#4373: Sifat Khabariyyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimana cara kita berinteraksi dengan sifat-sifat Allah yang bersifat khabariyyah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa di antara isu yang sentiasa diperdebatkan sejak sekian lama hingga sekarang ialah berkaitan dengan sifat khabariyyah. Ayat-ayat yang berkaitan dengan sifat khabariyyah adalah termasuk dalam ayat mutasyabihat. Sifat khabariyyah ialah sifat yang dinyatakan oleh Allah SWT kepada diri-Nya dengan perkara yang disangka bahawa Dia adalah sama dengan manusia seperti Allah SWT menyifatkan bagi-Nya tangan, wajah,  mata, tangan, bersemayam dan lain-lain.  Firman Allah SWT:

لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَىَّ

Maksudnya: “Aku ciptakan dengan kekuasaan-Ku atau kedua-dua tangan-Ku (yang tidak sama dengan makhluk).

(Surah Sad: 75)

Begitu juga firman Allah SWT:

ٱلرَّحْمَـٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ

Maksudnya: “Dialah Tuhan Yang Maha Pemurah yang menguasai pentadbiran makhluk-Nya atau yang bersemayam di ‘Arasy (tidak sama dengan makhluk).

(Surah Taha: 5)

Selari dengan perbezaan para sahabat RA dan para ahli tafsir tentang sama ada orang-orang yang tinggi ilmunya mengetahui takwilan ayat mutasyabihat atau tidak, maka para ulama salaf dan khalaf berbeza pandangan tentang tafsiran ayat sifat khabariyyah.

Sebahagian golongan salaf menyatakan bahawa mereka beriman dengan ayat-ayat dan hadis-hadis sifat khabariyyah serta menyerahkan maksudnya kepada Allah SWT (tafwidh) tanpa memberi makna kepada sifat tersebut. Contohnya mereka tidak memberi makna ‘kedua tangan-Ku’ kepada perkataan بِيَدَىَّ dalam Surah Sad ayat 75  dan ‘bersemayam’ kepada perkataan استواء dalam Surah Taha ayat 5 kerana dibimbangi mempunyai unsur menyamakan Allah SWT dengan makhluk.

Walau bagaimanapun, sebahagian ulama Salaf menyerahkan maksud sifat khabariyyah kepada Allah SWT (tafwidh) dan dalam masa yang sama menetapkan (ithbat) sifat-sifat tersebut kepada-Nya serta memberi makna kepada sifat tersebut. Pun begitu, penetapan tersebut adalah dengan tidak menyamakan sifat Allah SWT dengan makhluk. Ia adalah sebagaimana slogan mereka:

إِثْبَاتٌ بِلَا تَشْبِيهٍ وَتَنْزِيهٌ بِلَا تَعْطِيلٍ

Maksudnya: “Penetapan sifat bagi Allah SWT dengan tidak menyamakannya dengan makhluk dan penyucian sifat bagi Allah SWT dengan tidak menafikannya.”

Contohnya mereka memberi makna ‘kedua tangan-Ku’ kepada perkataan بيدي dalam Surah Sad ayat 75  dan ‘bersemayam’ kepada perkataan استواء dalam Surah Taha ayat 5. Mereka menetapkan Allah SWT mempunyai tangan, wajah, bersemayam dan lain-lain tetapi ia tidak diketahui bagaimana bentuknya dan tidak sama dengan makhluk. Mereka berkata demikian kerana Allah SWT yang menyebutkannya demikian dalam firman-Nya dan mereka berpegang secara zahir dengan kata-kata Allah SWT tersebut tanpa menyamakannya dengan makhluk. (Lihat Nazarat fi Risalati Ta’lim oleh Muhammad Abdullah al-Khatib dan Muhammad Abdul Halim Hamid, hlm. 109).

Pandangan ini sama dengan kata-kata Imam Malik:

الِاسْتِوَاءُ مَعْلُومٌ، وَالْكَيْفُ مَجْهُولٌ، وَالسُّؤَالُ عَنْهُ بِدْعَةٌ

Maksudnya: “Istiwa adalah maklum (diketahui maknanya iaitu bersemayam), bagaimana bentuknya adalah tidak diketahui dan bertanya tentangnya adalah bidaah.

Antara hujah mereka ialah sebuah riwayat daripada Muawiyah bin al-Hakam RA bahawa beliau datang berjumpa Nabi Muhammad SAW dengan membawa seorang hamba perempuan lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ أَفَلَا أُعْتِقُهَا؟ قَالَ: ائْتِنِي بِهَا. فَأَتَيْتُهُ بِهَا، فَقَالَ لَهَا: أَيْنَ اللهُ؟ قَالَتْ: فِي السَّمَاءِ، قَالَ: مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ رَسُولُ اللهِ، قَالَ: أَعْتِقْهَا، فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah SAW, bolehkah aku membebaskannya? Nabi SAW bersabda: ‘Bawa hamba perempuan itu ke sini.’ Aku pun membawanya berjumpa Baginda SAW. Tanya Nabi SAW kepada hamba tersebut: ‘Di manakah Allah?’ Dia menjawab: ‘Di langit.’ Nabi SAW bertanya lagi: ‘Siapakah aku?’ Dia menjawab: ‘Tuan ialah Rasulullah SAW.’ Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Bebaskanlah dia. Sesungguhnya dia adalah seorang wanita yang beriman.’

Riwayat Muslim (537)

Golongan khalaf pula berpegang bahawa kehendak lafaz ayat atau hadith berkaitan sifat khabariyyah adalah bukan pada zahirnya, tetapi ia adalah majaz, maka sifat tersebut mesti ditakwil agar tidak mempunyai unsur menyamakan Allah SWT dengan makhluk. Contohnya mereka mentakwilkan perkataan ‘wajah Allah SWT’ dalam al-Quran kepada makna ‘zat-Nya’, ‘tangan’ kepada ‘kuasa’ dan lain-lain. (Lihat Nazarat fi Risalati Ta’lim, hlm. 108).

Perlu dijelaskan bahawa kedua-dua golongan ini sama ada salaf atau khalaf secara dasarnya menafikan bahawa Allah SWT menyamai dan menyerupai makhluk kerana ia adalah perkara usul dalam agama. Firman Allah SWT:

لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌۭ ۖ

  Maksudnya: “Tiada apa yang serupa dengan-Nya.”

(Surah al-Syura: 11)

Walau pun sebahagian golongan salaf menyerahkan maksud ayat sifat khabariyyah kepada Allah SWT, sebahagian yang lain menetapkan dan memberikan makna kepada sifat tersebut dan golongan khalaf pula mentakwilkannya, mereka semua pada hakikatnya berpegang bahawa Allah SWT tidak sama dengan makhluk dan perbezaan pandangan mereka hanyalah dalam perkara cabang yang dimaafkan.

Walau bagaimanapun, terdapat golongan yang menyeleweng yang telah menetapkan sifat khabariyyah dengan menyamakan dan menjisimkan Allah SWT seperti golongan Mujassimah dan Hasywiyyah. Golongan Jahmiyyah pula menafikan Allah SWT mempunyai sifat khabariyyah kerana bagi mereka sifat-sifat tersebut mestilah berjisim dan mempunyai anggota sama dengan makhluk. Justeru, mereka menafikan wujudnya sifat tersebut. (Lihat Nazarat fi Risalati Ta’lim, hlm. 105).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”