Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimana Islam menganjurkan kita dalam berinteraksi dengan wabak penyakit? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, Islam telah mengemukakan panduan kepada umatnya yang berhadapan dengan wabak penyakit berjangkit, malah Islam amat menitik beratkan soal pencegahan dan mengambil langkah berjaga-jaga supaya mereka terhindar daripada musibah tersebut dan ia adalah tuntutan Islam.
Gambaran tentang kaedah pencegahan ini dapat difahami menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 243 dimana Imam al-Qurtubi memetik pendapat yang paling sahih yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA tentang larangan melarikan diri daripada wabak penyakit. Nabi SAW ketika berbicara tentang taun menyebut. Daripada Sa’ad RA daripada Nabi SAW bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا
Maksudnya: “Jika kamu mendengar tentang wabak penyakit di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat dan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.”
Riwayat al-Bukhari (5728)
Hadith di atas ini jelas menunjukkan langkah pencegahan yang disyorkan oleh Rasulullah SAW sebelum dan juga selepas seseorang itu terlibat dengan penyakit berjangkit. Sekiranya penularan sesuatu wabak di tempat tertentu sudah diketahui, maka janganlah seseorang itu pergi ke tempat tersebut bagi mengelakkan dirinya dari dijangkiti penyakit tersebut. Manakala jika seseorang itu telah berada dalam kawasan yang merebak padanya wabak, tindakan pencegahan yang diambil bagi mengelakkan penularan penyakit tersebut adalah dengan cara tidak keluar dari kawasan tersebut. Ini dilakukan bagi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar.
Dapat ditegaskan bahawa hadith ini mengajar tentang tindakan ‘quarantine’ agar penyakit atau wabak tidak tersebar. Hadith ini pernah dibaca oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf kepada Khalifah Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak taun sedang merebak di sana pada zaman pemerintahnya. Mendengar hadith ini, Amirul Mukminin Umar al-Khattab membatalkan hasratnya. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5).
Saidina Umar al-Khattab, seorang sahabat yang terkenal dengan keberanian dan kepahlawanannya, apabila mendapat tahu terdapat wabak penyakit yang sedang menular di Syam, beliau mengambil keputusan untuk tidak memasukinya. Saidina Umar pun memberi arahan kepada rombongannya untuk berpatah balik. Lalu Abu ‘Ubaidah al-Jarrah R.A berkata :
أَفِرَارًا مِنْ قَدَرِ اللَّهِ
Maksudnya : Adakah perbuatan ini termasuk melarikan diri dari takdir Allah ?
Maka Saidina Umar menjawab:
نَعَمْ نَفِرُّ مِنْ قَدَرِ اللَّهِ إِلَى قَدَرِ اللَّهِ أَرَأَيْتَ لَوْ كَانَتْ لَكَ إِبِلٌ فَهَبَطْتَ وَادِيًا لَهُ عِدْوَتَانِ إِحْدَاهُمَا خَصْبَةٌ وَالأُخْرَى جَدْبَةٌ أَلَيْسَ إِنْ رَعَيْتَ الْخَصْبَةَ رَعَيْتَهَا بِقَدَرِ اللَّهِ وَإِنْ رَعَيْتَ الْجَدْبَةَ رَعَيْتَهَا بِقَدَرِ اللَّهِ
Maksudnya : Ya betul, kami lari dari takdir Allah menuju kepada takdir Allah yang lain. Tidakkah kamu melihat sekiranya kamu memiliki seekor unta, kemudian kamu turun kepada satu lembah yang mempunyai dua sudut. Salah satunya merupakan kawasan yang subur dan satu yang lagi merupakan kawasan yang tandus. Bukankah jika kamu memelihara unta tersebut di kawasan yang subur maka kamu menjaganya dengan taqdir Allah. Dan jika kamu memelihara unta tersebut di kawasan yang tandus maka kamu juga menjaganya dengan taqdir Allah ?
Kemudian datang Abdul Rahman bin ‘Auf R.A yang sebelum ini tidak berada di situ lalu menyebutkan hadis Nabi SAW berkenaan hadis wabak penyakit seperti di atas. Riwayat Muslim (2219)
Walau bagaimanapun, jika seseorang itu terkena juga penyakit, Islam menyuruh pula penganutnya untuk berubat. Daripada Jabir RA, sabda Nabi SAW:
لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah SWT.”
Riwayat Muslim (2204)
Berhubung penyakit paling kritikal diperkatakan di seluruh negara dan dunia ialah wabak COVID-19. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan perintah kawalan selama 14 hari mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah kawalan pergerakan ini membabitkan pertamanya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.[1]
Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani jangkitan penyakit yang berlaku di negara ini termasuk Covid-19 adalah selaras dengan prinsip Maqasid Syariah, kerana langkah itu adalah selaras dengan lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Malah tidak timbul isu tidak mematuhi PKP yang diperkenalkan kerajaan sebagai menyekat kebebasan bergerak.
Sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan mengelakkan penularan wabak berbahaya ini kepada rakyat, selain menjaga ketenteraman dan keamanan agar semua tidak panik. Komitmen padu antara masyarakat, pelbagai agensi kerajaan, swasta dan NGO dalam melaksanakan program serta usaha pencegahan menjadi benteng kepada penularan wabak tersebut. Apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah amat menepati prinsip ajaran Islam. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/335).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
Nota kaki:
[1] Harits Asyraf Hasnan, Usaha Malaysia dalam menangani pandemik COVID-19, http://www.astroawani.com/berita-malaysia/usaha-malaysia-dalam-menangani-pandemik-covid-19-236795. Diakses 21 November 2023.