#4345: Takhta dan Harta Adalah Pinjaman Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimana cara kita cuba memahami yang takhta dan harta semuanya pinjaman daripada Allah SWT? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كَمْ تَرَكُوا۟ مِن جَنَّـٰتٍۢ وَعُيُونٍۢ ٢٥ وَزُرُوعٍۢ وَمَقَامٍۢ كَرِيمٍۢ ٢٦ وَنَعْمَةٍۢ كَانُوا۟ فِيهَا فَـٰكِهِينَ ٢٧ كَذَٰلِكَ ۖ وَأَوْرَثْنَـٰهَا قَوْمًا ءَاخَرِينَ

Maksudnya: Banyak sungguh kebun-kebun dan matair, mereka tinggalkan,  Dan juga berbagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah – mulia,  Dan juga kemewahan hidup, yang mereka sekian lama menikmatinya.  Demikianlah keadaannya (hukum Kami ke atas orang-orang yang derhaka); dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan orang-orangnya: milik kaum yang lain (kaum Bani Israil).

(Surah al-Dukhan : 25-28)

Menjawab bagi persoalaln di atas kami katakan bahawa Sebagaimana yang kita ketahui, Firaun dan kaumnya bersikap sombong terhadap Allah SWT lantaran mereka memiliki takhta dan harta yang banyak. Sungguhpun Nabi Musa A.S telah mengemukakan keterangan serta bukti yang nyata dengan mukjizat yang dianugerahkan kepadanya, mereka tetap berkeras dengan keingkaran mereka serta berhasrat untuk membunuh Baginda A.S bagi menghalang penyebaran risalah tauhid. Akhirnya mereka ditenggelamkan oleh Allah SWT di dasar lautan, lalu meninggalkan sejumlah harta yang begitu banyak sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Surah al- Dukhan, ayat 25 hingga 27.

Ternyata kesenangan yang dinikmati ketika di dunia tidak menatijahkan kesenangan mereka di akhirat. Kedudukan dan takhta yang menjadi kemegahan mereka tidak mampu mengekalkan mereka untuk selama-lamanya berada di puncak kuasa. Harta yang dimiliki juga tidak boleh dibawa mati untuk dimanfaatkan di alam baqa. Malah, kesemua perbendaharaan Firaun dan kaumnya itu telah berpindah milik kepada Bani Israel setelah mereka mati dalam keadaan yang hina. Lalu Bani Israel dinobatkan sebagai bangsa terpilih berbanding bangsa-bangsa lain di zaman mereka. Kedudukan mereka diangkat dengan disaksikan pelbagai tanda kebesaran Allah SWT kepada mereka seperti mereka diselamatkan daripada penindasan Firaun, mereka dibekalkan makanan berupa manna dan salwa, mereka diberikan minuman air yang terpancar dari batu ketika dahaga, dan mereka dinaungi awan tatkala panas terik yang membakar. Malangnya, dengan kemuliaan kedudukan dan segala kenikmatan tersebut, ditambah pula dengan segala harta yang ditinggalkan Firaun dan kaumnya, mereka turut hanyut dalam kenikmatan yang nyata itu. Lalu menyekutukan Allah SWT dengan menyembah lembu betina, di mana perbuatan mereka itu jelas mengingkari seruan dakwah Nabi Musa A.S.

Benarlah bahawa takhta dan harta boleh menipu daya manusia yang tidak memiliki keteguhan iman. Pangkat dan kedudukan boleh menjadikan mereka sombong serta memerangkap mereka daripada mengingati Tuhan. Demikianlah juga di hari akhirat kelak, mereka tidak mempunyai masa depan yang cerah.

Allah SWT berfirman:

تِلْكَ الدَّارُ الْآخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِي الْأَرْضِ وَلَا فَسَادًا ۚ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

Maksundya :  ‎“Itulah negeri akhirat yang Kami sediakan sebagai balasan yang baik bagi mereka yang tidak mahu menunjukkan sifat takbur, bongkak dan melakukan kerosakan di muka bumi, dan kesudahan yang baik bagi orang bertakwa.”

 (Surah al-Qasas: 83)

Hakikatnya, akhirat bukanlah tempat bagi golongan yang cintakan pangkat dan kedudukan. Bagitu juga, Nabi Muhammad SAW ada mengingatkan mengenai fitnah harta yang sangat berbahaya kepada manusia. ‘Amr bin ‘Auf R.A telah meriwayatkan dalam satu hadith yang panjang, bahawa Nabi SAW telah bersabda kepada sahabat-sahabatnya:

فأبْشِرُوا وأَمِّلُوا ما يَسُرُّكُمْ . فَواللَّهَِّ، ما الفَقْرَ أخْشى علَيْكُم، ولَكِنْ أخْشى علَيْكُم أنْ تُبْسَطَ عَلَيْكُمُ الدُّنْيا، كما بُسِطَتْ على مَن كانَ قَبْلَكُمْ. فَتَنافَسُوها كما تَنافَسُوها، وتُلْهيكُمْ كما ألْْهَتْهُمْ.

Maksudnya: Bergembiralah dan bercita-citalah dengan sesuatu yang membahagiakan kamu. Demi Allah! Bukan kefakiran yang aku bimbang menimpa kamu, tetapi yang aku bimbang menimpa kamu ialah apabila dilimpahkan harta dunia kepada kamu sebagaimana yang telah dilimpahkan kepada orang-orang sebelum kamu. Lalu kamu berlumba-lumba merebutnya sebagaimana mereka berlumba-lumba merebutnya, sehinggalah harta dunia itu membinasakan kamu sebagaimana ia telah membinasakan mereka.”

Riwayat Muslim (3158)

Justeru kami katakan dengan senario umat Islam masa kini, diperhatikan bahawa terdapatnya manusia yang menjadikan pangkat dan harta sebagai buruan tanpa mengenal kemanusiaan dan sempadan iman. Bahkan sebahagian mereka sanggup melampaui batas syarak dan menghalalkan segala tingkah demi mengecapi matlamat kekuasaan yang membinasakan. Moga Allah SWT melindungi umat Islam daripada ketamakan harta dan kedudukan.

Kami akhiri dengan memetik sebuah hadith daripada Sa‘id bin al-Musayyib dan ‘Urwah bin al-Zubair, bahawa Hakim bin Hizam RA berkata:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَعْطَانِي ثُمَّ سَأَلْتُهُ، فَأَعْطَانِي ثُمَّ قَالَ لِي: «يَا حَكِيمُ، إِنَّ هَذَا الْمَالَ خَضِرٌ حُلْوٌ، فَمَنْ أَخَذَهُ بِسَخَاوَةِ نَفْسٍ، بُورِكَ لَهُ فِيهِ وَمَنْ أَخَذَهُ بِإِشْرَافِ نَفْسٍ، لَمْ يُبَارَكْ لَهُ فِيهِ، وَكَانَ كَالَّذِي يَأْكُلُ وَلاَ يَشْبَعُ، وَاليَدُ العُلْيَا خَيْرٌ مِنَ اليَدِ السُّفْلَى»، قَالَ حَكِيمٌ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالحَقِّ لاَ أَرْزَأُ أَحَدًا بَعْدَكَ شَيْئًا حَتَّى أُفَارِقَ الدُّنْيَا، فَكَانَ أَبُو بَكْرٍ يَدْعُو حَكِيمًا لِيُعْطِيَهُ العَطَاءَ، فَيَأْبَى أَنْ يَقْبَلَ مِنْهُ شَيْئًا، ثُمَّ إِنَّ عُمَرَ دَعَاهُ لِيُعْطِيَهُ، فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهُ، فَقَالَ: يَا مَعْشَرَ المُسْلِمِينَ، إِنِّي أَعْرِضُ عَلَيْهِ حَقَّهُ، الَّذِي قَسَمَ اللَّهُ لَهُ مِنْ هَذَا الفَيْءِ، فَيَأْبَى أَنْ يَأْخُذَهُ، فَلَمْ يَرْزَأْ حَكِيمٌ أَحَدًا مِنَ النَّاسِ بَعْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى تُوُفِّيَ رَحِمَهُ اللَّهُ

Maksudnya: Aku meminta kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda memberikan kepadaku. Kemudian aku meminta lagi kepadanya dan Baginda memberikan kepadaku. Kemudian Baginda bersabda kepadaku: “Wahai Hakim, Sesungguhnya harta itu hijau lagi manis. Maka, sesiapa yang mengambilnya dengan murah hati, maka diberikan keberkatan buatnya pada harta itu, dan sesiapa yang mengambilnya dengan penuh ketamakan, maka tiada keberkatan buatnya pada harta itu. Keadaannya adalah sama seperti orang yang makan tetapi tidak kenyang. Tangan yang berada di atas (memberi) lebih baik daripada tangan yang berada di bawah (menerima).”

Hakim berkata: Maka, aku berkata: “Wahai Rasulullah, demi Zat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak akan minta sesuatu kepada seorang pun sesudahmu sehinggalah aku berpisah dengan dunia (meninggal dunia).” Setelah itu, Abu Bakar memanggil Hakim untuk memberikannya sesuatu, namun dia enggan menerima daripadanya sesuatu pun. Kemudian, Umar juga memanggilnya untuk memberikannya sesuatu, namun dia enggan menerimanya. Lalu Umar berkata: “Wahai kaum muslimin, sesungguhnya aku telah mengajukan kepadanya haknya yang telah Allah bahagikan untuknya daripada harta al-Fai’[1]  ini, namun dia enggan untuk mengambilnya.” Hakim tidak pernah meminta kepada seorang pun daripada kalangan manusia setelah Nabi SAW sehinggalah dia wafat – semoga Allah merahmatinya.

Riwayat al-Bukhari (2750)

Hikmah yang lain betapa Hakim bin Hizam enggan menerima pemberian walaupun sesudah wafat Rasulullah SAW daripada Khalifah Umar ibn al-Khattab semata-mata bercita-cita untuk membuktikan kebenaran janjinya kepada Nabi SAW sehingga Allah SWT memberkatkan rezekinya sekalipun sedikit dan menjadikan tangannya sentiasa di atas yang bersifat memberi dan bukan menerima. Bahkan, beliau banyak berinfak tanpa merasa takut akan jatuh miskin atau kekurangan harta. Inilah yang terjadi kepadanya. Beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan Muawiyah dan sesungguhnya beliau di antara orang Quraisy yang paling kaya sekalipun beliau banyak berinfak. Antaranya ketika beliau melaksanakan ibadat haji, beliau telah menghadiahkan atau berinfak 1,000 ekor unta dan 1,000 ekor kambing. Ketika beliau berwukuf di Arafah, bersamanya terdapat 100 orang hamba sama ada lelaki atau perempuan pada leher-leher mereka rantai yang diperbuat daripada perak yang tertulis padanya “Mereka yang dimerdekakan oleh Allah daripada Hakim bin Hizam.”

Begitu juga, beliau selepas masuk Islam, bangunan Darul Nadwa[2] menjadi miliknya. Lantas, dijualnya kepada Muawiyah dengan harga 100 ribu dirham dan beliau bersedekah semua duitnya tersebut. Beliau berkata, “Aku beli dengan bangunan tersebut dengan bangunan dalam syurga.

Tatkala ia dicela oleh Abdullah bin Zubair seraya berkata, “Kamu menjualnya sebagai tanda kamu bangsawan Quraisy.” Lantas jawabnya, “Wahai anak saudaraku, telah hilanglah segala kemuliaan kecuali dengan taqwa.”

Hakim bin Hizam telah membeli Zaid bin Harithah selepas ditawan dari Syam. Kemudian, beliau telah menghadiahkan Zaid bin Harithah kepada ibu saudaranya, Khadijah. Al-Zubair bin al-Awwam pernah berkata, “Islam datang dan pada tangan Hakim terdapat sekumpulan manusia di bawahnya. Beliau telah melakukan perkara yang makruf dan baik di samping memelihara hubungan silaturrahim.” (Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 53-56)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Wallahua’lam

Nota kaki:

[1] Harta rampasan perang yang diperoleh tanpa melalui peperangan

[2] Dar al-Nadwah merupakan bangunan yang dibina oleh Bani Quraisy di Makkah sebagai tempat pertemuan para pembesar. Segala pertemuan untuk keputusan pengadilan, mesyuarat tentang perang dan perdamaian, pernikahan akan dibincangkan oleh suku Quraisy dilakukan di sini. Selain pembesar dan anggota keluarga Quraisy, hanya orang yang berusia atas 40 tahun sahaja yang dibenarkan memasuki bangunan ini. Antara peristiwa penting yang dibincangkan di sini ialah perjanjian Khuza’ah dan Bani Hasyim, Hilf al-Fudhul dan konspirasi pakatan jahat untuk membunuh Rasulullah turut dibincangkan di sini.

Dar al-Nadwah pada asalnya dibina oleh Qusai bin Kilab. Setelah kematian Qusai, Dar al-Nadwah dipimpin oleh anaknya bernama Abd al-Dar. Setelah berlaku perselisihan antara anak-anak Abd al-Dar dan anak-anak Abdu Manaf berkaitan kepimpinan berikutnya, pada akhirnya anak-anak Abd al-Dar berjaya mendapatkannya. Hal tersebut berterusan sehinggalah Hakim bin Hizam membeli Dar al-Nadwah daripada Mansur bin Amir bin Hisyam bin Abdu Manaf bin Abd al-Dar bin Qusai. Setelah itu, Ikrimah bin Hisyam membelinya daripada Hakim bin Hizam. Pada masa Islam, dia menjualnya kepada Muawiyah dengan harga 100,000 dirham. Muawiyah lalu menjadikan Dar al-Nadwah sebagai Dar al-Imarah Makkah.