#4357: Kalimah Sujud yang Diperintahkan Allah kepada Adam (Tengku) (Tafsir)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah makna kalimah sujud yang diperintahkan Allah kepada Adam dan falsafah di sebaliknya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَٱسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: ‘Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam.’ Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

(Surah al-Baqarah: 26-27)

Dalam menjawab soalan di atas, Allah SWT memerintahkan malaikat dan jin supaya sujud kepada Nabi Adam A.S. Ini merupakan satu kemuliaan besar daripada Allah SWT bagi Nabi Adam A.S yang juga dianugerahkan kepada anak keturunannya. Ketika Allah SWT menyuruh para malaikat bersujud kepada Nabi Adam A.S, maka Iblis pun termasuk dalam perintah itu. Meskipun Iblis bukan daripada golongan malaikat, namun ia telah menyerupai mereka dan meniru tingkah laku mereka. Oleh kerana itu, iblis termasuk dalam perintah yang ditujukan kepada para malaikat, dan tercela atas pelanggaran yang dilakukan terhadap perintah-Nya. (Lihat al-Misbah al-Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir, hlm. 52).

Kemudian, berkenaan falsafah di sebalik perintah sujud itu, al-Maraghi menyebutkan dalam tafsirnya, selepas Allah SWT mengkhabarkan kepada malaikat berhubung kedudukan Adam yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi, lantas Allah SWT memerintahkan mereka sujud sebagai tanda hormat, dan bukannya bermaksud ibadat sebagai mengiktiraf kemuliaan Adam dan sebagai pernyataan bersalah terhadap apa yang mereka katakan sebelumnya. Di antara keistimewaan Adam ialah kurniaan ilmu yang banyak, sehingga melemahkan malaikat. Allah SWT menambahkan pada ayat-ayat berikut, dengan kemuliaan lain, iaitu arahan kepada sekalian malaikat supaya bersujud kepadanya.

Ini menambahkan lagi tanda-tanda kemuliaan dan kelebihan pada makhluk bernama manusia yang berasal daripada Adam A.S. Ibn ‘Asyur mengatakan bahawa sujud merupakan penghormatan pertama yang diterima oleh manusia daripada makhluk alam. Dan disandarkan sujud kepada Adam dengan huruf ‘lam’ yang bermaksud ‘bagi’ menunjukkan bahawa mereka ditaklifkan bersujud dengan zatnya dan ia merupakan asal penunjuk ‘lam ta‘lil’, iaitu apabila dikaitkan dengan maksud sujud.

Kemudian beliau menambah, pada ayat ini juga dapat dikeluarkan permasalahan yang cukup menarik tentang penghormatan kepada ilmu dan kelayakan ulama untuk menerima penghormatan dan kemuliaan tersebut, kerana ketika Allah SWT mengajar kepada Adam ilmu-ilmu yang tidak dimiliki oleh malaikat, ia menjadikan Adam contoh utama dalam penguasaan penciptaan kajian dan ilmu yang zahir pada manusia selepasnya, dan pasti akan zahir penciptaan baru, begitu juga ilmu sehingga binasanya alam ini. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 1/425).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”