Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah Islam tidak boleh dicampur adukkan dan dipisah-pisahkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةًۭ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌۭ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
(Surah al-Baqarah: 208)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pembinaan masyarakat Islam madani dengan ciri khaira ummah bagi menunaikan tanggungjawab khilafah seperti yang diamanahkan tidak akan tercapai melainkan dengan penerimaan, pengamalan dan pemurnian prinsip, sistem dan nilai dalam diri setiap individu. Perkara ini telah tersusun rapi dalam tiga teras utama ajaran Islam iaitu akidah, syariah dan akhlak. Setiap teras merangkumi pecahan spesifik seperti yang dihuraikan para ulama mencakupi setiap segmen dan aspek kehidupan manusiawi dari sekecil-kecil hinggalah ke sebesar-besarnya. Hakikat ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam ayat ke-3 dari Surah al-Ma’idah. Firman-Nya:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmatku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 3)
Justeru, Islam hendaklah diterima dan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mencampur adukkannya dengan sebarang bawaan dari agama lain atau adat budaya yang bertentangan dengan prinsip dan amalan di dalam ketiga-tiga teras yang telah sempurna ini. Justeru, usaha untuk menggalakkan toleransi agama (al-Tasamuh al-Dini) atau keharmonian hidup dalam kepelbagaian kaum (al-Ta‘ayusy al-Silmi), terutama dalam konteks masyarakat majmuk seperti yang ada di sesetengah negara Islam hari ini tidak seharusnya menjadi landasan untuk membenarkan penerapan prinsip, amalan dan nilai agama lain ke dalam pemikiran dan gaya hidup umat Islam. Umat Islam perlu mengetahui batasan kebenaran dalam meraikan perhubungan dengan penganut agama lain supaya tidak terjerumus ke lubuk kekufuran dan kesyirikan yang akhirnya akan menghakis jati diri dan kualiti diri mereka sebagai khalifah dan khair ummah.
Dalam konteks ini, para mufasir sejak berkurun lama telah menegaskan bahawa ayat ini merupakan satu teguran tegas daripada Allah SWT terhadap sesetengah bekas ahli kitab yang telah memeluk agama Islam, namun mereka masih tetap ingin meneruskan budaya hidup dari agama terdahulu mereka, seperti memuliakan hari Sabtu, menghidupkan malam dengan membaca Kitab Taurat, mengelak dari memakan daging dan susu unta dan sebagainya, dengan alasan perkara tersebut merupakan ajaran yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS dan dalam masa yang sama mereka tidak mengabaikan tuntutan dan amalan dalam agama Islam, serta mereka mampu untuk menunaikan kedua-duanya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 4/254-257; al-Tafsir al-Basit oleh al-Wahidi, 4/90-92; Mafatih al-Ghaib, 5/352).
Justeru, fahaman yang cuba dibawa oleh sesetengah pihak dengan mencampur adukkan ‘amalan baik’ dari semua agama dan adat budaya bagi membentuk suatu norma baru berbentuk universal atas dasar menyatupadukan masyarakat berbilang agama dan bangsa adalah tidak sah dan ditolak oleh Islam. Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim yang difatwakan sesat oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia pada 2017 misalnya, antara kumpulan yang mempromsikan fahaman ini dengan mencampur adukkan ajaran Islam dengan ajaran Yahudi dan Kristian dalam pegangan dan amalan hidup.[1]
Islam meraikan kepelbagaian, menghormati hak beragama penganut agama lain, menggalakkan hubungan harmoni dengan semua entiti masyarakat, malah memberikan perlindungan dan pembelaan kepada mereka, namun sekali-kali tidak membenarkan kesucian ajarannya sama ada dari sudut akidah, syariah mahupun akhlak dicemari. Walaupun Islam menghormati agama lain dan memberikan kebebasan kepada penganutnya untuk menunaikan kepercayaan agama masing-masing, namun Islam tidak sekali-kali memperakukan bahawa semua agama adalah benar dan semua pengikutnya yang baik akan masuk syurga Allah SWT di hari Akhirat seperti yang difahami oleh pendukung fahaman pluralisme. Walaupun Islam memberikan kebebasan kepada setiap orang untuk memikir, menilai dan memilih sikap atau pegangan masing-masing berkaitan prinsip atau amalan kehidupan, namun itu tidak bermakna Islam membenarkan pertikaian terhadap keabsahan wahyu seperti yang diuar-uarkan oleh pembela fahaman liberalisme. Walaupun Islam mendorong umatnya untuk bersaing dalam mencapai kemajuan hidup duniawi sehingga mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan bangsa maju malah lebih dari itu, namun ia tidaklah sampai ke tahap meninggalkan agama atau memisahkannya dari kehidupan duniawi seperti yang dipromosi oleh para pengikut sekularisme.[2]
Selain itu, semua komponen dalam ketiga-tiga teras ajaran Islam ini perlu dilaksana dan ditegakkan secara menyeluruh bukan secara terpilih. Bagi memastikan pembentukan generasi rabbani yang mempunyai nilai kualiti diri yang murni, integriti yang tinggi, produktiviti yang unggul, kompetensi yang cemerlang sesuai dengan peranan sebagai khalifah, seluruh aspek kehidupan dan sistem pentadbiran serta pengurusan hendaklah mengikut lunas-lunas yang telah digariskan dalam ketiga-tiga teras ini. Islam tidak mengiktiraf pemisahan dalam penerimaan dan pelaksanaan ajarannya. Impak Islam tidak akan dapat dirasai jika hanya item terpilih sahaja diambil untuk diamalkan dalam sistem pendidikan, perundangan, perekonomian, pentadbiran, perhubungan dan lain-lain, sedangkan sebahagian besarnya diambil dari sistem barat atau sebagainya. (Lihat Zahrat al-Tafasir, 2/651; Safwah al-Tafasir, 1/119; al-Tafsir al-Munir, 2/235-240).
Dalam konteks inilah ungkapan Sayyid Qutb “Ambillah Islam secara keseluruhan atau tinggalkanlah ia,”[3] perlu difahami; iaitu usaha berterusan perlu dilakukan sehingga seluruh sistem dan hukum Islam tertegak dalam semua aspek kehidupan masyarakat Islam agar tanggungjawab khilafah dapat ditegakkan dengan sempurna. Al-Qaradhawi menegaskan bahawa sifat menyeluruh yang menjadi keistimewaan Islam dengan merangkumkan kehidupan seluruhnya, serta insan seluruhnya, pada semua peringkat dan semua aspek kehidupan ini, wajib disambut dengan sifat menyeluruh yang sama oleh setiap muslim dari sudut kepatuhan terhadap keseluruhan ajaran Islam dengan kesempurnaan, keumuman dan keluasannya. Maka tidaklah harus diambil sebahagian dari ajaran dan hukumnya, sedangkan sebahagian atau bahagian-bahagian yang lain disisihkan, sama ada dengan sengaja atau dengan cara mengabaikannya, kerana ajaran dan hukum itu semuanya adalah satu dan tidak boleh dipisah-pisahkan. (Lihat al-Khasa’is al-‘Ammah Li al-Islam, hlm. 123).
Kami akhiri dengan doa:
أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Nota kaki:
[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15782. Diakses pada 21 November 2023.
[2] Warta Kerajaan Negeri Selangor, Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama. Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri (Selangor) 2003. 31 Julai 2014; Majelis Ulama Indonesia, Pluralisme, Liberalisme dan Sekularisme Agama. Fatwa Majelis Ulama Indonesia. Nomor 7/MUNAS VII/MUI/11/2005. 21 Jumadil Akhir 1426H/28 Julai 2005/ 92-97. http://mui.or.id/wp-content/uploads/files/fatwa/12.-Pluralisme-Liberalisme-dan-Sekularisme-Agama.pdf. Diakses pada 26 April 2020.
[3] Lihat Khuzu al-Islam Jumlatan Au Da’uh, hlm. 420.