#4381: Kerugian Bagi Pemerintah Yang Zalim dan Kalimah ‘Sultan’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kaitan terhadap laknat Allah kepada pemerintah yang zalim dan keunikan kalimah sultan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَا وَسُلْطَـٰنٍۢ مُّبِينٍ (٩٦) إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦ فَٱتَّبَعُوٓا۟ أَمْرَ فِرْعَوْنَ ۖ وَمَآ أَمْرُ فِرْعَوْنَ بِرَشِيدٍۢ (٩٧) يَقْدُمُ قَوْمَهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ فَأَوْرَدَهُمُ ٱلنَّارَ ۖ وَبِئْسَ ٱلْوِرْدُ ٱلْمَوْرُودُ (٩٨) وَأُتْبِعُوا۟ فِى هَـٰذِهِۦ لَعْنَةًۭ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۚ بِئْسَ ٱلرِّفْدُ ٱلْمَرْفُودُ

Maksudnya: Dan Kami juga telah mengutuskan Nabi Musa sebagai rasul kepada kaumnya dengan membawa bukti-bukti kekuasaan Kami dan mukjizat sebagai tanda yang jelas tentang kebenaran kenabiannya. Kami utuskannya kepada Firaun dan pembesar-pembesar kaumnya, namun mereka tetap mematuhi perintah Firaun. Padahal, perintah Firaun itu bukanlah untuk perkara yang benar. Firaun akan memimpin kaumnya itu pada hari kiamat sehingga mereka masuk ke dalam neraka bersama-sama, dan itulah seburuk-buruk tempat yang akan didiami oleh mereka. Laknat Allah sentiasa bersama mereka di dunia dan di hari akhirat, itulah seburuk-buruk kurniaan yang mereka peroleh.

(Surah Hud: 96-99)

Al-Quran banyak merakamkan kisah Nabi Musa A.S, Firaun, dan kaumnya. Namun, di dalam Surah Hud, kisah Nabi Musa A.S dimuatkan secara ringkas dan ia terangkum dalam rangkaian ayat ini sahaja. Menariknya, tumpuan kisah Nabi Musa A.S dalam Surah ini terarah kepada golongan al-mala’ (ketua-ketua kaum) yang bersama-sama Firaun, yang mana mereka menzahirkan penentangan yang keras terhadap Nabi Musa A.S. Potongan ayat ini memberikan gambaran bahawa di samping Firaun, terdapat juga pembesar dan para menteri yang setia kepadanya, dan mereka saling tolong-menolong dalam menegakkan kezaliman. Lalu, Allah SWT melaknat mereka dengan membinasakan mereka sejak di dunia, seterusnya mereka dicampakkan ke dalam api neraka.

Dalam konteks semasa, selain ketua negara, kezaliman ini perlu dijauhi oleh para menteri dan pemimpin yang bersama-sama dalam lingkungan pemerintahan mereka. Kezaliman tidak hanya boleh berlaku menerusi kuasa ketua pemimpin tertinggi, bahkan ia juga boleh terjadi menerusi tangan-tangan para menteri dan ketua yang berada di samping pemimpin tertinggi tersebut. Justeru, barisan kepimpinan negara wajib berlaku adil dan bersikap rahmah terhadap rakyat berteraskan syariat Islam, agar mereka tidak dilaknat Allah SWT sebagaimana Dia telah melaknat Firaun dan para pembesar di sekelilingnya akibat kezaliman mereka terhadap rakyat serta penentangan keras mereka terhadap ajaran tauhid.

Lafaz ‘سلطان’ dalam al-Quran memiliki makna yang unik. Ini dapat dilihat daripada kupasan yang diketengahkan oleh Fakhruddin al-Razi dalam menyerlahkan definisi semantik kalimah ‘sultan’. Secara dasarnya, kalimah ‘sultan’ menurut beliau bermaksud hujah. Manakala, golongan yang memiliki hujah pasti ‘menguasai’ pihak yang tidak memiliki hujah ketika berlakunya perdebatan, sebagaimana seorang pemerintah (سلطان) menguasai rakyatnya. Lebih menarik lagi apabila beliau menimbulkan persoalan, seandainya kalimah “ءايات” dalam ayat 96 tersebut membawa makna mukjizat, manakala “سلطان” pula membawa maksud dalil (دلائل) dan hujah, dan kalimah “مبين” pula menjadikan “سلطان” (dalil) terzahir secara nyata, maka apakah perbezaan antara ketiga-tiga peringkat kalimah tersebut?

Menurut al-Razi, ketiga-tiga kalimah berkongsi kepada fungsi masing-masings sebagai penegakan hujah. Namun kalimah “ءايات” memberi maksud ‘tanda’ (علامات) yang mana penghujahannya berada pada aras zanni (keyakinan 70%). Manakala kalimah (دلائل) membawa kepada penghujahan pada aras yakin (100%), dan kalimah (سلطان) adalah penghujahan yang memberikan keyakinan (100%) secara putus (qat‘i). Tetapi kalimah  (سلطان) merupakan satu kata nama yang berkongsi makna dengan (دلائل), baruah ia menatijahkan makna sebenar berupa penegakan hujah dan dalil secara hissi (fizikal) yang dapat dilihat dengan mata kasar. Justeru, dalil yang muktamad (الدليل القاطع) yang dapat dibuktikan secara fizikal itu dinamakan sebagai al-Sultan al-Mubin (السلطان المبين) sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 96, Surah Hud lantaran ia merujuk kepada mukjizat Nabi Musa A.S yang bersifat hissi (fizikal) seperti tongkat Baginda A.S.

Manakala, hasil penelitian yang dilakukan oleh ‘Abd al-Karim Bilal menyimpulkan bahawa, kalimah (دليل) disandarkan kepada sesuatu hujah yang bersifat zanni, (برهان) pula merujuk kepada sesuatu hujah yang bersifat qat‘i (muktamad), seterusnya kalimah (حجة) pula merujuk kepada sesuatu hujah tidak kira secara zanni dan qat‘i, manakala (سلطان) pula sememangnya merupakan (حجة). (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/487-488)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, para barisan pemimpin muslim wajib mentaati perintah Allah SWT. Keingkaran terhadap perintah Allah SWT mengundang laknat Allah SWT seperti mana Firaun dan ketua-ketua dari kalangan pembesar kaum (الملأ) yang dilaknat Allah SWT sejak di dunia lagi. Umat Islam seharusnya membuat pilihan yang tepat dalam mendukung pemimpin yang adil, yang dapat memberikan kemaslahatan kepada ummah. Mereka tidak seharusnya terikut-ikut dengan kerosakan yang dilakukan oleh para pemimpin tertentu kerana mereka memiliki kuasa memilih untuk berada pada jalan yang betul atau salah.

Pemimpin yang zalim akan membawa dirinya ke lembah kebinasaan. Malah, dia juga turut memudaratkan pihak lain. Dalam pada itu, terdapat juga pimpinan di dalam lingkungannya turut mengikuti jejak langkahnya yang melakukan kezaliman, sementara golongan munafik pula sentiasa berada di belakang barisan kepimpinan tersebut.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)