#4380: Menangkis Fahaman Liberal Terhadap Hubungan Sejenis

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah terangkan kepada kami cara kita menangkis fahaman liberal terhadap isu LGBT atau Gay?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَمَّا جَآءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَـٰلِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةًۭ مِّن سِجِّيلٍۢ مَّنضُودٍۢ (٨٢) مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِىَ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ بِبَعِيدٍۢ

Maksudnya: “Apabila telah tiba waktu azab, Kami terbalikkan negeri mereka sehingga tertimbus dalam perut bumi. Setelah itu Kami turunkan hujan daripada batu-batu tanah liat yang keras secara bertalu-talu ke atas mereka. Batu-batu tersebut dipiliih khas oleh Tuhanmu untuk menimbus mereka. Dan ingatlah azab seperti ini tidak susah untuk dikenakan kepada orang yang zalim.”

(Surah Hud: 82-83)

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT telah menurunkan azab-Nya terhadap golongan homoseksual daripada kaum Sodom. Kajian telah menemukan beberapa kesan peninggalan sejarah seperti benteng lama yang terletak di atas permukaan air laut setinggi 500 kaki. Kewujudan benteng tersebut menjadi bukti bahawa terdapatnya kehidupan kaum Sodom. Manakala sebahagian pakar geologi pula menguatkan hujah bahawa Laut Mati di bahagian Buhayrah Nabi Lut A.S tersebut pernah menenggelamkan sebuah negeri yang merujuk kepada kota kaum Sodom.

Walau bagaimanapun, berdasarkan tafsiran menyeleweng yang dikemukakan oleh golongan Islam liberal, mereka mendakwa bahawa punca malapetaka tersebut diturunkan bukanlah disebabkan oleh perlakukan homoseksual kaum Nabi Lut A.S, akan tetapi ia berpunca daripada keingkaran dan penolakan mereka terhadap dakwah Nabi Lut A.S. Hal ini menurut mereka selaras dengan keingkaran kaum-kaum yang lain apabila mereka tidak menyambut baik dakwah yang disampaikan oleh para nabi, lalu mereka ditimpa azab di dunia. Bagi golongan ini, perbuatan homoseks tidak menjadi faktor eksplisit pengundangan kemurkaaan Allah SWT terhadap sesebuah kaum. Dakwaan ini secara halus menyaksikan perlakuan homoseksual dibenarkan, dan perkara ini sangat mengelirukan masyarakat awam dengan penanaman doktrin bahawa hubungan sejenis tidak menjadi satu kesalahan dosa dalam Islam.

Pemakaian hujah yang dikemukakan oleh golongan Islam liberal turut disandarkan kepada tafsiran Ibn Hazm al-Andalusi yang menurut mereka, Ibn Hazm juga menyatakan penurunan azab tersebut berpunca daripada keingkaran mereka terhadap risalah Ilahi. Sedangkan penghujahan mereka dilihat begitu bias dengan memetik pendapat secara terpilih, lalu diolah mengikut versi dan falsafah pemikiran mereka. Malah, mereka memanipulasi kenyataan Ibn Hazm yang pada hakikatnya turut menegaskan pengharaman homoseksual yang merupakan dosa besar dan perkara ini telah disepakati oleh seluruh ulama berdasarkan nas al-Quran dan hadith. Apa yang menjadi sedikit perselisihan hanya terletak kepada bentuk hukuman syariah terhadap pelaku homoseksual sama ada dihukum dengan hukuman hudud seperti kesalahan berzina, ataupun hukuman ta’zir yang ditetapkan oleh para pemerintah sahaja. Bagi Ibn Hazm, hukuman yang dikenakan ke atas pelaku homoseksual adalah berupa ta’zir, dan pendirian ini dilihat berbeza dengan pendapat ulama muktabar lain yang menyatakan bahawa hukuman terhadap pelaku hubungan sejenis seumpama hukuman zina sebagaimana yang dinyatakan oleh Sa‘id bin al-Musayyab, ‘Ata’ bin Abi Rabah, al-Nakha‘i, al-Hasan dan Qatadah.

LGBT: Usaha Normalisasi dari Barat atas Permit Hak Asasi

Mutakhir ini, terdapat usaha yang dilakukan oleh beberapa aktivis sosial dalam mempromosikan gaya hidup Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT). Sebagai contoh, pada 9 Mac 2019, Malaysia digemparkan dengan insiden satu himpunan Hari Wanita Sedunia yang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.[1] Naratif yang cuba dipaparkan oleh para pejuang hak asasi ini ialah, perlakuan homoseksual pada masa kini merupakan satu bentuk normalisasi yang perlu diterima oleh seluruh masyarakat global kerana ia merupakan hak asasi yang wajar diberikan kepada golongan tersebut. Ternyata, selain larangan keras Islam mengenai perlakuan homoseksual akan keharamannya, aktiviti luar tabii membawa pelbagai implikasi negatif.

Laporan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia turut mendedahkan bahawa sebanyak 1,697 individu yang mengamalkan tabiat seks songsang seperti homoseksual dan biseksual merupakan sebahagian daripada 3,347 kes HIV baharu dicatatkan pada tahun 2017. Malah, penyebaran virus HIV dalam kalangan golongan homoseksual dan biseksual dipercayai kian meningkat saban tahun daripada 63 kes pada tahun 2000 kepada 1,553 pada tahun 2016 seterusnya 1,697 pada tahun 2017. Peningkatan tersebut turut menyaksikan jumlah mereka yang disahkan positif HIV melalui aktiviti menagih dadah dengan berkongsi jarum suntikan terus menurun sebaliknya melalui hubungan seks di luar tabii pula semakin meningkat. [2]

Bagi pelaku homoseksual dan biseksual, secara psikologinya, jika mereka melangsungkan perkahwinan, maka isterinya tidak akan mendapat kepuasan seksual biologi, kerana minat seksual suami cenderung kepada lelaki. Ini mengakibatkan hubungan suami isteri menjadi renggang dan kasih sayang sesama pasangan menjadi pudar. Homoseks turut mengakibatkan kerosakan pada saraf otak kepada pelakunya, melemahkan akal, serta melunturkan semangat kerja. Melihat kepada implikasi negatif yang begitu besar, umat Islam wajib berusaha menjauhkan diri dan keluarga daripada terpengaruh dengan gaya hidup LGBT yang jijik dan merosakkan sistem nilai dalam sesebuah pembangunan madani. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/475-476)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa amalan luar tabi’i seperti yang diamalkan oleh kaum Nabi Lut yang melakukan perbuatan terkutuk nafsu songsang akan mengundang azab kepada pelakunya di dunia berupa penyakit dan jauh rahmat Allah SWT dan azab yang lebih besar di akhirat kelak. Allah SWT Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Penurunan azab yang begitu dahsyat terhadap kaum Lut AS menyaksikan manusia tidak boleh angkuh dan sombong terhadap Allah SWT, apatah lagi mencabar-Nya dengan melakukan perbuatan terkutuk secara terbuka serta berbangga dengan maksiat yang dilakukan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/539130/himpunan-hari-wanita-disuntik-lgbt-menjengkelkan.

[2] Lihat https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/08/465401/peranan-doktor-tangani-seks-songsang-lgbt-banteras-hiv.