Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh jelaskan dengan lebih lanjut berkenaan lafaz “istiwa’” yang disebutkan dalam ayat 29 Surah al-Baqarah? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًۭا ثُمَّ ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّىٰهُنَّ سَبْعَ سَمَـٰوَٰتٍۢ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ
Maksudnya: “Dialah yang menciptakan bagi kamu segala apa yang ada di bumi, lalu Dia menuju ke langit dengan kehendaknya dan membentuk langit itu menjadi tujuh lapisan. Dialah Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu.”
(Surah al-Baqarah: 26-27)
Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam ayat yang ke-29, ada disebutkan tentang perkataan istiwa’ yang membawa maksud dari segi bahasanya adalah bersemayam. Ayat ini dikategorikan sebagai ayat sifat iaitu ayat yang menceritakan tentang sifat Allah SWT. Ayat sifat diklasifikasikan sebagai ayat mutasyabihat atau ayat yang kabur maknanya. Ayat-ayat sifat juga disebut sebagai sifat al-khabariyyah (sifat yang dimaklumkan) yang Allah SWT sebutkan di dalam al-Quran dan apa yang disampaikan Rasulullah SAW yang terkandung dalam sifat al-Zatiyyah dan al-Fi‘liyyah.
Antara lafaz yang diklasifikasikan sebagai sifat al-Zatiyyah adalah seperti sifat al-Nafs, al-‘Ilm, al-Hayah, al-Qudrah, al-Kalam, al-Yad, al-Wajh, al-‘Uluww, al-Sama‘, al-Basar, al-Mulk, al-‘Azmah, al-Kibriya’, al-Ghani, al-Rahmah, al-Hikmah, al-Saq, al-Haq, al-Anamil dan al-Asabi‘. Manakala sifat yang diklasifikasikan sebagai sifat al-Fi‘liyyah pula adalah seperti al-Istiwa’, al-Nuzul, al-Ghadab, al-Maji’, al-‘Ajab, al-Kayd, al-Makr, al-Maqt, al-Sakht dan al-Farh. (Lihat Mu’jam Alfaz al-Aqidah, hlm. 243).
Al-Razi menghuraikan perkataan istawa ditakwil kepada qahara yang bermaksud Allah SWT Maha Berkuasa ke atas sekalian makhluk-Nya termasuklah ‘Arasy. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 14/112).
Dalam bab ini, Imam Malik pernah berkata:
وَالْكَيْفُ غَيْرُ الْمَعْقُوْلِ وَالإِيْـمَانُ بِهِ وَاجِبٌ وَالسُّؤَالُ عَنْهُ بِدْعَةٌ
Maksudnya: “(Istawa’ itu disebut di dalam al-Quran) dan kaifiyyatnya tidak tercapai akal, beriman dengannya adalah wajib dan bertanyakan mengenainya adalah bidaah.”
Imam al-Qarafi mensyarahkan makna lafaz (وَالْكَيْفُ غَيْرُ مَعْقُوْلٍ) menyatakan, zat Allah SWT tidak disifatkan dengan apa yang diletakkan oleh kaedah bahasa Arab dengan lafaz Kaif (bagaimana) iaitu (sifat makhluk yang terdiri daripada) suatu keadaan yang berpindah-pindah (terpisah-pisah) dan suatu keadaan (sifat) kejisiman. Maka tidak masuk akal (mustahil) ianya (Kaif iaitu sifat makhluk) dinisbahkan kepada Allah SWT kerana ianya (kejisiman dan sifat makhluk) mustahil bagi sifat ketuhanan (Allah SWT). (Lihat al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha oleh Habannakah, hlm. 219).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”