#4360: Isu Pelarian dan Tanggungjawab Kita

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana sikap kita terhadap golongan pelarian?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَمَّا تَوَجَّهَ تِلْقَاءَ مَدْيَنَ قَالَ عَسَىٰ رَبِّي أَن يَهْدِيَنِي سَوَاءَ السَّبِيلِ

Maksudnya: “Dan setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah ia dengan berkata: ‘Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku’.”

(Surah al-Qasas: 22)

Ayat di atas menceritakan tentang Nabi Allah Musa A.S yang lari keluar dari Mesir menuju ke sebuah negeri bernama Madyan. Imam Ibn Kathir berkata, ketika Musa a.s. keluar melarikan diri ke arah Madyan sendirian dalam ketakutan, Baginda tidak membawa apa-apa bekalan makanan, tunggangan atau kasut. Baginda memilih Madyan kerana nasab antara Baginda dan mereka. Orang-orang Madyan adalah dari jalur keturunan Nabi Ibrahim A.S, dan Nabi Musa A.S dari keturunan Nabi Ya‘qub bin Ishaq bin Ibrahim.

Melihat kepada keadaannya dan kekurangan pengetahuannya tentang jalan yang dituju, serta ketiadaan bekalan makanan dan lain-lain lagi menyebabkan Baginda mengembalikan urusan hidupnya kepada Allah SWT seraya berdoa: “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 13/266)

Melihat kepada persoalan yang saudara ajukan, Buya HAMKA menyatakan bahawa Nabi Musa A.S diumpamakan sebagai pelarian yang dikejar sehingga ke Madyan, setelah sebelumnya dianggap sebagai anak angkat diraja yang dikasihi. Kemudian Baginda berubah menjadi penggembala ternakan dan penerima upah di negeri yang jauh dari tanah air. Baginda melarikan diri ke Madyan, bukanlah kerana pengecut, tetapi untuk mengelakkan diri daripada ditangkap yang mana sekiranya Baginda ditangkap, nescaya akan gagal maksudnya yang lebih besar dan jauh. (Lihat Tafsir al-Azhar, 7/5317)

Di Madyan, Baginda disantuni oleh keluarga seorang lelaki soleh yang menghulurkan bantuan kepada Baginda dengan cara memberikan pekerjaan untuknya. Hari ini, pelarian ditakrifkan sebagai seseorang yang berada di luar negara asalnya kerana mempunyai perasaan takut yang berasas akan dianiayai atas sebab-sebab bangsa, agama, kewarganegaraan, keahlian dalam sesuatu kumpulan sosial atau pandangan politik. Disebabkan perasaan takut tersebut, pelarian tidak dapat atau tidak sanggup mendapatkan perlindungan dari negara tersebut. Tafsiran ini berdasarkan konvensyen berkaitan dengan Status Pelarian 1951.

Syariat Islam melihat sikap memberikan perlindungan dan bantuan kepada golongan pelarian adalah penting, apatah lagi mereka yang melarikan diri daripada ancaman keselamatan diri dan nyawa di negara asal mereka. Pertubuhan Negara Islam (OIC) turut mengeluarkan ketetapan tentang hak asasi terhadap golongan pelarian yang mencari perlindungan. Artikel 12 Deklarasi OIC[1] menyatakan bahawa setiap orang berhak dalam kerangka syariah, bergerak bebas dan memilih tempat tinggal sama ada di dalam atau di luar negara, serta jika dianiaya, berhak mencari suaka (perlindungan) di negara lain. Ketua Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres, menyatakan bahawa Syariat Islam yang menjamin hak kemanusiaan dalam persaudaraan, bertolak ansur, mengurangkan penderitaan, membantu dan memberi perlindungan, menjamin keselamatan kepada golongan yang memerlukan walaupun pihak musuh, termasuk hak pelarian dan prinsip tiada ekstradisi yang boleh mengancam keselamatan pencari perlindungan, adalah elemen-elemen yang wujud berabad-abad lamanya mendahului perjanjian-perjanjian antarabangsa mengenai hak asasi manusia. Ini merupakan satu pengiktirafan kepada prinsip-prinsip Islam dalam isu-isu pelarian dunia ketika ini.[2]

Dalam masa yang sama, suatu perjanjian di peringkat antarabangsa telah diwujudkan bagi membantu golongan pelarian ini, yang dinamakan sebagai Konvensyen Pelarian 1951 dan disokong pula dengan Protokol 1967.[3] Rentetan peristiwa berikut, UNHCR telah meneruskan usaha-usaha membantu pelarian di seluruh dunia termasuk di Malaysia sehingga sekarang. (Lihat UNHCR (United Nations High Commissioner for Refugees), hlm. 3)

Antara bantuan kerjasama yang diberikan oleh kerajaan Malaysia adalah seperti Projek Perintis Kebenaran Bekerja untuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) daripada etnik pelarian Rohingya. Projek perintis ini membolehkan 300 etnik Rohingya yang melepasi tapisan keselamatan dan saringan kesihatan untuk bekerja secara berperingkat. Mereka akan ditempatkan di syarikat terpilih dalam sektor perladangan dan perkilangan bertujuan untuk memberikan kemahiran dan sumber kewangan bagi membina kehidupan mereka sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/98)

Dari sudut pandang lain pula, tanggungjawab bagi seseorang muslim itu apabila adanya pelarian yang memasuki negara Islam serta bernaung di bawah pemerintahan negara adalah:

  • Dilihat terlebih dahulu, sekiranya tujuan mereka adalah untuk berlindung dari apa yang boleh mengancam keselamatan, keamanan dan nyawanya, maka seharusnya seorang pemerintah Islam membenarkan mereka untuk menyelamatkan diri mereka. Dengan syarat:
    • Ianya mestilah tidak memudharatkan negara itu.
    • Masuknya pelarian itu ke negara Islam menjadi sebab terangkat ketakutannya. (Lihat Fath al-Qadir, 2/338)
  • Tidak memaksa mereka memeluk agama Islam, berdasarkan firman Allah SWT:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

(Surah al-Baqarah: 256)

Imam al-Qurtubi mengatakan, ayat ini sebagai bukti bahawa tidak boleh memaksa seseorang untuk memeluk agama Islam. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/276)

  • Pelarian diberikan hak untuk memelihara keselamatan nyawanya. Maka tidak boleh diperangi pelarian yang tidak beragama Islam selama mana dia menzahirkan taat setia kepada pemerintah negara Islam tersebut serta mentaati perjanjian yang dibuat dengan pemimpin setempat.

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

Maksudnya: “Barang siapa yang membunuh kafir mu‘ahad (orang kafir yang memeterai perjanjian damai dengan orang Islam), dia tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga dapat dicium dari jarak sejauh 40 tahun perjalanan.”

Riwayat al-Bukhari (3166)

Kesimpulan

Isu pelarian ini pada hakikatnya merupakan isu global, yang mana perlu mendapat perhatian serta usaha pemimpin dari semua negara tanpa mengira agama atau bangsa. Kita sebagai orang Islam perlu sentiasa memelihara maslahah umat manusia agar tidak berlakunya penindasan serta kezaliman terhadap mereka.

Kami tegaskan di sini peri pentingnya kerajaan Islam untuk memberi kecaknaan secara khusus kepada pelarian yang kadang-kadang telah bertapak puluhan tahun pada sesebuah negara yang memerlukan bantuan secara lebih khusus seperti hak pembelajaran, pendidikan, kesihatan, berkeluarga, berkerjaya dan bekerja dengan satu mekanisme yang bukan lagi menjadi satu bebanan tetapi menjadi sebahagian kepada golongan yang menyumbang kepada kecemerlangan sesebuah negara. OIC sebagai contoh boleh menubuhkan sebuah sekretariat dan melihat isu ini secara tuntas dengan penuh kebijaksanaan untuk menghidupkan dan menyuburkan modal insan atau kemampuan kemanusiaan. Kami yakin dengan kepakaran yang ada pada mereka ini boleh membantu mengembangkan ekonomi sesebuah negara apabila diberi peluang dan ruang dalam pelbagai bidang.

Semoga Allah SWT memelihara keluarga kita, sanak saudara serta sahabat seagama kita dari sebarang kesusahan dunia, dan dipermudahkan urusan mereka. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Wallahu a‘lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.un.org/esa/socdev/unpfii/documents/DRIPS_Malay.pdf. Diakses pada 21 November 2023.

[2] Lihat https://www.ikim.gov.my/index.php/2015/12/02/pelarian-manusia-merupakan-satu-fenomena-yang-sentiasa-berlaku-apatah-lagi-jika-wujud-krisis-dalam-negara-tertentu-konvensyen-geneva-1951-mendefinasikan-seseorang-pelarian-ialah-seorang-yang-berada-d/. Diaksees pada 21 November 2023.

[3] Lihat https://www.unhcr.org/my/about-unhcr/who-we-are/1951-refugee-convention. Diakses pada 21 November 2023.