#4335: Ayam Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW ada membela ayam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ، فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا، وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا

Maksudnya: “Jika kamu mendengar ayam berkokok maka mohonlah kepada Allah SWT akan kurniaan-Nya, kerana ia (ayam) melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar bunyi (suara) keldai maka mohon perlindunganlah kepada Allah SWT daripada Syaitan, kerana ia (keldai) sedang melihat syaitan”.

Riwayat al-Bukhari (3303)

Antara kelebihan yang ada pada ayam ialah ia mengetahui waktu-waktu walaupun kadangkala siang itu panjang dan juga kadangkala siangnya pendek. Begitu juga, ia berkokok sebelum dan selepas subuh. Maha suci Allah yang menjadikan ayam seperti itu. (Lihat Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari, 5/309)

Menjawab persoalan di atas, kami menukilkan daripada Al-Mulla Ali al-Qari daripada al-Syeikh Muhibuddin al-Tabari bahawa Rasulullah SAW mempunyai seekor ayam jantan bewarna putih dan para sahabat akan bermusafir dengan membawa bersama ayam jantan agar ia dapat menunjukkan kepada mereka waktu-waktu solat. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2677; dan Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/478)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”