#4341: Makar (مكر) Allah dan Makar (مكر) Manusia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah tipu daya manusia itu boleh mengatasi perancangan Allah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Makar bermakna akal yang busuk dan tipu muslihat. Makar juga disebut sebagai perbuatan atau usaha dengan bermaksud hendak menyerang atau membunuh orang. Para ulama mendefinisikan makar sebagai tipu daya. Adapun maksud makar Allah SWT dengan hanya menggunakan perkataan yang sama, tetapi dengan maksud perancangan dan tipu helah musuh, Allah lebih Mengetahui lagi Maha Bijaksana untuk membalas kembali.

Allah SWT pun beberapa kali menyebut kata makar di dalam al-Quran. Di antaranya, firman-Nya:

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

Maksudnya: Golongan kafir dalam kalangan Bani Israel pula merancang tipu daya untuk membunuh Nabi Isa, lalu Allah membalas tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah sebaik-baik pembalas segala jenis tipu daya.”

 (Surah Ali Imran: 54)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Sebahagian ulama mengatakan, perkataan makar dalam bahasa al-Quran bermaksud mengalihkan pihak lain dari apa yang dikehendaki dengan cara tersembunyi atau tipu daya. Menurut mereka lagi, makar terbahagi kepada dua jenis iaitu; makar baik dan makar buruk. Manakala makar yang buruk tidak akan menimpa selain orang-orang yang merencanakannya sendiri.

Jika musuh-musuh Allah SWT melakukan makar, maka Allah SWT pun melakukan makar. Namun, tujuannya baik, iaitu menghalangi rencana makar mereka. Oleh kerana itu, Allah SWT adalah sebaik-baik pembalas tipu daya. Dia yang Maha Perkasa tidak pernah dikalahkan. Justeru, Allah SWT membiarkan para penipu melanjutkan rencananya. Namun, ketika tiba masa pelaksanaan, Dia membatalkan maksud mereka. Pada akhirnya, Allah SWT pun memenangkan rasul-Nya dan menyeksa musuh-musuh-Nya.

Ayat-ayat tentang makar banyak terdapat di dalam al-Quran. Sebagai contohnya di dalam Surah Ibrahim ayat 46, Surah al-Ra‘d ayat 42 dan Surah Yusuf ayat 102. Di dalam konteks sirah Rasulullah SAW pula, Allah SWT berfirman:

وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

Maksudnya:  Ingatlah wahai Muhammad! Ketika orang kafir musyrik merancang tipu daya terhadapmu sama ada untuk menahanmu atau membunuhmu atau juga mengusirmu dari bumi Makkah ke negeri lain. Sesungguhnya mereka merancang pelbagai tipu daya dan Allah menggagalkan semua tipu daya mereka, kerana Allah adalah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.

(Surah al-Anfal: 30)

Sayyid Qutub dalam Fi Zhilal al-Quran menjelaskan, ayat ini mengingatkan apa yang terjadi di Makkah. kaum Muslimin diceritakan kembali bagaimana rencana tipu daya kaum musyrikin kepada Rasulullah SAW sebagai bekal untuk menghadapi dan mengalahkan mereka serta bukannya sekadar selamat dari rencana tipu daya mereka semata-mata.

Mereka telah berusaha untuk mengusir atau membunuh Rasulullah SAW dengan menugaskan pemuda-pemuda dari beberapa kabilah. Pada satu malam, kaum Quraisy berunding di satu tempat di Makkah. Sebahagian daripada mereka memberi cadangan untuk mengikat Nabi SAW. Manakala sebahagian lainnya pula ingin membunuhnya dan ada juga yang memberi cadangan untuk mengusir. Saat mereka menyergah masuk ke dalam rumah Nabi SAW, ternyata pemuda-pemuda itu mendapati yang berada di tempat tidur Baginda SAW ialah Ali R.A. Mereka pun berganjak untuk menelusuri jejak Nabi SAW. Lalu mereka melihat gua Thaur dan hendak memasuki gua tersebut. Namun, mereka membatalkan rencana mereka kerana melihat di pintu gua itu ada sarang labah-labah. Padahal Nabi SAW dan Abu Bakar al-Siddiq R.A sedang bersembunyi di gua itu hingga berlanjutan selama tiga malam.

Sayyid Qutb menjelaskan bahawa al-Quran memerihalkan kejadian ini sekaligus menghina mereka. Manusia yang gagah perkasa hanyalah makhluk lemah dibandingkan

kekuasaan Allah SWT Yang Maha Perkasa. Dialah Yang mengatur segala urusan-Nya tanpa ada yang mampu menghalanginya kerana kekuasaan-Nya meliputi segala sesuatu. Tambahan lagi, makar disebut hingga tiga kali di dalam beberapa surah al-Quran, tidak lain tidak bukan ia sebagai suatu penegasan bahawa Allah SWT merupakan sebaik-baik pengatur makar.

Justeru kami katakan di sini Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa sehebat mana pun perancangan dan tipu daya orang-orang kafir itu dalam menentang gerakan dakwah Islam, perancangan Allah adalah lebih hebat dan teguh serta dapat mengatasi perancangan mereka. Justeru, jangan sesekali kita pernah berputus asa daripada pertolongan dan rahmat-Nya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Wallahua’lam