Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah sedekah boleh menambah rezeki seseorang? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّآ أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا۟ ٱلْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغْمِضُوا۟ فِيهِ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ ٢٦٧ ٱلشَّيْطَـٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِٱلْفَحْشَآءِ ۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةًۭ مِّنْهُ وَفَضْلًۭا ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌۭ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji (267). Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.”
(Surah al-Baqarah: 267-268)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sedekah atau infak adalah amalan berkaitan harta. Di permulaan Surah Baqarah, Allah SWT telah menyatakan antara ciri orang bertakwa yang memperolehi hidayah dan kejayaan ialah mereka yang menafkahkan sebahagian harta yang Allah SWT kurniakan kepadanya. Namun begitu ia perlu ada adab dan syaratnya yang perlu diketahui supaya infaknya tidak menjadi sia-sia.
Terdapat dua perkara yang menyebabkan amalan sedekah seseorang menjadi sia-sia iaitu disertai dengan riyak ketika bersedekah dan mengungkit-ungkit pemberiannya itu setelah selesai melakukannya. (Lihat al-Tafsir al-Maudhu‘i, 1/363). Sesiapa yang melakukan dua perkara tersebut, amalannya adalah tertolak dan tidak ada nilai di sisi Allah SWT.
Harus memberi sedekah kepada orang bukan Islam, dengan syarat sedekah tersebut bukan sedekah wajib seperti zakat, sebaliknya adalah sedekah sunat. Hukum ini diambil dari sebab nuzul ayat (لَّيْسَ عَلَيْكَ هُدَىٰهُمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ) — Surah al-Baqarah, ayat 272.
Islam melarang perbuatan meminta-meminta tanpa alasan yang kukuh. Sebaliknya digalakkan manusia supaya menahan diri daripada meminta-minta daripada orang lain. Nabi SAW memberi amaran terhadap orang yang meminta-minta. Daripada Sahl RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَأَلَ وَعِنْدَهُ مَا يُغْنِيهِ، فَإِنَّمَا يَسْتَكْثِرُ مِنْ جَمْرِ جَهَنَّم. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَا يُغْنِيهِ؟ قَالَ: مَا يُغَدِّيهِ أَوْ يُعَشِّيهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang meminta-minta sedangkan keperluannya telah mencukupi, sesungguhnya dia telah membanyakkan bara api neraka. Para sahabat bertanya: ‘Apakah keperluan yang mencukupi baginya?’ Nabi SAW menjawab: ‘Apa yang mencukupinya untuk makan tengah hari dan makan malam.’”
Riwayat Ahmad (17625); Syeikh Syu ‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai sahih.
Sedekah boleh dilakukan terang atau sembunyi mengikut kepada maslahat. Jika sedekah tersebut mahu jadikan sebagai ikutan maka sebaiknya lakukan dalam bentuk terangan umpama umumkan sedekah untuk pembinaan masjid yang masih banyak lagi peruntukan yang diperlukan. Dan jika tidak ada apa-apa maslahat sebaiknya dilakukan secara sembunyi.
Dalam dunia moden hari ini, bersedekah secara sembunyi sangat mudah untuk dilaksanakan. Umpamanya, seorang muslim boleh menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan melalui pemindahan wang dalam talian (online) terus ke akaun penerima, tanpa diketahui olehnya.
Manfaat sedekah ialah memelihara daripada azab neraka, menjauhkan mati secara hina, menghapuskan kejahatan yang dilakukan seumpama air memadamkan api, memberatkan neraca timbangan kebaikan di hari Akhirat, mengangkat kedudukan di sisi Allah SWT dan harta tidak sekali-kali kurang dengan sebab sedekah bahkan Allah SWT kurniakan kepadanya kesihatan yang baik dan harta yang banyak.[1]
Hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan dalam Tafsir al-Bayan (1/348-349).
Kami nyatakan, benarlah hadith Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Sedekah tidak akan mengurangkan harta.”
Riwayat Muslim (2588)
Imam al-Nawawi berkata: Para ulama’ menyebut bahawa terdapat dua makna berkaitan dengan hadith ini. Pertama, sesungguhnya Allah akan memberkati hartanya dan menghindarkan kemudaratan daripada menimpanya. Maka Allah akan menggantikan kekurangan jumlah hartanya dalam bentuk keberkatan yang terlihat pada hartanya (yang lain). Hal ini dapat kita ketahui sama ada secara inderawi dan kebiasaan. Kedua, sesungguhnya jika berkurang jumlahnya, maka pahala akan menutup kekurangan hartanya dan ditambahkan baginya pahala dengan gandaan yang berlipat ganda. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/357)
Adapun kisah pada zaman kini, kami nukilkannya seperti berikut:
Dr Khalid al-Jubair berkata: Aku pernah dihantar oleh al-Amir Sultan ke Morocco untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit di sana. Bilamana aku sampai, aku dapati tempat rawatan tidak sempurna dan banyak kekurangan.
Aku mengkhabarkan hal tersebut kepada al-Amir Sultan dan beliau menyuruhku supaya berikhtiar mencari jalan penyelesaian. Antara yang aku rawat itu, ada seorang penduduk Maghribi yang memberitahu kepadaku, terdapat seorang ahli korporat yang kaya di Morocco, yang amat pemurah.
Lantas, aku pun pergi ke rumahnya dan bercakap dengannya. Serta merta beliau memanggil keraninya dan mengarahkan supaya menyelesaikan semua kehendak dan keperluan yang diperlukan bermula sewa bangunan sehingga kepada kos rawatan.
Perkara yang tidak boleh aku lupakan adalah beliau berkata kepadaku, “Tolong ceritakan kepada sesiapa sahaja, bahawa tidaklah aku keluarkan untuk sedekahkan sejumlah wang kecuali Allah akan menggandakan kepadaku. Sebagai contoh, jika aku sedekah pada hari ini 1 Juta, maka pada akhir minggu, aku akan memiliki 3 Juta. Ceritalah. Hal ini bukan berlaku sekali kepadaku, bahkan boleh dikatakan, itulah yang sering berlaku. Aku tidak menganggap diriku kecuali pemegang harta yang Allah amanahkan.
Aku mempunyai empat orang anak. Setiap orang, aku beri kepada mereka sebuah syarikat atau kilang, dan mereka mendapat keuntungan yang banyak. Adapun wakaf yang aku lakukan, pernah aku wakafkan bangunan untuk pesakit dialisis di mana rawatan mencuci buah pinggang perlu dilakukan setiap dua hari sekali. Kemudian aku juga mewakafkan 20 hospital yang lain untuk dijadikan sebagai pusat rawatan. Begitulah yang aku lakukan. Dan semua itu adalah rezeki yang Allah kurniakan kepadaku.” (Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 110-111)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أكْثِرْ أَمْوَالَنَا، وَأَوْلَادَنَا، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أعْطَيْتَنَا، وَأطِلْ حَيَاتَنَا عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ أَعْمَالَنَا، وَاغْفِرْ لَنَا
Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anak kami serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan pada kami. Panjangkanlah umur kami dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amal kami serta ampunilah dosa-dosa kami.”
Nota kaki:
[1] Lihat Thamarat al-Infaq fi Sabilillah oleh Abdullah bin Muhammad al-Mu’taz. (https://www.alukah.net/sharia/0/52366/. Diakses pada 21 November 2023).