#4395: Menziarahi Tempat Yang Dibinasakan Allah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami adab menziarahi tempat yang dibinasakan Allah

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَذَّبَ أَصْحَـٰبُ ٱلْحِجْرِ ٱلْمُرْسَلِينَ (٨٠) وَءَاتَيْنَـٰهُمْ ءَايَـٰتِنَا فَكَانُوا۟ عَنْهَا مُعْرِضِينَ (٨١) وَكَانُوا۟ يَنْحِتُونَ مِنَ ٱلْجِبَالِ بُيُوتًا ءَامِنِينَ (٨٢) فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّيْحَةُ مُصْبِحِينَ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya penduduk “al-Hijr” yang merupakan kaum Nabi Soleh telah mendustakan para rasul. Dan Kami telah mendatangkan tanda-tanda kekuasaan Kami kepada mereka, namun mereka tetap berpaling daripadanya. Mereka memahat sebahagian daripada bukit-bukit batu untuk dijadikan tempat tinggal yang aman.  Walaupun begitu, mereka dibinasakan oleh pekikan suara yang menggegarkan bumi pada waktu pagi. Maka apa yang telah mereka usahakan, tidak dapat menolong mereka walau sedikit pun.”

(Surah al-Hijr: 80-84)

Allah SWT berfirman dengan menjelaskan bagaimana nasib Kaum Tsamud yang merupakan penduduk kota al-Hijr. Mereka mendustakan risalah yang dibawa oleh Nabi Soleh A.S. Menurut al-Qurtubi kalimah (المرسلين) merujuk kepada Nabi Soleh A.S sahaja. Namun perbuatan mendustakan seorang nabi sama saja seperti mendustakan keseluruhan para nabi dan rasul yang diutuskan Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 80. Ini  kerana mereka membawa risalah yang sama dan tiada perbezaan antara ajaran para rasul. Allah SWT juga telah memberikan kepada mereka bukti kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi Soleh A.S, namun dalam pada itu, mereka tetap berpaling mengingkarinya serta tidak mengambil pengajaran.

Menurut mufassirin, bukti yang dimaksudkan ini ialah mukjizat Nabi Soleh A.S iaitu unta besar yang keluar daripada batu keras berkat doanya. Unta ini unik dan istimewa berbanding unta lain daripada aspek fizikalnya, iaitu saiznya lebih besar daripada unta biasa, dan manfaatnya berupa susu yang boleh dinikmati semua penduduk Tsamud. Ia bebas pergi ke mana sahaja dan diberi giliran minum air pada hari tertentu. Walau bagaimanapun, unta ini telah dicerobohi oleh kaum Tsamud, lalu mereka menyembelih unta ini secara zalim dengan tidak mengendahkan amaran Nabi Soleh A.S.

Sedangkan Allah SWT telah memberi pelbagai nikmat berbentuk kesenangan hidup yang menjadi kebanggaan dan kemegahan kaum Tsamud seperti kepakaran memahat batu daripada gunung-ganang hingga menjadi tempat kediaman yang aman dan tenteram daripada bahaya dan bencana. Lantaran kekufuran dan keingkaran mereka, Allah SWT menurunkan azab berupa sautu suara keras yang menakutkan sehingga mereka mati bergelimpangan di awal waktu pagi. Menurut Ibn Kathir, azab yang menimpa kaum Tsamud berlaku pada hari keempat selepas Nabi Soleh A.S memberi amaran kepada mereka. Maka semua hasil usaha mereka yang dimegah-megahkan sebelum ini seperti tempat kediaman yang hebat, tanaman, ternakan, air ditinggalkan begitu sahaja ketika azab Allah SWT datang menimpa mereka. Tidak ada sebarang manfaat pun daripada harta kekayaan yang dapat menyelamatkan mereka ketika itu.

Malang sekali, kemegahan dan kekuatan mereka sedikit pun tidak dapat menghindarkan mereka daripada azab Allah SWT baik di dunia mahu pun akhirat. Besarlah pengajaran yang dapat dilihat oleh umat Islam sepanjang zaman daripada kisah Nabi Soleh A.S dan selainnya. Janganlah harta, kuasa, pangkat, anak-anak menjadi punca kemurkaan Allah SWT di dunia dan dihumbankan ke dalam neraka akhirat nanti.

Bahkan, tempat kediaman yang ditinggalkan turut mendapat laknat Allah SWT sepanjang zaman. Ini direkodkan dalam sebuah hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلَاءِ الْمُعَذَّبِينَ إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا بَاكِينَ فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِمْ لَا يُصِيبُكُمْ مَا أَصَابَهُم

Maksudnya: “Janganlah kamu memasuki tempat yang penghuninya diseksa kecuali dalam keadaan kamu menangis. Jika tidak mampu menangis maka janganlah kamu memasukinya supaya kamu tidak ditimpa musibah yang pernah menimpa mereka.”

Riwayat al-Bukhari (433)

Adab Melawat ke Tempat yang Dibinasakan Allah SWT

Budaya melancong semakin mendapat tempat di zaman ini. Banyak tempat berunsur sejarah yang menjadi tarikan pelancong untuk melawatinya. Lazimnya kita pergi dalam perasaan yang gembira, ceria dan berswafoto di setiap penjuru. Namun, sekiranya tempat yang dilawati itu adalah bekas tempat yang dibinasakan Allah SWT, adakah tindakan ini bertepatan dengan tuntutan Islam?

Islam menuntut umatnya mengembara bagi melihat kebesaran Allah SWT, di samping mengambil ibrah ketika melewati kesan peninggalan sejarah kaum yang dibinasakan Allah SWT lantaran kekufuran mereka. Kisah kaum yang dibinasakan ini banyak diceritakan dalam al-Quran, antaranya seperti yang terdapat dalam surah ini, kisah kaum Nabi Lut A.S, Ashabul Aikah dan Ashab al-Hijr. Kesan peninggalan sejarah kaum ini masih  boleh dilihat sehingga hari ini seperti di Laut Mati, Petra, Ashab al-Hijr, Firaun dan piramidnya dan bermacam-macam lagi. Walau bagaimanapun, Islam telah memberikan tatacara dan adab ketika melawat ke tempat yang dibinasakan Allah SWT. Tatacara ini perlu dijaga sejajar dengan tunjuk ajar yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya. Terdapat tiga prinsip utama yang harus dipegang ketika melawati tempat yang dibinasakan Allah SWT iaitu menghadirkan perasaan takut, mengambil pengajaran dengan penuh kesedaran dan bersegera meninggalkan tempat tersebut.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

لَمَّا مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحِجْرِ قَالَ لَا تَدْخُلُوا مَسَاكِنَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ أَنْ يُصِيبَكُمْ مَا أَصَابَهُمْ إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ ثُمَّ قَنَّعَ رَأْسَهُ وَأَسْرَعَ السَّيْرَ حَتَّى أَجَازَ الْوَادِيَ

Maksudnya: Ketika Rasulullah SAW melalui al-Hijr, iaitu kawasan kaum Thamud, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu memasuki kawasan-kawasan orang yang menzalimi diri mereka sendiri kecuali kamu menangis kerana bimbang kamu ditimpa musibah yang telah menimpa mereka.” Kemudian Baginda SAW menutup kepalanya dan segera beredar sehingga melintasi lembah.

Riwayat al-Bukhari (4419)

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا نَزَلَ الْحِجْرَ فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ أَمَرَهُمْ أَنْ لَا يَشْرَبُوا مِنْ بِئْرِهَا وَلَا يَسْتَقُوا مِنْهَا فَقَالُوا قَدْ عَجَنَّا مِنْهَا وَاسْتَقَيْنَا فَأَمَرَهُمْ أَنْ يَطْرَحُوا ذَلِكَ الْعَجِينَ وَيُهَرِيقُوا ذَلِكَ الْمَاءَ.

Maksudnya: Sewaktu pulang daripada perang Tabuk, sesungguhnya Rasulullah SAW singgah di al-Hijr, suatu daerah pergunungan yang pernah menjadi tempat tinggal Kaum Thamud. Baginda SAW memerintahkan agar tentera Muslim tidak meminum air daripada telaga di situ dan tidak mengambil airnya. Mereka berkata: Kami telah membuat adunan roti dengan airnya dan telah mengambil airnya. Maka Baginda SAW memerintahkan agar mereka membuang adunan roti tersebut dan menumpahkan air itu.

Riwayat al-Bukhari (3378)

Berdasarkan hadith di atas terdapat beberapa tatacara yang harus diamalkan ketika melawati tempat kesan sejarah kaum yang dibinasakan Allah SWT, antaranya:

  • Menangis ketika melewati tempat tersebut.
  • Mempercepatkan langkah agar segera melewatinya.
  • Tidak menggunakan air di kawasan tersebut untuk minum atau masak.
  • Tidak menggunakan sumber air di kawasan tersebut untuk berwuduk.
  • Mukjizat Mencabar Kehebatan sesuatu Kaum

Mukjizat adalah suatu perkara luar biasa yang diberikan oleh Allah SWT kepada para rasul-Nya sebagai bukti dan hujah atas kebenaran risalah yang dibawa, dan disertai dengan cabaran agar dapat mendatangkan sepertinya.

Mukjizat sentiasa diringi dengan unsur cabaran. Lazimnya, cabaran itu haruslah daripada jenis yang sama  dengan kehebatan sesuatu kaum pada zaman tersebut. Tidak boleh dikatakan sebagai mukjizat jika kaum tersebut tiada kepakaran tentang mukjizat itu.Mukjizat yang dibawa oleh Nabi Soleh A.S kepada kaum Tsamud berupa unta besar yang keluar daripada batu. Mukjizat ini mencabar kehebatan kaum Tsamud yang merupakan bangsa yang terkenal dan hebat kerana tamadunnya serta memiliki kepakaran tentang ilmu batu-batan dan membina bangunan yang kukuh di gunung batu. Justeru, mereka mencabar sesuatu yang mustahil dapat dilakukan oleh manusia, iaitu meminta Nabi Soleh A.S mengeluarkan unta betina yang besar daripada batu. Justeru, Allah SWT memberikan mukjizat kepada Nabi Soleh A.S berupa unta betina yang luar biasa keluar daripada batu sebagaimana yang dipinta oleh kaumnya. Namun, mereka semuanya dibinasakan Allah SWT kena membunuh unta Allah SWT tanpa sebarang alasan. Segala kebanggaan Kaum Tsamud ditinggalkan begitu sahaja dan ia kekal sehingga hari ini sebagai bukti sejarah dan pengajaran bagi mereka yang berakal.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/721-658)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa terdapat beberapa tatacara yang harus diamalkan ketika melawati tempat kesan sejarah kaum yang dibinasakan Allah SWT, antaranya:

  • Menangis ketika melewati tempat tersebut.
  • Mempercepatkan langkah agar segera melewatinya.
  • Tidak menggunakan air di kawasan tersebut untuk minum atau masak.
  • Tidak menggunakan sumber air di kawasan tersebut untuk berwuduk.
  • Mukjizat Mencabar Kehebatan sesuatu Kaum

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”