#4359: Susu Ibu dan Fenomena Anak Terbiar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah isu penyusuan kanak-kanak amat penting serta bagaimana mengatasi anak terbiar?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menyusu badan bagi bayi merupakan hak yang pada hakikatnya wajib ditunaikan oleh ibu bapa, sama ada si ibu memberikan susu badannya sendiri kepada anak tersebut, atau mencari ibu susuan yang baik untuk anak tersebut. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Sebelum ini, kami pernah menerbitkan sebuah artikel dengan perbahasan yang hampir sama bertajuk: “Kelebihan Susu Ibu.” Pada artikel kali ini, kami ingin menambahkan sebuah lagi kelebihan yang disebutkan oleh ulama’ tafsir, ketika menafsirkan firman Allah SWT:

وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّ مُوسَىٰ أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِي ۖ إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ

Maksudnya: “Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.”

فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ لِيَكُونَ لَهُمْ عَدُوًّا وَحَزَنًا ۗ إِنَّ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا كَانُوا خَاطِئِينَ

Maksudnya: “Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.”

(Surah al-Qasas: 7-8)

Syeikh Muhammad al-Tahir ibn ‘Asyur menyatakan bahawa Allah SWT mengilhamkan ibunya untuk menyusukan Nabi Musa A.S bagi menguatkan tubuhnya dengan susu ibunya sendiri kerana ia akan lebih membahagiakan anak tersebut pada awal kelahirannya berbanding susu orang lain. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 20/73)

Dalam kajian semasa, susu ibu mempunyai kebaikan dan manfaat yang besar. Hal ini kerana ia dapat membekalkan nutrien yang terbaik untuk tumbesaran dan perkembangan sel dalam badan bayi, serta mengandungi nutrien dalam kadar yang mencukupi. Kandungannya akan berubah mengikut keperluan bayi yang sedang membesar. Susu ibu, terutamanya kolostrum akan menguatkan sistem imuniti bayi serta dapat melindungi bayi daripada jangkitan seperti cirit birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru. Ia dapat mencegah berbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi. Selain itu, ia turut mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak serta membantu dalam meningkatkan kecerdikan anak. Susu ibu juga akan memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi. Ia akan memberi peluang kepada ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.[1]

Hasilnya, kita dapat lihat bagaimana Nabi Musa A.S tidak mahu menerima susu lain selain daripada susu ibunya, rentetan daripada ilham Rabbani yang dikurniakan kepadanya di awal kelahiran Baginda supaya menyusukan Baginda dalam suatu tempoh masa yang tertentu sehingga susu itu menjadi sebati dalam diri Baginda. Diriwayatkan ibu Musa menyusukannya sepanjang dalam jagaannya sebelum dihanyutkan di dalam Sungai Nil selama empat bulan. Ada juga yang berpendapat selama tiga bulan. Dan ada juga yang berpendapat selama lapan bulan. Oleh itu, apabila Nabi Musa A.S menghidu bau ibunya, terus dia menerima untuk menyusu dengannya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 20/83; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 13/251-258)

Fenomena Anak Terbiar

Manakala persoalan saudara berkenaan fenomena anak terbiar, kami memetik sedikit dari artikel yang pernah kami keluarkan semasa menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan, bahawa isu pembuangan bayi, pengabaian kebajikan kanak-kanak stateless (tanpa negara), penderaan kanak-kanak, dan penghinaan kepada anak yang dilahirkan akibat zina sering terpampang di dada-dada akhbar. Isu-isu ini tidak lain adalah simptom kepada penyakit sosial yang membarah dalam masyarakat. Berdasarkan rekod oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), daripada tahun 2012-2016 jumlah remaja yang telah melahirkan anak luar nikah adalah seramai 20,236 orang yang melibatkan remaja di bawah umur 18 tahun. Manakala, dilaporkan sejak tahun 2010 sehingga Ogos 2018, terdapat sebanyak 911 kes pembuangan bayi. Daripada 911 kes, 585 kes ditemui tidak bernyawa dan berbaki 326 yang ditemui hidup. Turut dilaporkan, bahawa kemudahan untuk diletakkan bayi (baby hatch) bagi mereka yang terlanjur ini, direkodkan sangat sedikit. Kebanyakan daripada kes buang bayi ini, ditemui di kawasan perumahan, tandas dan tempat pembuangan sampah.[2]

Kesimpulan

Masyarakat perlu sedar, hanya dengan kembali kepada dasar keimanan yang sebenar dan sikap kebertanggungjawaban dapat menyelamatkan anak-anak remaja dari terus rosak.

Antara langkah-langkah penyelesaian yang wajar diperhatikan dalam isu pembuangan bayi sehingga mengakibatkan kematian kepada bayi adalah:

  • Menyediakan kemudahan program baby hatch (tempat meletakkan bayi) berskala besar di tempat-tempat berisiko tinggi supaya dapat menyelamatkan bayi-bayi yang tidak bernasib baik daripada dibuang.
  • Seterusnya, bayi-bayi ini dijaga oleh pihak berkuasa, atau diberikan kepada keluarga yang ingin mengambilnya sebagai anak angkat.

Dalam masa yang sama, pelbagai usaha daripada semua pihak perlu digiatkan lagi bagi membanteras permasalahan ini daripada akar umbinya.

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memperingatkan sekali lagi bahawa orang yang melakukan zina hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha, kerana zina adalah salah satu dosa besar yang diharamkan dalam Islam dan yang dikenakan amaran keras kepada orang yang melakukannya. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

Wallahu  a‘lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/kebaikan-susu-ibu/. Diakses pada 21 November 2023.

[2] Lihat https://muftiwp.gov.my/ms/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/3033-bayan-linnas-siri-ke-163-penyelesaian-penjagaan-anak-zina-pungut-gelandangan-menurut-fiqh. Diakses pada 21 November 2023.