Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah hukuman ta‘zir dengan mengambil harta? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini, kami datangkan terlebih dahulu penerangan secara ringkas berkaitan hakikat ta‘zir agar lebih jelas berkenaannya. Ini kerana memahami hakikat dan realiti semasa sesuatu yang ingin dihukumkan itu adalah amat penting. Kaedah fiqh menyebutkan:
الحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَن تَصَوُّرِهِ
Maksudnya: “Menghukum sesuatu perkara adalah cabang daripada gambaran mengenainya.”
Ta‘zir adalah hukuman yang tidak ditetapkan kadar oleh syara‘ yang wajib sebagai hak bagi Tuhan atau manusia pada setiap maksiat yang tiada padanya hukuman hudud dan juga kaffarah pada ghalibnya. Pengarang al-Fiqh al-Manhaji berkata, hukuman ini dijatuhkan oleh hakim yang beragama Islam dan adil, iaitu hukuman yang dirasakan boleh mencegah manusia melakukan perbuatan keji ini. Hukuman ini boleh dikenakan dalam bentuk sebatan, buang negeri, penjara atau kecaman. Ini kerana perbuatan seperti ini perbuatan maksiat yang tidak termasuk dalam kesalahan hudud dan tidak akan dikenakan kaffarah. Apabila hudud tidak dikenakan, kesalahan ini perlu dikenakan hukuman ta‘zir. (Lihat al-Mabsut, 9/36; Fath al-Qadir, 7/119; Kasyaf al-Qina‘, 4/72; al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 224; Nihayah al-Muhtaj, 7/72; al-Fiqh al-Manhaji, 8/62).
Seterusnya berbalik kepada soalan yang diajukan, iaitu berkenaan hukuman ta‘zir dengan mengambil harta, menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, jumhur ulama (di antara mereka Imam yang empat) berpendapat, ta‘zir dengan mengambil harta adalah tidak dibolehkan.
Sebahagian ulama menjawab isu-isu yang berkaitan dengan hukuman yang melibatkan pengambilan harta dengan menyatakan bahawa hukuman ini telah dimansuhkan (mansukh). Ini kerana pada awal Islam, ia adalah disyariatkan, tetapi kemudian dimansuhkan. Mereka menyatakan alasan atau sebab tidak dibenarkan ta‘zir dengan mengambil harta kerana jenis hukuman ini boleh menjadi alasan bagi pemerintah atau pemimpin yang zalim untuk mengambil harta rakyat tanpa hak.
Manakala Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya, Ibn al-Qayyim berpendapat, ta‘zir dengan mengambil harta adalah dibenarkan, jika pihak pemerintah melihat hukuman dengan mengambil harta ini dapat mencapai kemaslahatan, menakutkan orang-orang yang zalim, dan mencegah kemudaratan atau kejahatan. Hal ini kerana hukuman ta‘zir, skop hukumannya adalah luas. Hukuman ta‘zir yang paling ringan adalah dengan mencela atau menegur dengan perkataan dan hukumannya yang paling berat adalah hukuman mati jika kejahatan hanya dapat dicegah melalui hukuman mati tersebut. Pengambilan harta adalah salah satu bentuk hukuman yang dapat menakut-nakutkan orang yang melampaui batas — yang melakukan kejahatan/jenayah tersebut.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim menolak sepenuhnya dakwaan mereka yang menyatakan hukuman tak‘zir dengan mengambil harta telah dimansuhkan. Ini kerana terdapatnya banyak bukti yang menunjukkan kepada kewujudan hukuman berlandaskan kepada harta benda.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, mereka yang mendakwa ia telah dimansuhkan, tidak mempunyai hujah syariah berkenaan hal itu, tidak dari al-Quran mahupun sunnah. Sedangkan ia adalah pendapat yang dapat diterima atau diharuskan mengikut usul (mazhab) Imam Ahmad kerana para ashabnya tidak berselisih pendapat bahawa hukuman berlandaskan dengan harta benda secara keseluruhan tidak dimansuhkan.
Di antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa ta‘zir dengan mengambil harta adalah dibolehkan sebagaimana berikut:
- Nabi SAW membenarkan untuk merampas haiwan yang diburu di tanah haram Madinah bagi sesiapa yang menjumpainya. [Riwayat Ahmad (1381)].
- Nabi SAW memerintahkan untuk memecahkan bekas-bekas Arak dan kantung-kantungnya. [Riwayat Ahmad (11744)].
- Nabi SAW memerintakna Abdullah bin ‘Amr untuk membakar dua helai baju yang berwarna kuning. [Riwayat Abu Daud (3546)].
- Mengenakan denda/bayaran yang paling ringan kepada mereka yang mencuri harta benda yang tidak dijaga. [Riwayat Abu Daud (3816)].
- Merobohkan masjid Dhirar.
- Pembunuh dilarang mendapat harta pusaka (warisan) dan wasiat. [Riwayat al-Tirmizi (2035)].
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa hukuman ta‘zir dengan mengambil harta adalah dibenarkan, jika pihak pemerintah melihat hukuman dengan mengambil harta ini dapat mencapai kemaslahatan, menakutkan orang-orang yang zalim, dan mencegah kemudaratan atau kejahatan. Ini kerana terdapat banyak dalil yang menunjukkan kepada keharusan perkara tersebut, di samping keluasan hukuman ta‘zir itu sendiri.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir Ibn Kathir, 3/75)