#4347: Hakikat Pohon dan Buah Zaqqum

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah dikatakan pohon dan buah Zaqqum daripada neraka? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

طَعَامُ ٱلْأَثِيمِ ٤٤ كَٱلْمُهْلِ يَغْلِى فِى ٱلْبُطُونِ ٤٥ كَغَلْىِ ٱلْحَمِيمِ ٤٦ خُذُوهُ فَٱعْتِلُوهُ إِلَىٰ سَوَآءِ ٱلْجَحِيمِ ٤٧ ثُمَّ صُبُّوا۟ فَوْقَ رَأْسِهِۦ مِنْ عَذَابِ ٱلْحَمِيمِ ٤٨ ذُقْ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْكَرِيمُ ٤٩ إِنَّ هَـٰذَا مَا كُنتُم بِهِۦ تَمْتَرُونَ

Maksudnya: (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka).  (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, –  Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. (Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka): “Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka.  “Kemudian curahkanlah di atas kepalanya – azab seksa – dari air panas yang menggelegak”.  (Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): “Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)”  (Kemudian dikatakan kepada ahli neraka umumnya): “Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya!”

(Surah al-Dukhan : 43-50)

Menjawab bagi persoaln di atas kami katakan di sini bahawa perbahasan mengenai azab api neraka dinyatakan secara terperinci di dalam subtema ini. Antara azab yang disebutkan beberapa kali dalam al-Quran ialah pohon dan buah zaqqum. Perbincangan zaqqum dalam al-Quran dinyatakan pada:

  • Surah al-Isra’, ayat 60:

وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِالنَّاسِ ۚ وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآنِ ۚ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَانًا كَبِيرًا

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.

(Surah al-Isra’: 60)

  • Surah al-Saffat, ayat 62-66:

أَذَٰلِكَ خَيْرٌۭ نُّزُلًا أَمْ شَجَرَةُ ٱلزَّقُّومِ ٦٢ إِنَّا جَعَلْنَـٰهَا فِتْنَةًۭ لِّلظَّـٰلِمِينَ ٦٣ إِنَّهَا شَجَرَةٌۭ تَخْرُجُ فِىٓ أَصْلِ ٱلْجَحِيمِ ٦٤ طَلْعُهَا كَأَنَّهُۥ رُءُوسُ ٱلشَّيَـٰطِينِ ٦٥ فَإِنَّهُمْ لَـَٔاكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِـُٔونَ مِنْهَا ٱلْبُطُونَ

Maksudnya: “Adakah kurniaan nikmat syurga itu lebih baik atau pokok Zaqqum? Sesungguhnya Kami jadikan pokok Zaqqum itu sebagai ujian di dunia dan juga azab bagi orang yang zalim di akhirat. Sesungguhnya ia sebatang pokok yang tumbuh di dasar neraka Jahim. Buahnya seolah-olah kepala-kepala syaitan. Maka sudah tentu penduduk neraka itu akan makan daripada buahnya sekalipun ia pahit dan busuk, sehingga memenuhi perut mereka dengannya.”

(Surah al-Saffat: 62-66)

  • Surah al-Dukhan, ayat 43-46:

إِنَّ شَجَرَتَ ٱلزَّقُّومِ ٤٣ طَعَامُ ٱلْأَثِيمِ ٤٤ كَٱلْمُهْلِ يَغْلِى فِى ٱلْبُطُونِ ٤٥ كَغَلْىِ ٱلْحَمِيمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pokok zaqqum itu, yang Allah tumbuhkannya dalam neraka. Buahnya menjadi makanan bagi orang yang berdosa. Rasanya seperti tembaga cair yang menggelegak di dalam perut-perut. Ia seperti menggelegaknya air yang mendidih.”

(Surah al-Dukhan: 43-46)

  • Surah al-Waqi‘ah, ayat 51-53:

ثُمَّ إِنَّكُمْ أَيُّهَا ٱلضَّآلُّونَ ٱلْمُكَذِّبُونَ ٥١ لَـَٔاكِلُونَ مِن شَجَرٍۢ مِّن زَقُّومٍۢ ٥٢ فَمَالِـُٔونَ مِنْهَا ٱلْبُطُونَ

Maksudnya: “Setelah itu, wahai orang yang sesat dan para pendusta sekalian. Kamu akan makan daripada pohon zaqqum. Sehingga penuh perut kamu dengannya.”

 (Surah al-Waqi‘ah : 51-53)

  • Surah al-Muzzammil, ayat 13:

وَطَعَامًا ذَا غُصَّةٍ وَعَذَابًا أَلِيمًا

Maksudnya: “Dan makanan yang mencekik kerongkong, serta azab yang amat pedih.”

 (Surah al-Muzzammil : 13)

Hasil penelitian terhadap ayat-ayat mengenai zaqqum di atas, dapatlah dirumuskan bahwa:

  • Pohon zaqqum merupakan pohon yang dilaknat dalam al-Quran sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Isra’, ayat 60.
  • Pohon zaqqum diberikan gambaran sebagai pohon yang menakutkan manusia. Ia sebagai satu dorongan psikologi al-Quran terhadap manusia agar berusaha menyelamatkan diri daripada azab api neraka yang menakutkan.
  • Zaqqum sebagai seksaan dan makanan utama penghuni neraka.
  • Pohon zaqqum tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang, dan ia tidak tumbuh di dunia.
  • Mayang pohon zaqqum digambarkan seperti kepala syaitan. Sayyid Qutb menjelaskan bahawa dengan hanya menggambarkan mayangnya seperti kepala syaitan itupun sudah mengundang ketakutan. Bagaimana pula apabila kepala-kepala mengerikan itu dimakan? Dengan gambaran zaqqum yang dipaparkan al-Quran sedemikian rupa, ia mendorong manusia menghindarkan diri daripada faktor-faktor yang menyebabkan seseorang makan zaqqum di dalam neraka.
  • Buah zaqqum sangat pahit, pedih, panas, dan busuk. Namun, para penghuni neraka pasti memenuhkan perut mereka dengan buah tersebut sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 66 Surah al-Saffat, dan ayat 52 Surah al-Waqi‘ah.
  • Kepanasan buah zaqqum diumpamakan seperti cairan tembaga atau kotoran minyak yang menggelegak di dalam perut. Kepanasan tersebut seperti mendidihnya air yang meluap-luap.
  • Makanan berupa zaqqum juga menjadikan pemakannya tercekik dan tersekat di kerongkongan sebagaimana yang dinyatakan pada ayat 13 Surah al- Muzzamil menurut tafsiran al-Baghawi, al-Qurtubi, dan lain-lain menerusi riwayat Ibn Abbas R.Anhuma

Manakala dalam sebuah hadith pula, daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, beliauberkata: Ketika Rasulullah SAW membaca ayat al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Maksundya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

(Surah Ali Imran: 102)

Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ أَنَّ قَطْرَةً مِنَ الزَّقُّومِ قُطِرَتْ فِِي دَارِ الدُّنْيَا لََأَفْسَدَتْ عَلَى أَهْلِ الدُّنْيَا مَعَايِشَهُمْ، فَكَيْفَ بِِمَنْ يَكُونُ طَعَامَهُ

Maksudnya: “Jika setitis zaqqum jatuh di dunia boleh membinasakan kehidupan penduduk dunia, lalu bagaimanakah pula keadaan orang yang menjadikan zaqqum itu makanannya?”

Riwayat Tirmizi (2582)

Menerusi hadith di atas, dapatlah disimpulkan bahawa setitis zaqqum sahaja boleh menghancurkan seluruh penduduk dunia.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Wallahua’lam