#4331: Kelebihan Fikir dan Zikir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah fikir dan zikir merupakan kunci penerokaan ilmu? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ‎﴿١٩٠﴾‏ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

(Surah al-Imran: 190-191)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan zikir satu ibadah merupakan ungkapan yang biasa didengar dan tidak sukar untuk difahamai dan diamalkan oleh masyarakat Islam umumnya. Namun jika perkataan zikir digantikan dengan fikir, ramai yang akan tertanya bagaimana ia boleh dikategorikan sebagai ibadah tanpa ada suatu bentuk amali secara fizikal. Hal ini telah pun berlaku di zaman salaf apabila ada yang bertanya kepada para sahabat dan ilmuwan di zaman itu mengenai fikir sebagai ibadah.

Imam Malik pernah ditanya: “Adakah tuan menganggap tafakur sebahagian dari amal ibadah?” Beliau berkata: “Ya, tafakur adalah keyakinan”. Bahkan sebagai penegasan kepada kepentingan ibadah tafakur ini, Aishah RA meriwayatkan bahawa sebaik selesai membacakan ayat ini kepada para sahabat, Rasulullah SAW bersabda:

وَيْلٌ لِمَنْ قَرَأَهَا وَلَمْ يَتَفَكَّرْ فِيهَا

Maksudnya: “Celakalah! Sesiapa yang membaca ayat ini, tetapi tidak bertafakur mengenai tuntutan yang tersirat di dalamnya.”

Riwayat Ibn Hibban(620)

Lanjutan itu, hasil gabungan tuntutan supaya membaca seawal wahyu pertama diturunkan, serta tuntutan berfikir dan menggunakan akal fikiran dalam menentu sikap, membuat pilihan dan menunaikan tanggungjawab dalam semua aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi dengan berbagai pendekatan dan gaya persembahan unik Quran dan Sunah, masyarakat Islam mula mengubah budaya hidup mereka dari bertaklid buta kepada pegangan dan amalan nenek moyang terdahulu kepada berfikir tentang rasional dan sandaran hujah; daripada memperhambakan diri mentaati para pembesar dan bangSAWan mengikut hawa nafsu mereka tanpa usul periksa kepada bermuhasabah tentang kemuliaan dan kebijaksanaan diri;  daripada menerima bulat-bulat apa yang disogokkan kepada mereka oleh pendeta ahli kitab kepada menilai dan menyelidik kebenaran fakta dan keserasian data; daripada terikut-ikut dengan sikap dan pandangan orang terbanyak tanpa mempedulikan sama ada sahih atau fitnah kepada keberanian untuk menyanggah dengan hujah; dan daripada berpeluk tubuh mengakurkan diri selaku bangsa yang tidak tahu menulis, membaca dan mengira kepada berusaha bermatian menguasai pengetahuan dan meneroka ilmu. Lantas dalam masa yang singkat mereka muncul sebagai pemimpin dunia dalam semua bidang kehidupan dan tamadun mereka kekal tercatat dalam lipatan sejarah sehingga ke hari ini sebagai sebaik-baik tamadun menyantuni umat sejagat. Sejarah membuktikan betapa kemajuan yang diterajui dunia barat hari ini adalah lanjutan dari kegemilangan pencapain pengkajian, pemikiran dan penerokaan ilmu oleh para sarjana Islam di era keemasan tamadun mereka.  (Lihat al-Islam al-Nasraniyyah Ma al-’ilmi wa al-Madaniyyah, 170 & 201)

Sebagai Khaira Ummah yang telah terpilih untuk menerima panji-panji khilafah dari umat terdahulu, umat Islam bukan sahaja perlu kembali menguasai semua bidang ilmu dan teknologi terkini, malah perlu mengatasi bangsa lain dalam semua aspek penerokaan dan eksplorasi saintifik agar tanggungjawab ini dapat dilunaskan dengan sempurna dan terhormat.(Lihat Mawqif Islam Min ’Aql wa al-’Ilm, hlm.51)

Al-Qardhawi menyatakan bahawa sebagai seorang khalifah di muka bumi, setiap Muslim perlu melihat alam raya yang menaunginya ini dari kiri ke kanan, dari hadapan ke belakang, dari atas ke bawah kerana Allah SWT Yang menciptanya dan mencipta alam ini sebelumnya telah memerintahkannya supaya melihatnya, bukan sekadar melihat dengan mata kasar tetapi dengan mata seorang akil dan pemikir yang meneliti dan mengkaji, membanding dan membeza, merujuk dan membincang. Penemuan saintifik moden menunjukkan bahawa setiap bahagian kecil dari alam ini, jika dikaji dan diselidiki didapati bahawa daripadanya terpecah beribu-ribu bahagian kecil lain. (Lihat Mawqif Islam Min ’Aql wa al-’Ilm, hlm.51)

 Seiring dengan ini Muhammad Abduh menegaskan bahawa Islam satu-satunya agama yang menunjukkan kepatuhan pengikutnya kepada tuntutan agama dapat diukur melalui penguasaan mereka terhadap ilmu sains atau duniawi. Mereka sekali-kali tidak memusuhi ilmu moden kecuali setelah mereka tergelincir dari pemahaman sebenar agama mereka. Setiap kali mereka mengabaikan agama, setiap kali itulah perkembangan pemikiran mereka menjadi mundur. Sebaliknya setiap kali mereka menguasai ilmu agama setiap kali itulah penguasaan ilmu sains dan duniawi berada dalam genggaman mereka dan kemuliaan serta kedaulatan di bawah naungan mereka. (Lihat al-Islam al-Nasraniyyah Ma al-’ilmi wa al-Madaniyyah, 184-185)

Hal ini adalah kerana seperti yang tersirat di dalam ayat ini, zikir dan fikir adalah dua tututan ibadah yang saling berkait antara satu sama lain. Sebagaimana ibadah dan khilafah menjadi dua tanggungjawab utama pengutusan manusia ke muka bumi, begitulah akrabnya zikir dan fikir dalam merealisasikan amanah ini. Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah amalan berzikir dan berfikir merupakan dua kedudukan yang saling membuahkan berbagai pengetahuan dan menyerlahkan hakikat iman dan ihsan. Seorang yang arif akan sentiasa memanjatkan zikir kepada Allah SWT sebaik tafakurnya membuahkan hasil dan akan terus bertafakur bagi mencerap rahsia di sebalik zikirnya, sehinggalah kunci-kunci pintu hatinya terungkai dengan izin Yang Maha Pembuka lagi Maha Mengetahui. Hasan al-Basri pula mengatakan bahawa ahli ilmu akan sentiasa kembali dari tafakur kepada zikir, seterusnya dari zikir kepada tafakur sehinggalah hati mereka berkata-kata dengan hikmah. Maka itu, tafakur dan zikir adalah benih-benih ilmu. Sebagai rumusan zikir dan fikir adalah dua rukun meneroka pengetahuan dari alam semesta ciptaan Allah SWT Rahsia dan hikmat di sebalik penciptaannya adalah milik Allah SWT Hanya kuasa dan kehendak mutlak-Nya yang menentukan kepada siapa ilmu ini didedahkan. Justeru, zikir dan fikir mendekatkan Muslim untuk menggapai setitis dari lautan ilmu Allah SWT yang tidak bertepi untuk kebaikan diri dan umat sejagat dalam konteks menunaikan tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah SWT mahupun khalifah Allah SWT Zikir tanpa fikir tidak akan membuahkan ilmu baharu yang meningkatkan keimanan dan keyakinan kepada keesaan dan keagungan Allah SWT Begitu juga fikir tanpa zikir tidak akan mampu untuk menyingkap secebis hakikat rahsia yang mencetus rasa kehambaan dan keinsafan di sebalik sesuatu ciptaan-Nya. Sebaliknya, sedikit penemuan dari pengkajian yang berasaskan ‘fikir’ semata-mata akan mendorong pengkajinya kepada keegoan dan kerakusan. (Lihat Tafsir al-Manar, 4/245-246,Ruh al-Ma’ani, 2/369, Zahrah al-Tafair,3/1548)

Senario hari ini menunjukkan bahawa negara umat Islam merupakan majoriti penghuni kategori negara kelas ketiga yang jauh ketinggalan dari sudut sains dan teknologi. Dalam konteks negara Malaysia, dasar nisbah 60:40 enrolmen pelajar dalam bidang sains kepada sastera yang diperkenalkan sejak dari tahun 1967 dan disasarkan pencapaiannya pada tahun 1980, di peringkat menengah dan tinggi, sehingga kini masih belum berjaya direalisasikan, walaupun berbagai inisiatif dan insentif telah diberikan oleh pihak kerajaan.

Justeru kami katakan, sebagai salah satu cara untuk umat Islam hari ini kembali menguasai bidang sains dan teknologi yang menjadi teras kepada kekuatan dan kedaulatan negara bangsa ialah dengan menghidupkan kembali budaya fikir dan zikir secara komprehensif dalam kalangan umat Islam sejak dari awal menjejakkan kaki dalam arus pendidikan, sama ada secara formal mahupun tidak formal.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam