#4389: Tentangan Moden Terhadap Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana sikap dan cara golongan moden menentang Islam ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَسْتَ مُرْسَلًۭا ۚ قُلْ كَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدًۢا بَيْنِى وَبَيْنَكُمْ وَمَنْ عِندَهُۥ عِلْمُ ٱلْكِتَـٰبِ

Maksudnya: Orang-orang kafir itu berkata, “Engkau bukan seorang rasul.” Katakan kepada mereka, “Cukuplah Allah sebagai saksi antara aku dan kamu semua. Ahli kitab yang beriman juga menjadi saksi kerasulanku.”

(Surah al-Ra’d: 43)

Allah SWT menceritakan golongan yang memungkiri kenabian Nabi Muhammad SAW dengan kata-kata yang diungkapkan mereka kepadanya, “Kamu bukanlah seorang rasul”. Kata-kata mereka adalah penafian nyata mereka terhadap kenabian Baginda SAW selepas keingkaran mereka secara isyarat dengan meminta tanda-tanda dan disegerakan azab ke atas mereka sebagai bukti kebenaran dakwah Rasulullah SAW. Lalu Allah SWT menyuruh Baginda SAW menyatakan bahawa cukuplah Dia menjadi saksi terhadap kebenaran dakwah Islam yang disokong dengan mukjizat al-Quran yang diturunkan kepadanya, serta sokongan penyaksian yang diberikan oleh para pendeta ahli kitab sama ada daripada kalangan kaum Yahudi dan Nasrani seperti Waraqah bin Naufal dan juga Raja Najashi berdasarkan perkhabaran tentang risalah Baginda yang terdapat di dalam kitab Taurat dan Injil serta sifat-sifat nabi akhir zaman yang hanya sepadan dengan diri Baginda SAW. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 13/176; al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 62)

Tentangan Moden Terhadap Islam

Sejarah telah menunjukkan bahawa golongan kafir semenjak dahulu lagi sentiasa merancang kejahatan untuk menjatuhkan agama Allah SWT. Mereka menghalau, menyeksa dan merancang membunuh para rasul dan para pengikut mereka dalam rangka melenyapkan dan melemahkan penyebaran agama yang benar sebagaimana yang berlaku ke atas diri Rasulullah SAW dan para rasul sebelum Baginda.

Sejarah tersebut masih berulang sehingga kini. Musuh Islam dari golongan kafir dan liberal merancang kejahatan terhadap Islam dan golongan muslimin dengan pelbagai strategi dan cara. Antara strategi yang digunakan adalah:

  • Mereka mencabar tafsiran serta kefahaman kita tentang Islam dengan mendatangkan tafsiran Islam versi baharu yang sesuai dengan kerangka pemikiran mereka.
  • Mereka mencipta agenda Islamphobia dengan mengaitkan hubungan gerakan Islam dengan gerakan pengganas. Mereka melakukan propaganda untuk menggambarkan imej Islam itu adalah pengganas. Sebab itu kita sering mendengar gerakan Islam atau Islam itu sendiri disifatkan dengan fahaman ekstrimis.
  • Mereka memomokkan bahawa umat Islam ini lemah dalam mentadbir. Atas dasar itu, negara-negara Islam atau negara yang ditadbir oleh pentadbir yang cenderung kepada kefahaman Islam akan dimomokkan sebagai tidak pandai mentadbir, mundur, miskin dan pelbagai isu negatif yang lain. Segala sisi baik dalam pentadbiran umat Islam mereka tidak tampilkan, bahkan mereka hanya mencanang segala kelemahan mereka.

Sampaikan mesej yang memburukkan Islam ini kepada orang muda, supaya mereka sendiri akan melihat Islam sebagai sesuatu yang buruk. Atas perancangan ini kita lihat bagaimana anak-anak muda mula mempertikaikan Islam bahkan melihat Islam sebagai sesuatu yang mundur. (Lihat Tafsir al-Bayan, 619-620)

Kesimpulan

Justeru, sebagai umat Islam kita perlu memainkan peranan sama ada secara individu mahupun secara kolektif menangkis segala serangan ini dengan menggunakan segala medium yang ada. Ini adalah suatu kebimbangan yang nyata. Sekiranya kita tidak mengambil langkah yang sama untuk memberi penerangan berhubung perkara ini, generasi Islam akan hilang atau cair identitinya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)