#4382: Rasulullah Sebagai Suri Tauladan Dalam Dakwah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami bagaimana Rasulullah SAW sebagai ikon dakwah dan sebagai dakwah yang berkesan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

(Surah al-Ahzab: 21)

Islam ialah agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebagai rahmat kepada seluruh alam. Ia menyeimbangkan antara keperluan dunia dan matlamat Akhirat. Namun begitu, cabaran dan ujian mengajak kepada Islam bukanlah sedikit. Bahkan jika pendekatan dan cara yang digunakan itu tidak meraikan keadaan masyarakat, maka akan berlaku penolakan yang lebih besar berbanding penerima.

Dalam konteks ini, Rasulullah SAW ialah panduannya. Apa sahaja strategi yang dirancang dan pendekatan yang dilaksanakan, ianya mestilah berpandukan cara Baginda SAW. Ini jelas melalui penegasan Ummul Mukminin Aisyah RA yang menyatakan bahawa akhlak Rasulullah SAW ialah akhlak al-Quran. Ianya bermaksud segala tingkahlaku dan perbuatan Baginda SAW adalah bertepatan dengan al-Quran.

Rasulullah SAW bukan sahaja menunjukkan cara dan pendekatan berdakwah, bahkan pelbagai halangan dan rintangan yang dihadapi juga dapat menjadi panduan para pendakwah. Baginda SAW sentiasa fokus dan merancang kerja dakwah dengan teliti. Contohnya pengiriman Mus‘ab ibn Umair ke Madinah selepas Perjanjian ‘Aqabah kedua. Usaha yang dilakukan oleh Mus‘ab RA telah membuka jalan kepada hijrah Rasulullah SAW selepas itu.

Sifat lemah-lembut dan ketegasan yang berjalan seiring menunjukkan Rasulullah SAW seorang yang bertimbang rasa dan tidak memilih bulu. Sebab itu para sahabat besar seperti Abu Bakar dan Umar pun pernah ditegur dengan tegas oleh Baginda SAW, manakala Arab Badwi yang kencing di masjid telah ditegur dengan lemah-lembut oleh Baginda SAW walaupun dia tidak pernah bertemu Rasulullah SAW sebelum itu.

Oleh itu, ayat 125 Surah al-Nahl memberikan satu dimensi penting kepada para pendakwah tentang peri penting menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam dakwah. Ini adalah kerana perkataan ‘hikmah’ dalam ayat ini bukan semata-mata bermaksud bijaksana. Bahkan ‘hikmah’ ialah berilmu dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, justeru kebijaksanaan tanpa kedua-duanya adalah kebijaksana yang palsu. Ini sekaligus meletakkan Baginda SAW sebagai panduan dalam aspek pertuturan, perbuatan, perakuan, akhlak dan sifat kejadian. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/500)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa Rasulullah SAW merupakan contoh ikon teladan dan juga dakwah serta akhlak baginda yang mulia. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

(Surah al-Qalam: 4)

Justeru, disebabkan dengan akhlak Rasulullah SAW yang mulia dan dipenuhi dengan adab yang tinggi, maka tidak hairan dan peliklah jika dakwah Rasulullah SAW sangat memberi kesan kepada para sahabat dan ummat baginda.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”