#4396: Kelebihan Memelihara Anak Perempuan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. bagaimana kedudukan anak perempuan dalam Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Anak merupakan satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada pasangan yang mendirikan rumahtangga. Sepertimana firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “… dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki Nya.”

(Surah al-Syura : 49)

Begitu juga, dalam ayat yang seterusnya:

أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا ۖ وَيَجْعَلُ مَن يَشَاءُ عَقِيمًا ۚ إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki Nya mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”

(Surah al-Syura: 50)

Menurut Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya, Allah SWT mampu untuk mengurniakan anak lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan tidak menganugerahkan keturunan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/6174)

Kedudukan Anak Perempuan

Islam turut memuliakan anak perempuan. Tidak pernah timbul dalam ajaran Islam bahawa kaum lelaki adalah lebih istimewa berbanding kaum wanita. Hanyasanya Islam lebih memberi peranan dan tanggungjawab kepada kaum lelaki disebabkan keupayaan kaum lelaki terutamanya dalam hal jihad dan kepimpinan. Namun, berbeza pula halnya dengan masyarakat Arab Jahiliah yang amat membenci anak perempuan. Kebodohan mereka amat nyata sekali apabila mereka menolak ketentuan zuriat, dan rela mencipta sebuah kefahaman dan tuduhan bahawa Allah memiliki anak perempuan. Bahkan sebahagian mereka sanggup menguburkan anak perempuan hidup-hidup seperti yang dilakukan kabilah Mudhar, Khuza‘ah dan Kinanah. Menurut Qatadah, kabilah Tamim amat takut memiliki anak perempuan kerana khuatir menjadi penyebab kepada kemiskinan dan kehinaan dalam kehidupan mereka.

Lalu agama Islam datang membela dan mewajibkan manusia berlaku ihsan terhadap anak perempuan. Sebagai contoh, ibu bapa yang memelihara anak perempuan dengan baik akan beroleh jaminan keselamatan oleh Rasulullah SAW. Daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن عالَ جارِيَـتَـيْنِ حتَّى تَـبْلُغا، جاءَ يَومَ القِيامَةِ أنا وهو. وضَمَّ أصابِعَهُ

Maksudnya: “Sesiapa memelihara dua anak perempuan yang kecil sehingga keduanya baligh, kelak pada hari kiamat dia dan aku adalah seperti ini.” Baginda SAW mengisyaratkan dengan merapatkan dua jari Baginda.”

Riwayat Muslim (149)

Begitu juga, terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ ابْـتُلِـيَ مِنَ الْبَـنَاتِ بِشَيْءٍ، فَأَحْسَنَ إِلَيْهِنَّ كُنَّ لَهُ سِتْـرًا مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka,  maka anak-anak perempuan itu akan menjadi perisai baginya daripada api neraka.”

Riwayat Muslim (147)

Sesungguhnya Islam adalah agama yang memuliakan anak-anak perempuan, bahkan Islam juga memuliakan orang-orang yang memuliakan mereka dengan ganjaran yang besar di akhirat kelak. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/39-40)

Dalam hadith di atas, dijelaskan mengenai beberapa syarat bagi orang yang menginginkan masuk ke dalam Syurga dengan memperlakukan anak perempuannya secara baik. Tiga syarat tersebut ialah:

  • Menjaganya dan tidak menyakitinya, tidak seperti kelakuan orang-orang jahiliyah dulu yang memperlakukan anak perempuan mereka secara tidak baik.
  • Memuliakannya, tidak memperlakukannya dengan perendahan dan penghinaan.
  • Tidak menjadikan anak yang lelaki lebih diutamakan dibandingkan dengan anak yang perempuan. Tetapi bergaul dengan mereka semuanya secara baik, tidak membeza-bezakan antara satu sama lainnya. (Lihat Ziyadah al-Hasanah fi Tarbiyah al-Banat, 1/13)

Mendidik anak-anak perempuan juga dapat menghalangi seseorang daripada seksa neraka. Hal ini sebagaimana riwayat daripada ‘Uqbah bin Nafi’, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ثَلَاثُ بَنَاتٍ فَصَبَرَ عَلَيْهِنَّ وَأَطْعَمَهُنَّ وَسَقَاهُنَّ وَكَسَاهُنَّ مِنْ جِدَتِهِ كُنَّ لَهُ حِجَاباً مِنَ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa memiliki tiga anak perempuan, dia sabar (dalam mendidiknya), dia memberinya makan, memberinya minum, memberinya sandang daripada apa yang didapatkannya, nescaya mereka anak-anak perempuannya tersebut dapat menjadi penghalang yang akan menghalanginya daripada seksa neraka kelak pada hari kiamat.”

Riwayat Ibn Majah (3669) dan Ahmad (17403). Hadith ini dinilai sahih sebagaimana dalam Sahih Ibn Majah (2974)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)