiko bahaya yang tidak diingini seperti mendatangkan mudharat yang lebih besar atau disalahfahami. Keberanian ini wajar dicontohi oleh generasi hari ini sesuai dengan riwayat Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اُنْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُوْمًا

Maksudnya: “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi.”

Riwayat al-Bukhari (2443)

Bagaimanakah cara untuk kita membantu orang yang zalim? Cara kita membantu mereka ialah dengan menegah dan menghentikan kezaliman mereka. (Lihat Fath al-Bari, 5/98)

Kesimpulan

Iktibar dan tauladan dari kisah yang kami bawakan, sebagai masyarakat majmuk di Malaysia, antara tanggungjawab sosial yang boleh kita ambil adalah dengan menghentikan kezaliman sesuai dengan kekuatan dan kemampuan yang kita ada.

Jika kita mempunyai kemampuan di tampuk pemerintahan, maka cegahlah segala bentuk kezaliman dari atas. Jika kita berada di bawah sebagai rakyat yang menunjukkan taat setia kepada pemerintah, maka saling bantu-membantulah sesama kita dalam membina masyarakat yang lebih tenteram serta menjauhi kezaliman, kerana kezaliman itu tidak lain adalah sebuah kemungkaran. Ingatlah kita kepada sabda Rasulullah SAW:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Barang siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan hati, dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman.”

Riwayat Muslim (49)

Semoga kita semua menjadi seorang yang bertanggungjawab dalam membanteras kezaliman dalam masyarakat serta negara kita yang tercinta ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam