#4363: Kelebihan Petah dalam Berhujjah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah kelebihan seseorang itu petah dalam berhujjah dari sudut dakwah dan menyampaikan risalah Allah SWT?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Satu perkara yang tidak boleh dinafikan, penerimaan seseorang terhadap suatu perkara adalah bergantung kepada cara ia disampaikan. Dalam membincangkan persoalan yang diajukan oleh saudara ini, kami bawakan kisah Nabi Allah Musa A.S sebagai pencerahan.

Nabi Musa A.S faham benar akan hakikat bahawa kelebihan menyusun tutur kata dan kepetahan berhujjah memberikan impak yang amat besar dari sudut dakwah dan menyampaikan risalah Allah SWT. Oleh kerana itu, tatkala diperintahkan untuk berhadapan dengan Firaun dan kaumnya, Baginda berdoa agar lisan Baginda difasihkan, supaya mereka memahami mesej yang akan disampaikan:

ٱذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ (٢٤) قَالَ رَبِّ ٱشْرَحْ لِى صَدْرِى (٢٥) وَيَسِّرْ لِىٓ أَمْرِى (٢٦) وَٱحْلُلْ عُقْدَةًۭ مِّن لِّسَانِى (٢٧) يَفْقَهُوا۟ قَوْلِى

Maksudnya: “Pergilah sampaikan risalah-Ku kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Nabi Musa berkata: ‘Ya Tuhanku! Lapangkanlah dadaku untuk menerima tugasan ini. Dan permudahkanlah urusanku. Dan lancarkanlah lidahku. Supaya mereka memahami kata-kataku’.”

(Surah Taha: 24-28)

Selain itu, Baginda juga sedar akan kekurangan pada diri Baginda yang tidak mempunyai kepetahan berhujah, bermulut manis serta kata-kata yang boleh melembutkan hati pengikut, atau mematahkan hujah lawan. (Lihat Tafsir al-Azhar, 7/5330-5331)

Oleh kerana itulah, sejurus dilantik sebagai penyampai risalah kerasulan dan kenabian, Baginda memohon kepada Allah SWT agar diutus bersama Baginda seorang pembantu yang akan menyusun hujah yang ampuh dalam menyampaikan dakwah:

وَأَخِى هَـٰرُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّى لِسَانًۭا فَأَرْسِلْهُ مَعِىَ رِدْءًۭا يُصَدِّقُنِىٓ ۖ إِنِّىٓ أَخَافُ أَن يُكَذِّبُونِ

Maksudnya: “Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih pertuturannya berbandingku, utuslah dia bersamaku menjadi penolong yang membenarkan hujah-hujahku ini, sesungguhnya aku khuatir mereka akan menuduhku pendusta.”

(Surah al-Qasas: 34)

Kepentingan serta kelebihan kefasihan ini juga dapat dilihat dalam satu riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma:

قَدِمَ رَجُلاَنِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَخَطَبَا فَعَجِبَ النَّاسُ لِبَيَانِِهِمَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهَِّ صلى الله عليه وسلم: إِنَّ مِنَ الْبَيَانِ لَسِحْرًا. أَوْ قَالَ: إِنَّ بَعْضَ الْبَيَانِ لَسِحْرٌ

Maksudnya: “Dua orang lelaki dari wilayah timur telah datang dan berucap, lalu orang ramai berasa takjub terhadap kepetahan dan kefasihan mereka berdua. Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya ucapan yang fasih itu memberi kesan yang kuat seperti sihir’.”

Riwayat al-Bukhari (5767)

Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, hadith ini memberi isyarat bahawa suatu kebenaran itu perlu kepada ‘perhiasan’ (tazyin), dan pemilihan perkataan juga perlu dibuat dengan tepat dalam menyampaikan suatu perkara. (Lihat Fath al-Bari, 10/237-238)

Kesimpulan

Berdasarkan kisah yang kami bawakan ini, dapat dilihat bahawa meskipun Nabi Musa A.S seorang nabi, Baginda tetap sedar bahawa suatu mesej kenabian dan risalah ketuhanan memerlukan kepada kaedah penyampaian yang efektif, supaya ia dapat difahami dengan baik, mematahkan segala syubhah dan diterima tanpa bantahan.

Dalam tradisi Islam, ilmu balaghah merupakan antara bidang ilmu yang amat dititikberatkan, bukan saja dalam membentuk akal yang kompeten dalam memahami teks al-Quran dan al-Hadis, tetapi juga dalam membentuk kemahiran penyampaian melalui ilmu-ilmu seperti ma‘ani, majaz, tasybih, isti‘arah dan lain-lain. Hal yang sama turut ada dalam tradisi Barat, di mana karya agung Aristotle iaitu The Art of Persuasion (Seni Pujukan) kekal menjadi karya yang sering dirujuk dalam membicarakan soal membina hujah yang ampuh dan seni pengucapan awam.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita ilmu dalam menyusun tutur kata, seterusnya menjadi asbab tersebarnya dakwah Islamiyyah di serata dunia. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam