#4352: Maksud al-‘Alamin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan kepada kami maksud al-‘alamin dalam surah al-Fatihah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu ayat kedua dalam Surah al-Fatihah. Firman Allah SWT:

 الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

(Surah al-Fatihah: 2)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat pelbagai pandangan para ulama dan sarjana dalam pentafsiran kalimah (الْعَالَمِينَ) yang diterjemahkan dengan maksud: sekalian alam. Berikut adalah pentafsiran kalimah (الْعَالَمِينَ):

  • Alam bagi seluruh yang ada selain daripada Allah SWT.
  • Alam bagi setiap lapisan langit dan bumi, dan apa yang ada di dalamnya dan di antara keduanya sama ada yang diketahui atau yang tidak diketahui.
  • Alam makhluk yang berakal seperti malaikat, manusia, jin dan syaitan.
  • Alam yang berkaitan dengan manusia sahaja kerana kedudukannya yang tinggi di antara makhluk lain.
  • Alam yang berkaitan dengan manusia dan jin sahaja dengan dalil al-Quran (لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا) yang bermaksud: “…supaya baginda menjadi pemberi amaran kepada seluruh alam.” (Surah al-Furqan: 1) dan ia tidak termasuk binatang dan selainnya kerana ia tidak perlu diberi peringatan.
  • Alam manusia, alam haiwan, alam tumbuhan, alam atom, alam bumi dan
  • Alam bagi setiap generasi yang wujud pada setiap zaman.
  • Alam seluruh makhluk yang berada di alam semesta.
  • Alam setiap mahkluk yang memiliki roh.
  • Alam semua makhluk yang diciptakan Allah SWT baik di dunia mahupun di akhirat.
  • Seluruh makhluk di setiap alam yang mendapat rezeki.
  • Allah SWT mempunyai 40 ribu alam, sementara dunia dari arah timur hingga barat adalah satu alam. Ada juga yang mengatakan bahawa terdapat 80 ribu alam, 40 ribu alam di lautan dan 40 ribu lagi di daratan. Pendapat lain menjelaskan bahawa jin satu alam, manusia pula satu alam yang lain, manakala bumi yang memiliki empat sudut maka setiap sudut terdapat 1500 alam. Allah SWT menciptakan kesemuanya untuk beribadah kepada-Nya.
  • Ia juga membawa maksud tanda dan petunjuk (العلامة – العلم) kerana tanda dan petunjuk ini menunjukkan kepada Penciptanya, iaitu Allah SWT.

Berdasarkan perbahasan ini jelas menunjukkan bahawa pentafsiran kalimah al-‘Alamin saling berkait rapat dan melengkapi makna antara satu sama lain. Al-‘Alamin juga adalah kata kunci bagi perbahasan tentang alam semesta yang dikenali sebagai ayat kauniyyah. Pentafsiran ayat kauniyyah seumpama ini akan terus berkembang seiring dengan kepesatan ilmu setiap zaman. Maka di sana akan berlaku pengembangan makna kerana ilmu manusia terbatas mengikut kemampuan yang ada pada sesuatu zaman bagi menerokai rahsia-rahsia alam yang masih belum terbongkar sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami akan memperlihatkan mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di seluruh pelusuk langit dan bumi serta pada diri mereka sendiri agar jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar. Adakah masih tidak cukup bagi mereka bahawa Tuhanmu telah membuktikan kebenaran al-Quran dan Dia menyaksikan semua perkara.” (Surah Fussilat: 53). (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/129-130).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”