#4403:  Mafhum Jihad Yang Lebih Luas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah maksud dan mafhum jihad yang lebih luas  ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam).

(Surah al-Taubah: 41)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Jihad adalah satu perintah Allah SWT kepada orang Mukmin untuk memerangi dan menentang musuh-musuh-Nya. Majoriti daripada kita memahami jihad hanyalah dengan pedang dan pergi berperang secara fizikal. Walhal, konsep jihad dalam Islam lebih luas daripada itu. Secara umumnya konsep jihad ini boleh difahami dengan perincian berikut:

Jihad daripada sudut bahasa berasal dari kalimah jim-ha-dal ( ج.ه.د ) yang bermaksud menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga. Dari sudut istilah, jihad ditakrifkan dengan pelbagai definisi oleh para ulama. Al-Kasani mengatakan jihad pada uruf syarak digunakan pada mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah SWT dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain. Sebahagian fuqaha seperti Ibn ‘Arafah, Ibn Hajar dan al-Bhuti mentakrifkan jihad dengan perang secara khusus.

Berdasarkan pengertian di atas jihad boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu jihad umum dan jihad khusus. Jihad umum meliputi pelbagai jenis jihad sama ada dengan harta, lisan dan nyawa manakala secara khas ia bermaksud memerangi musuh. Sudah tentu dalam konteks sekarang, tiada tuntutan untuk kita berjihad memerangi musuh. Justeru, jihad yang perlu kita implimentasikan adalah jihad umum.

Menurut Raghib al-Isfahani jihad mempunyai tiga erti iaitu: berjuang melawan musuh yang nyata, berjuang melawan godaan syaitan dan berjuang melawan nafsu. Menurut Ibn al-Qayyim, jihad terbahagi kepada empat bahagian iaitu jihad memperbaiki diri (melawan nafsu), jihad melawan godaan syaitan, jihad memerangi orang kafir dan jihad terhadap orang munafik. Termasuk dalam jihad umum juga ialah berjuang melawan kezaliman, berjuang melawan kejahilan, berjuang melawan kemungkaran dan jihad dengan harta. Malik bin Dinar pernah berkata, “ جَاهِدُوا أَهْوَاءكَُمْ كَمَا تُُجَاهِدُونَ أَعْدَاءكَُمْ “ yang bermaksud: “Lawanlah hawa nafsu kamu sebagaimana kamu melawan musuh-musuh kamu.” (Lihat Al-Kamil fi al-Lughah wa al-Adab, 187.)

Jihad melawan nafsu merupakan perjuangan besar bagi setiap Muslim. Ia bererti mengawal diri dengan menggunakan kuasa akal daripada dikuasai oleh hawa nafsu. Cara untuk berjihad melawan nafsu mempunyai empat peringkat iaitu:

  • Melakukan jihad terhadap diri supaya mempelajari petunjuk dan agama yang sebenar. Tiada kebahagiaan dan kejayaan untuk diri sendiri tanpa petunjuk dan tiada kebahagiaan di dunia dan akhirat tanpanya. Apabila jiwa tidak dibekalkan dengan ilmu, maka malanglah di dunia mahupun akhirat.
  • Berjihad terhadap diri supaya mengamalkan ilmu yang diperoleh. Apabila seseorang itu tidak mengamalkannya, maka ilmu yang dipelajari hanya sekadar menjadi ilmu tanpa amal. Walaupun tidak membahayakannya, tetapi tiada manfaat yang dapat diambil.
  • Berjihad terhadap diri supaya berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada orang yang tidak mengetahuinya. Sekiranya tidak melakukannya, dia termasuk dalam golongan yang menyembunyikan apa yang Allah SWT turunkan daripada petunjuk dan penerangan. Ilmunya tidak memberikan manfaat dan tidak dapat menyelamatkannya daripada seksaan Allah SWT.
  • Berjihad dengan kesabaran ketika mengalami kesukaran dan seksaan daripada makhluk dalam berdakwah pada jalan Allah SWT dan menanggung semuanya dengan mengharapkan redha Allah SWT.
  • Berjihad membelanjakan harta di jalan Allah SWT dan tidak menjadi hamba kepada harta dengan sifat bakhil dan tamak kerana harta adalah alat utama untuk melakukan jihad fi sabilillah bagi menampung keperluan ke arah pembentukan sebuah masyarakat Islam yang diimpikan.[1]

Manakala jihad menentang godaan syaitan pula mempunyai dua peringkat, iaitu:

  • Berjihad melawan syaitan dengan membuang segala kebimbangan dan keraguan (syubuhat) yang dilemparkan oleh syaitan kepada manusia bagi merosakkan iman. Ini termasuk menjawab segala bentuk keraguan yang ditimbul oleh pihak tertentu terhadap aqidah dan syariat Islam seperti menuduh Islam sebagai agama terroris, Nabi Muhammad SAW seorang pedofilia kerana menikahi kanak-kanak, majoriti para sahabat telah murtad dan lain-lain.
  • Berjihad melawan syaitan yang mengarahkan manusia agar memenuhi nafsu syahwatnya dengan melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Ia seperti mencegah manusia melakukan zina, pergaulan bebas, orientasi seks songsang (LGBT), rasuah, penyelewengan kuasa, zalim, khianat dan lainlain.

Termasuk dalam jihad umum juga ialah jihad melawan bid’ah dan penyelewengan intelektual. Jihad melawan bid’ah bermaksud berjihad dalam menyekat ajaran-ajaran baharu dalam akidah dan syariah yang menyesatkan atas nama Islam. Ia dikenali sebagai ajaran sesat seperti Syiah, Qadiyani, Khawarij, Murji’ah, Muktazilah, Ayah Pin, Haji Kahar Rasul Melayu dan lain-lain. Bid’ah yang direkacipta atas nama agama jauh lebih bahaya berbanding maksiat kerana maksiat dapat dilihat dan disingkap urusannya.

Sementara itu, jihad melawan orang kafir dan munafik ada empat peringkat iaitu jihad dengan hati, lidah, harta, dan jiwa. Jihad menentang orang kafir lebih dikhususkan dengan tangan (kekuatan), manakala jihad menentang orang munafik lebih dikhususkan dengan lidah (dakwah). Adapun jihad untuk menentang orang kafir yang memerangi Islam, maka ia tertakluk kepada hukum hakam sebagaimana yang dibahaskan oleh para ulama dalam bab fiqh jihad. (Lihat Tafsir al-Bayan, 313-315)

Justeru, Ketahuilah, Islam tidak tertegak dengan pedang dan tuntutan jihad bukan terletak pada memerangi orang kafir sahaja. Bahkan jihad perlu difahami dalam konteks yang lebih luas. Berjihad dan berjuang melawan nafsu adalah lebih utama agar beroleh kejayaan hidup dan keredhaan Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat : http://www.rrg.sg/wp-content/uploads/2016/04/JIHAD-MENURUT-AL-Quran.pdf,  & http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/jihad_dan_konsepnya.pdf Diakses pada 21 November 2023