#4339: Syura Membawa Berkat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah amalan syura dalam organisasi boleh membawa keberkatan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya: Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;

(Surah Syura:38)

Menjawab bagi persoalan di atas kami kataka di sini bahawa  Syura merupakan elemen penting yang boleh menyumbang kepada kejayaan tadbir urus sesebuah organisasi. Kepelbagaian pandangan dan pemilihan pandangan yang terbaik dapat menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi. Tanpa syura, keputusan yang diambil mungkin lebih bersifat individu dan tidak menyeluruh. Impaknya boleh merugikan organisasi, masyarakat dan negara secara umum. Terdapat tiga elemen utama yang boleh dijadikan sebagai garis panduan amalan syura, iaitu: [1]

  • Berkumpul dan bermusyawarah di antara ketua dan ahli mesyuarat. Lazimnya syura lebih tertumpu kepada urusan keduniaan seperti urusan pentadbiran, pendidikan, peperangan, perdamaian, ekonomi, senibina, pertanian, perladangan, hubungan antara manusia dan sebagainya. Kesemua urusan keduniaan ini perlulah dimusyawarahkan berdasarkan kepada pertimbangan maslahat yang lebih besar dan juga dapat mengelakkan mudarat. Malah, syura bukan sekadar mengikut pandangan majoriti, tetapi ia turut menilai setiap pandangan yang diberikan dan mengambil pandangan yang terbaik. secara sepakat. Justeru, kehadiran setiap ahli memainkan peranan yangbesar dalam membuat sesuatu keputusan. Adalah tidak wajar sekiranya ahli mesyuarat tidak hadir dan mempertikaikan keputusan mesyuarat sedangkan ia telah diputuskan dengan pertimbangan antara maslahat dan mudaratnya.
  • Melaksanakan keputusan syura. Setiap keputusan yang diambil dalam mesyuarat dan diterima sebulat hati oleh semua ahli yang terlibat mestilah dilaksanakan dengan azam yang teguh tanpa sebarang keraguan, kebimbangan dan sedia menanggung segala risiko daripada keputusan tersebut. Inilah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam pelbagai situasi dalam sirahnya seperti ketika perang Uhud. Bertawakkal kepada Allah SWT dengan menyandarkan segala keputusan dan perancangan itu di bawah pengaturan-Nya. Menurut HAMKA, tawakal itu mestilah sentiasa diiringi dengan syukur dan sabar. Syukur jika apa yang direncanakan telah berhasil dengan jayanya dan sabar jika apa yang direncanakan itu kurang berjaya atau gagal. Ikhlaslah menyerahkan diri kepada Allah SWT agar taufik dan hidayah-Nya sentiasa bersamanya agar kita tidak hilang kewarasan kerana kegagalan.

Justeru kami katakan di sini bahawa Amalan syura atau musyawarah dapat menghindari manusia daripada berlakunya perselisihan. Ia dianjurkan dalam agama kerana keputusan yang diambil secara bersama lebih diberkati oleh Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat :  https://www.pendidik.com.my/2019/03/12/amalan-Shura-membawa-berkat/