#4375: Persediaan Pendakwah Masa Kini

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan pada kami perkara yang perlu ada bagi pendakwah dalam menyampaikan risalah dakwah dengan lebih berkesan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

(Surah Ali Imran: 104)

Dalam Tafsir al-Bayan, disebutkan bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu dijadikan persediaan oleh para pendakwah pada zaman ini, untuk memastikan dakwah yang dibawa tidak terpesong daripada landasan yang benar dan dalam masa yang sama berkesan. Janganlah sampai seorang pendakwah tidak mahu menyampaikan sebahagian daripada dakwahnya hanya kerana ia tidak menepati citarasa mad‘unya. Contohnya, dengan sebab hendak mengambil hati orang kafir, lalu pendakwah itu menyembunyikan hakikat bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang membolehkan manusia menuju keselamatan di akhirat kelak, sebaliknya mengatakan kepada mereka bahawa semua agama adalah sama asalkan menyeru kepada kebaikan. Ini sebenarnya adalah seruan berbentuk pluralisme.

Pendakwah mesti bersedia menerima pelbagai persoalan, tohmahan dan provokasi sekiranya telah berjaya menyampaikan seruan yang dirasakan berat untuk disampaikan. Orang yang mendengar tidak semestinya akan mudah menerima seruan tersebut. Pelbagai persoalan yang benar-benar inginkan jawapan, atau persoalan untuk menguji sejauh mana kedalaman ilmu pendakwah, atau tohmahan dilemparkan untuk melihat sejauh mana kesabaran pendakwah menerima dan menjawab dengan penuh hikmah, dan provokasi untuk mematahkan semangat pendakwah dalam meneruskan seruan kebenaran. Berbekalkan sikap lapang dada, seorang pendakwah akan dapat menghadapi segala cabaran dengan penuh positif dan berhikmah.

Seorang pendakwah seharusnya mengikhlaskan hati dan tidak mudah tertipu dengan kejayaan dakwah yang disampaikannya. Andaikata ramai mad‘u menerima seruannya, bilangan mereka itu seharusnya tidak menjadi tipu daya kepada pendakwah itu. Dikhuatiri asal niat hendak menyampaikan kebenaran dakwah itu bertukar kepada mencari bilangan pengikut kerana merasakan diri semakin hebat. Menurut Imam Ghazali, ikhlas hanya berlaku apabila niat seseorang dalam melakukan satu-satu amalan itu adalah berdasarkan kepada hanya satu tujuan sahaja, tanpa ada sebarang pendampingan atau penambahan kepada tujuan dan maksud kepada pelaksanaan bagi satu-satu amalan. Apabila satu-satu amalan itu bersih daripada sebarang tujuan atau maksud yang lain, maka itulah hakikat yang sebenar bagi sifat ikhlas. Sebenarnya, petunjuk kejayaan bagi sesuatu dakwah yang disampaikan adalah bersifat subjektif, tidak boleh diukur dengan material. Keikhlasan pendakwah menjadi pengukur utama, dan sudah pasti ukuran kedua ialah dakwah tersebut hendaklah berlandaskan syariat Allah SWT yang sebenar. Pendakwah juga perlu mempunyai tawakal yang tinggi kepada Allah SWT Sifat tawakal ini menjadikan pendakwah tidak berputus asa walaupun pelbagai cabaran yang diterima selepas menjalankan dakwah kebenaran. Pendakwah yakin dengan berita gembira (mubassyarat) yang dijanjikan akan datang mengenai kemenangan Islam pada suatu hari nanti, walaupun seluruh kaum kuffar tidak menyukai dan memusuhinya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/430-431)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa perjalanan mana-mana gerakan dakwah yang benar bukanlah mudah, bahkan penuh dengan liku liku serta mehnah dan tribulasi. Ini merupakah sunnatullah yang jelas semenjak bermulanya dakwah Islam sehinggalah penghujungnya dengan berlakunya hari kebangkitan. Tiada seorang pun para nabi dan rasul yang tidak menerima cabaran dalam menyampaikan risalah tauhid dan ajaran yang benar. Oleh itu, setiap pendakwah perlu menginsafi hakikat ini dan tidak mengharapkan jalan yang mudah dalam usaha dakwah yang dijalankan.

Sikap manusia terhadap dakwah berbeza-beza. Ada yang menerima dan ada yang menolak. Golongan yang menolak dakwah akan menunjukkan pelbagai kerenah dan kelakuan yang tidak baik, terhadap pendakwah dan seruan yang dibawa. Pengalaman dakwah mungkin berbeza-beza antara seseorang pendakwah dengan pendakwah yang lain, namun sikap dan kerenah manusia pasti ada dan perlu dihadapi dengan berhikmah.

Sungguhpun tugas dakwah penuh dengan cabaran dan kesukaran, namun para pendakwah tidak sepatutnya terlalu tertekan dengan perkara tersebut, bahkan perlu menginsafi ruang lingkup tugas sebagai pendakwah. Pendakwah ditugaskan oleh Allah SWT untuk mengajak manusia kepada kebenaran dan menyampaikan berita gembira serta memberi amaran. Adapun memastikan penerimaan manusia terhadap dakwah yang dibawa, ia tidak termasuk dalam tugas sebagai pendakwah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”