#4332: Adakah Anak Menanggung Hutang Ibubapanya?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sudah lama mahu bertanya pendapat ahli agama tentang bagaimana cara melayan ibu bapa yang mempunyai sifat ‘Narcissist’? Ibu bapa begini selalu memaki, menuduh anak derhaka, merendahkan anak-anak & mendoakan anak-anak dengan benda-benda yang tidak baik. Jadi adakah berdosa jika anak-anak berjauhan daripada mereka kerana tidak tahan dengan kata-kata mereka? Selain itu, adakah wajib anak-anak menanggung hutang ibu bapa begini? Terima kasih jika sudi ulas kerana ramai anak-anak yang mengalami tekanan mental bila mempunyai ibu bapa sebegini.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Narcissistic

Gangguan Kepribadian Narsistik atau narcissistic personality disorder (NPD) adalah gangguan mental yang membuat seseorang merasa lebih penting dibandingkan orang lain. Meskipun mereka terlihat angkuh, namun hakikatnya mereka tidak percaya pada kemampuan sendiri dan amat takut akan kekalahan ketika bersaing dengan orang lain. Antara sifat-sifat mereka yang mengalami masalah ini adalah mudah marah, ego tinggi, meremehkan pencapaian orang lain, haus pujian dan mementingkan diri sendiri dari orang lain. Begitu juga, antara faktor terjadinya masalah ini adalah disebabkan trauma pada masa silam, genetik, masalah neurobiologi dan kritikan yang melampau pada zaman kanak-kanak. (Lihat Portal Hello Doktor)[1]

Definisi Hutang

Hutang adalah hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. ( Lihat al-Fiqh al-Manhaji, (6/82), Mughni al-Muhtaj, (2/117) dan al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Buyu’, (hlm. 45)

Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai al-qardh (القَرضَ). Al-Qardh dari segi bahasa bermaksud potong. Menurut kamus al-Misbah al-Munir (2/497): ‘قَرَضْتُ الشَّيْءَ قَرْضًا’ bermaksud saya memotong sesuatu. Kata nama perkataaan ini pula membawa maksud satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Perkataan ini digunakan dalam bahasa Arab kerana ia  (hutang) memotong hak pemilik terhadap barangan tersebut.

Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. Dalam bahasa Arab, proses ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada kepada penghutang. Ini sesuai dengan makna qardh dari segi bahasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122)

Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

 (Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/411)

Rasulullah SAW juga bersabda:

نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”

 Riwayat Ibnu Majah (2413), al-Tirmizi (1079) dan al-Baihaqi (6891)

Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadith ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193 dan Mir’at al-Mafatih, 8/152)

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan pertamanya kami puji dengan kesabaran anda dalam menyantuni sikap ibu bapa yang mempunyai penyakit sebegini. Kami fahami setiap orang khususnya sebagai seorang anak, sudah pasti kita tidak selesa dan kecil hati apabila dimaki hamun sebegitu. Namun, percayalah setiap ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambaNya itu, kerana Allah mahu mengangkat darjat kita dan Allah menguji hambaNya mengikut kemampuannya. Sepertimana firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Oleh itu, kami nasihatkan agar anda janganlah membenci ibubapa anda kerana seburuk mana pun sikap mereka, mereka tetap ibubapa kita. Meskipun kesabaran itu ada tahapnya, namun sebagai anak yang baik, cubalah kita bersabar dan tidak terlalu mengambil hati akan apa yang dikatakan kerana mereka sedang sakit. Sekiranya dikhuatiri apabila duduk bersama akan menyebabkan anda derhaka kepada ibu bapa anda, maka tidak mengapa untuk tinggal berjauhan. Namun, tegas kami di sini janganlah sehingga melepaskan tanggungjawab kita sebagai anak terutamanya jika ibubapa kita sudah uzur. Dalam pada itu, bagi isu hutang, ahli waris tidak wajib membayar hutang ibubapanya yang sudah meninggal, namun hukumnya mustahab (dianjurkan) untuk membantu melangsaikan hutang mereka. (Lihat Kasyful al-Qina’, 2/84)

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syaria’tnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/kesihatan-mental-lain/maksud-narsisistik-individu/