#4391: Metode dalam Memberi Nasihat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah cara yang terbaik dalam memberi nasihat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَٱلْعَصْرِ (١) إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ

Maksudnya: “Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-’Asr: 1-3)

Rasulullah SAW sebagai pembawa misi dakwah dan rahmat kepada sekalian alam, dari awal lagi Baginda menyampaikan dakwah dengan penuh kesantunan melalui budaya dialog, bukannya dengan kekerasan dan kekasaran. Jika kita meneliti sirah Rasulullah SAW dan menghayatinya, kita akan dapati bahawa Rasulullah SAW tetap bersifat santun pada setiap masa dan ketika, terutamanya sewaktu menyampaikan dakwah kepada kaum Quraish, dan natijahnya amat luar biasa dan mengkagumkan. Orang yang dahulunya amat membenci dan memusuhi Rasulullah SAW, akhirnya menjadi pendukung dan pembela dakwah Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Budaya berdakwah secara santun dan berdialog dengan penuh hikmah adalah budaya semua utusan Allah yang kemudiannya diwariskan kepada umat manusia pada hari ini. Jika ditelusuri dalam al-Quran, kita akan menemui kisah-kisah dialog antara Nabi Ibrahim A.S dengan Raja Namrud, dialog Nabi Musa A.S dengan Firaun, dialog Nabi Yusuf A.S dengan penguasa Mesir dan lain-lain lagi.

Pengajaran yang penting daripada kisah-kisah dialog ini ialah kebenaran wajib disampaikan dan dibela, tetapi bukannya dengan kekasaran, kekerasan dan kebencian. Sebaliknya kebenaran hendaklah disampaikan dengan santun dan lemah lembut melalui pendekatan dialog yang penuh hikmah. Bukankah Allah SWT telah berpesan kepada Nabi Musa A.S dan juga Nabi Harun A.S supaya berdialog dengan Firaun dengan menggunakan tutur kata dan bahasa yang lemah lembut. Firman Allah SWT:

ٱذْهَبَآ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ (٤٣)  فَقُولَا لَهُۥ قَوْلًۭا لَّيِّنًۭا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

Maksudnya: “Pergilah kamu berdua berdakwah kepada Firaun. Sesungguhnya dia telah melampaui batas. Berdakwahlah kepadanya dengan kata-kata yang lembut, semoga dia insaf atau takut kepada Allah lalu bertaubat.”

(Surah Taha: 43-44)

Di samping itu juga, Islam melarang umatnya mencerca dan memaki apa-apa yang disembah oleh umat agama lain. Hal ini ditegaskan Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

وَلَا تَسُبُّوا۟ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّوا۟ ٱللَّهَ عَدْوًۢا بِغَيْرِ عِلْمٍۢ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Jangan kamu wahai orang-orang beriman mencaci apa yang mereka sembah selain Allah kerana mereka nanti akan mencaci Allah secara keterlaluan tanpa berdasarkan pengetahuan. Demikianlah Kami menjadikan setiap umat memandang elok perbuatan mereka, kemudian mereka kembali kepada Tuhan mereka. Lalu Dia memberitahu kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

(Surah al-An‘am: 108)

Pengertian ayat ini menyingkap etika berdakwah yang baik, iaitu bersifat santun dan tidak kasar atau kesat sewaktu berdakwah. Ini kerana dengan bersifat kasar dan kesat, akan menyebabkan masyarakat bukan Islam tidak tertarik dengan Islam, bahkan mereka juga akan membenci dan mencerca Islam, malah akan menghina Allah SWT.

Jika mencerca dan menghina sembahan orang bukan Islam dilarang Islam, apalagi mencerca dan memaki sesama muslim yang hanya berlainan mazhab, fikrah atau politik. Oleh sebab itu, berdakwah ke arah kebaikan dengan tidak bersifat santun dan hikmah hanya akan menyebabkan kekeliruan, perpecahan, pertikaian dan permusuhan di kalangan umat Islam.

Di dalam setiap kesempatan mengetuai peperangan, Rasulullah SAW tidak pernah lupa untuk sentiasa memperingatkan kepada para sahabatnya, iaitu tentera Islam dilarang merobohkan rumah, merosakkan sebarang pokok dan pohon serta mencemarkan alam sekitar. Justeru, tidak hairanlah jika Rasulullah SAW amat dihormati dan disegani di kalangan bukan Islam kerana sifat santunnya yang luhur, meskipun berada di medan peperangan.

Akhirnya, berdakwah adalah satu kewajipan yang mulia yang terpikul di bahu setiap muslim untuk mengajak orang lain kepada kebaikan dan kebenaran. Jika orang yang diseru dan diajak itu tidak menerima dakwah, itu adalah semata-mata kehendak Allah SWT jua. Yang paling penting, kita telah berusaha menyampaikan kebenaran sesuai dengan perintah Ilahi. Firman Allah SWT:

فَإِنْ أَعْرَضُوا۟ فَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا ۖ إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا ٱلْبَلَـٰغُ ۗ

Maksudnya: “Sekiranya mereka berpaling tidak mahu menerima, maka Kami tidak mengutusmu wahai Muhammad untuk menjadi pengawas mereka. Kamu hanya diperintahkan untuk menyampaikan…,”

(Surah al-Syura: 48).

Sesungguhnya, hikmah dan objektif perutusan para nabi dan rasul kepada umat manusia adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kekufuran dan kesesatan kepada cahaya keimanan dan pengabdian kepada Allah Yang Maha Esa. (Lihat Tafsir al-Bayan, 633-634)

Kesimpulan

Justeru, sebagai kesimpulan, kami nyatakan antara metode atau cara yang boleh diaplikasikan dalam menyampaikan dakwah dengan berkesan adalah seperti berikut:

  • Dakwah dengan hikmah iaitu dengan ilmu dan kefahaman yang jelas dalam setiap sesuatu kerana dakwah tanpa ilmu tidak akan diterima oleh masyarakat.
  • Hendaklah menyampaikan dakwah dengan kasih sayang dan menggunakan ucapan yang lembut serta hindari daripada menggunakan ucapan-ucapan yang kasar.
  • Menunjukkan contoh yang baik melalui perbuatan atau penampilannya kerana ia boleh memberi kesan terhadap orang yang didakwah. Yang demikian juga sebagaima yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW baik dari segi penampilan atau akhlak Baginda. Disebabkan dengan itu juga dakwah Rasulullah SAW diterima oleh kaum musyrikin.
  • Mengetahui hal keadaan orang yang hendak didakwah baik dari segi psikologi, akhlak, adat, kepercayaan agama, dan kecenderungan mereka agar para pendakwah dapat menyampaikan dakwah dengan cara yang paling efektif dan berkesan serta mencapai matlamat.
  • Permudahkan dan jangan menyusahkan kerana Masyarakat akan cenderung mendekati seseorang yang memudahkan bagi mereka pemahaman hukum – dengan syarat bahawa hukum tersebut adalah yang sahih menurut perspektif fiqh dan memiliki bukti yang sahih.

Antara dakwah yang baik juga dengan cara kita turun ke lapangan bersama dengan orang-orang yang lama berkecimpung dalam dakwah. Ini kerana pengalaman itu mematangkan diri mereka kerana mereka telah bertemu dengan pelbagai ragam jenis manusia.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Wallahua`lam.