Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini telah tular satu video di tiktok di mana seseorang telah makan sotong yang dicelup dengan lada secara hidup-hidup. Jelas kelihatan sotong tersebut masih bergerak-gerak. Soalan saya, apakah hukumnya? Pautan video tersebut adalah ini: https://vt.tiktok.com/ZSNa1LgSc/. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, sebagai umat Islam kita dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk, tidak kira orang Islam atau orang bukan Islam, termasuklah haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
(Surah al-Nahl: 90)
Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/447).
Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”
Riwayat al-Bukhari (5997)
Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
(Surah al-Taubah: 128)
Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:
فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً
Maksudnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).”
(Surah al-Ma’idah: 13)
Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, hal ini berkait rapat dengan persoalan memakan hidupan air secara hidup-hidup. Pada asasnya, sebagaimana diketahui semua haiwan laut atau air adalah halal untuk dimakan dan tidak berhajat kepada sembelihan serta bangkainya juga dianggap suci. Hal ini adalah sepertimana firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut.”
(Surah al-Ma’idah: 96)
Begitu juga berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: “Airnya suci, dan bangkainya suci (tidak perlu disembelih).”
Riwayat al-Tirmizi (68); Abu Daud (83); al-Nasa’i (59)
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa sekiranya ditelan ikan yang masih hidup atau ikan yang masih hidup itu dipotong separuh daripadanya, kemudian dimakan. Maka dalam hal ini, terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih ialah makruh dan bukannya haram. Manakala pendapat yang kedua ialah haram dan ini merupakan pendapat al-Ghazali. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/73).
Begitu juga hal ini turut disebutkan di dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa seseorang yang mendapatkan ikan yang masih hidup, maka dia tidak boleh terus untuk memakannya — yakni secara hidup-hidup — sehinggalah ikan itu mati atau dimatikan terlebih dahulu. Begitu juga makruh hukumnya memanggang ikan tersebut hidup-hidup kerana perbuatan itu telah menyeksanya tanpa keperluan. Hal ini kerana ikan ialah hidupan yang cepat mati, maka boleh ditunggu sehingga ia mati terlebih dahulu — sebelum dimasak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/131). Justeru, udang dan haiwan-haiwan atau hidupan air lain yang mengambil hukum ikan.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa memakan sotong belada ketika sotong tersebut masih lagi hidup adalah adalah makruh. Hal ini kerana apabila memakannya ketika masih lagi hidup dilihat seperti menyeksa haiwan tersebut. Adalah lebih, sekiranya ia dimatikan terlebih dahulu dengan cara yang terbaik atau menunggunya mati terlebih dahulu sebelum dimasak kerana kebiasaannya haiwan yang tinggal di air tidak dapat hidup lama di atas darat (setelah berpisah dengan air).
Lebih-lebih lagi, kita dituntut supaya bersikap ihsan terhadap haiwan. Maka, termasuklah dalam perbuatan ihsan itu, tidak menyeksanya dengan cara memakannya secara hidup-hidup. Begitu juga, perbuatan memakan haiwan ketika ia masih hidup tidak mencerminkan akhlak sebagai seorang Islam yang dekat dengan sifat rahmat — yakni bersikap belas kasihan dan berkasih sayang — sesama makhluk sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam itu sendiri. Hal ini kerana perbuatan atau cara memasaknya secara hidup-hidup itu merupakan sejuzuk daripada perbuatan menyeksa haiwan. Kami akhiri dengan hadith ini sebagai iktibar buat kita semua, di mana Baginda SAW ada bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”
Riwayat al-Bukhari (5997)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”