#4362: Kelebihan Kerja Berpasukan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah kelebihan kerja berpasukan sebenarnya? Saya bertanya kerana saya melihat bahawa melakukan kerja seorang diri lebih kemas dan baik berbanding bersama orang lain.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan saudara, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَخِى هَـٰرُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّى لِسَانًۭا فَأَرْسِلْهُ مَعِىَ رِدْءًۭا يُصَدِّقُنِىٓ ۖ إِنِّىٓ أَخَافُ أَن يُكَذِّبُونِ (٣٤) قَالَ سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخِيكَ وَنَجْعَلُ لَكُمَا سُلْطَـٰنًۭا فَلَا يَصِلُونَ إِلَيْكُمَا ۚ بِـَٔايَـٰتِنَآ أَنتُمَا وَمَنِ ٱتَّبَعَكُمَا ٱلْغَـٰلِبُونَ

Maksudnya: “‘Dan saudaraku – Harun, ia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yang mengakui kebenaranku; sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku’. Allah berfirman: ‘Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang’.”

(Surah al-Qasas: 34-35)

Kita dapat melihat bagaimana Nabi Musa A.S memohon kepada Allah SWT untuk mengutus saudaranya Harun, untuk bersamanya sebagai satu pasukan dalam menegakkan kebenaran dan risalah Ilahi. Ini bagi menguatkan lagi dirinya dengan sokongan dan bantuan saudaranya itu. Dengan itu, ia dapat membantu dalam menerangkan dan menjelaskan lagi mengenai apa yang telah dikemukakan atau disampaikan oleh Nabi Musa A.S, kerana Harun memahami perkataan saudaranya itu serta apa yang dimaksudkan olehnya. Menurut Imam Ibn Kathir, hal ini kerana kata-kata yang disampaikan oleh dua orang akan lebih mudah membekas dalam jiwa seseorang dan diterima berbanding ucapan yang hanya disampaikan oleh satu orang. Lalu Allah SWT mengabulkan permohonan Nabi Musa A.S tersebut. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 20/52; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/236)

Dalam konteks semasa, perkara ini boleh dikaitkan dengan kerja berpasukan atau teamwork di mana ia lebih memberi kesan besar berbanding bekerja secara bersendirian atau disebut dengan istilah one-man show. Menurut ‘Isam Ahmad al-Bashir, ‘amal jama‘i atau bekerja dalam kumpulan merupakan satu bentuk jihad yang disyar‘iatkan oleh Islam dan ia dituntut oleh keperluan secara praktikal. Di dalam sesebuah organisasi, kerja berpasukan merujuk kepada sekumpulan pekerja yang melaksanakan tugas secara berganding bahu antara satu sama lain dan sama-sama bergabung bagi mencapai matlamat kumpulan. Antara faedah melakukan kerja secara berpasukan adalah ia akan mewujudkan satu rangkaian hubungan seperti perkongsian pintar dan gandingan strategik melalui penglibatan ramai pihak yang terbabit. (Lihat Shar’iyyat al-’Amal al-Jama’iyy wa Daruratuh, hlm. 7; Creating Effective Teams: A Guide for Members and Leaders, hlm. 12; Positioning Knowledge Management as Key Success Factor in The Growth of Cooperatives In Malaysia. 12(1), hlm. 69-82)

Dengan melakukan kerja secara berpasukan, ia mampu memberikan impak yang positif dalam menyediakan peluang untuk menyalurkan idea-idea yang bermanfaat bagi menambah kecekapan gerak kerja seterusnya membantu meningkatkan kecemerlangan sesebuah organisasi.

Kerja berpasukan juga dapat menjimatkan masa dan tenaga, selain sesuatu kerja dapat dilakukan dengan mudah dan pantas kerana berlaku kesepaduan gerak kerja sesuatu kumpulan. Namun, ia mestilah dengan syarat setiap ahli memahami tanggungjawab masing-masing. Menurut pengkaji kerja berpasukan terkenal iaitu Katzenbach dan Smith, pasukan yang berkesan hendaklah terdiri daripada tiga teras utama iaitu komitmen, tanggungjawab dan kemahiran. Yang terpenting adalah setiap ahli hendaklah bersedia untuk memberi sepenuh komitmen terhadap pasukan dan hal ini boleh dilihat melalui kesanggupannya untuk meluangkan lebih masa dalam menyiapkan sesuatu tugas yang telah dipertanggungjawabkan. (Lihat The Wisdom of Teams: Creating the High Performance Organization, hlm. 84)

Kerja berpasukan juga dapat meningkatkan efisiensi sesuatu kerja kerana setiap orang akan melakukan fungsinya sesuai tanggungjawab yang diberikan sehingga kerja yang banyak dapat diselesaikan dengan cepat. Selain itu, banyak idea yang kreatif juga dapat dicetuskan hasil perbincangan bersama, seterusnya pasukan mampu memilih idea yang terbaik dalam memberikan satu solusi yang optimum. Kesemua ini akan menjadikan beban kerja bertambah ringan kerana pembahagian kerja dapat dilakukan, di samping sikap saling memberikan bantuan sesama ahli pasukan.

Dalam satu kajian oleh Parker, nilai kecekapan kerja berpasukan (team-working) adalah mendapat tempat yang lebih tinggi berbanding bekerja secara sendirian. Justeru, atas dasar inilah kaedah kerja berpasukan telah mula diaplikasikan secara optimum oleh sebahagian besar organisasi pada masa kini dalam rangka mencapai matlamat organisasi. (Lihat Team Players and Teamwork; New Strategies for Developing Successful Collaboration, hlm. 35; Mengurus Kerja Berpasukan, hlm. 51)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, kami noktahkan di sini beberapa kelebihan yang telah disebutkan:

  • Menguatkan diri dengan sokongan dan bantuan rakan sepasukan.
  • Saling membantu dalam menerangkan dan menjelaskan apa jua kemusykilan.
  • Lebih memberi kesan besar berbanding bekerja secara bersendirian.
  • Mewujudkan perkongsian pintar dan gandingan strategik.
  • Menyediakan peluang untuk menyalurkan idea-idea yang bermanfaat bagi menambah kecekapan gerak kerja.
  • Meningkatkan kecemerlangan sesebuah organisasi.
  • Meningkatkan efisiensi sesuatu kerja.

Beginilah serba sedikit yang dapat kami kongsikan berkenaan kelebihan kerja berpasukan. Akhir kata, berganding bahu ini dituntut juga dalam Islam seperti dalam firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Kami menyatakan bahawa ada beberapa elemen kelebihan kerja berpasukan. Sebagaimana dalam budaya Jepun, dalam membina sifat dan sikap ketika bekerja dalam sesebuah syarikat atau organisasi.

Antaranya:

  • Mengenali rakan sekerja

 Jika pada siang hari mereka bergelut dengan masalah perniagaan namun ianya berubah serta-merta menjelang malam. Mereka tidak akan membincangkan lagi hal kerja sebaliknya menggunakan masa di luar waktu kerja untuk bersosial dan mengenali rakan sekerja atau rakan kongsi secara menyeluruh. Ini amat penting dalam perniagaan kerana ia dapat membina kepercayaan dan meluaskan komunikasi sesama mereka

  • Mengambil pendapat semua pihak dalam membuat keputusan

Ia seperti satu proses yang membuang masa pada awalnya, namun cara ini sangat berkesan. Mereka akan meminta pendapat semua yang terlibat dalam melakukan sesuatu keputusan kerana apabila memberikan kerjasama, ia disusuli dengan komitmen. Dan apabila sesuatu keputusan atau idea telah dibuat, semua orang akan berasa ianya merupakan idea mereka bersama. Cara ini membuatkan mereka lebih dihargai serta tidak meninggalkan sesiapa terkebelakang. (Lihat Masa: Peliharalah, hlm. 132)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam