#4333: Adakah Hijrah Nabi SAW Seumpama Pelarian?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah hijrah Rasulullah SAW sama seperti pendatang dan pelarian?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada musim haji tahun ke-11 kenabian, Rasulullah SAW keluar menemui kabilah-kabilah pada waktu malam. Baginda bertemu dengan 6 anak muda dari kabilah Khazraj dari Yathrib (Madinah) di Aqabah yang terletak di Mina. Para pemuda tersebut ialah: As’ad Bin Zurarah, Auf Bin Harith, Rafi’ Bin Malik, Qutbah Bin Amir, Uqbah Bin Amir dan Jabir Bin Abdullah. Mereka amat berharap agar Rasulullah SAW sebagai penamat dalam peperangan saudara itu. Mereka pulang ke Madinah membawa risalah Islam sehingga setiap rumah mendapat maklumat tentang Rasulullah SAW.

Sebelum Rasulullah SAW meninggalkan Makkah, baginda bersabda ketika berdiri di kawasan Hazwarah:

وَاَللَّهِ إنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللَّهِ، وَأَحَبُّ أَرْضِ اللَّهِ إلَى اللَّهِ، وَلَوْلَا أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ مَا خَرَجْتُ

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya engkau (Makkah) adalah sebaik-baik bumi Allah, dan bumi Allah yang sangat dicintai Allah SWT. Sekiranya aku tidak diusir darimu, pasti aku tidak akan keluar meninggalkanmu.”

Riwayat al-Tirmizi (3629)

Maka, pada malam Isnin, bulan Rabiul Awwal Tahun Pertama Hijrah, Rasulullah SAW bersama sahabatnya Abu Bakar  berangkat ke Madinah. Bersama mereka juga Amir Bin Fuhairah dan Abdullah Bin Uraiqit sebagai petunjuk jalan, manakala Asma Binti Abu Bakar datang membawa makanan sebelum hijrah dimulakan. Maka, bermulalah penghijrahan Rasulullah SAW bersama sahabatnya Abu Bakar al-Siddiq ke kota suci Madinah al-Munawwarah. Kisah perjalanan baginda lebih lanjut boleh dirujuk di buku kami: Garis Masa Hayat al-Rasul SAW.

Justeru menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah al-Munawwarah bukanlah dianggap sebagai pelarian atau pendatang, tetapi jelas menunjukkan ia satu hidayah dari Allah SWT dan undangan dari kabilah Madinah sendiri.

Kami juga tegaskan di sini beberapa poin yang menunjukkan hijrah Nabi SAW berbeza dengan pelarian:

  • Bahasa hijrah digunakan oleh Allah SWT dalam al-Quran.
  • Rasulullah SAW berhijrah selepas diizinkan oleh Allah SWT sebagaimana dalam riwayat yang masyhur.
  • Konsep hijrah yang dilakukan adalah kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

 فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ

Maksudnya: Maka siapa yang adalah di kalangan kamu hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya.

Riwayat al-Bukhari (2529) dan Muslim (1908)

Kami telah syarahkannya dengan panjang lebar, dalam kitab al-Kafi dalam hadith yang pertama oleh Imam al-Nawawi, halaman 13-14.

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syaria’tnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”