#4330: Konsep Qiwamah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan isu qiwamah yang terkait ketidakadilan jantina dalam kisah Nabi Musa A.S?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Qiwamah (القِوَامَةُ) atau kepimpinan itu merupakan kata pinjaman bahasa Arab kepimpinan terhadap sesuatu perkara, harta dan maslahah. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 768)

Melihat kepada soalan yang diajukan oleh saudara, kisah Nabi Musa A.S di Madyan menunjukkan kepada fenomena ketidakadilan terhadap kaum wanita daripada mendapatkan akses yang sewajarnya kepada sumber kehidupan iaitu air bersih. Ibn ‘Asyur mengatakan bahawa Liya dan Safurah terhalang untuk mengambil air kerana tiada lelaki yang boleh membantu mereka untuk meredah kerumunan yang sesak bagi mendapatkan air. Manakala menurut Ibn Kathir, wanita-wanita berkenaan terhalang kerana batu besar lagi berat yang diletakkan di atas perigi yang menjadi sumber air bagi diri mereka dan binatang ternakan mereka. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 20/100; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/227)

Fenomena ini boleh dikaitkan dengan keadaan semasa apabila sebahagian wanita pada zaman ini tidak mendapat akses kepada pendapatan atau pekerjaan yang memadai, supaya dapat mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan dan kefakiran. Ditambah lagi dengan gejala sosial yang lain seperti nafkah dinafikan oleh suami dan ibu tunggal yang menyara ramai anak. Solusi yang diberikan oleh al-Quran ialah tindakan Nabi Musa A.S sebagai seorang lelaki yang menolong dua orang wanita berkenaan, dianggap sebagai tindakan yang penuh tanggungjawab. Hal ini kerana lelaki telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai pengurus bagi kehidupan golongan wanita. Firman Allah SWT:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pelindung kepada kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan lelaki dengan beberapa keistimewaan melebihi perempuan.”

(Surah al-Nisa’: 34)

Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat di atas dengan menyatakan Allah SWT menjadikan lelaki sebagai pemimpin bagi wanita dengan mendidik dan menjaganya di rumah.Kewajipan ke atas wanita mentaati perintah suami selagi mana dia tidak menyuruh ke arah maksiat. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 5/169)

Begitu juga, golongan lelaki adalah pelindung kepada golongan wanita. Firman Allah SWT:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Orang yang beriman dalam kalangan lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi pelindung kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada perkara ma‘ruf, melarang daripada kemungkaran, mendirikan solat, menunaikan zakat serta taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu adalah golongan yang akan dirahmati Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah: 71)

Terdapat juga hadith yang menyebut bahawa golongan lelaki merupakan adik-beradik atas dasar kemanusiaan dengan golongan wanita. Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنََّّمَا النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Sesungguhnya golongan perempuan ialah adik-beradik kandung kepada golongan lelaki.”

Riwayat Abu Dawud (236)

Oleh itu, Sayyid Qutb berkata sebab utamanya ialah mereka lemah kerana mereka perempuan, sedangkan penggembala-penggembala itu lelaki belaka dan bapa mereka tidak lagi berupaya menggembala ternakan dan berebut-rebut dengan lelaki. Maka, Nabi Musa A.S yang bermaruah dan berfitrah membetulkan keadaan itu dengan memberi minum kepada ternakan dua orang perempuan itu, sekalipun Baginda sedang sibuk diburu musuh-musuh dari negeri yang lama, tetapi hal itu tidak menghalangnya menegakkan hak yang tabii. (Lihat Terjemahan Fi Zilal al-Quran, 20/317)

Justeru, apabila berlaku penindasan dan ketidakadilan terhadap golongan wanita, atau terhadap golongan lelaki, maka pihak yang lebih berkemampuan adalah pelindung dan pembantu kepada pihak yang lemah, sekalipun boleh jadi pihak yang menzalimi yang dilawan itu adalah daripada jantinanya sendiri. Pemeliharaan atas dasar kemanusiaan, keimanan dan kasih sayang ini dijana oleh al-Quran dalam menangani masalah ketidakadilan berdasarkan gender dalam apa jua bentuk sekalipun.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam