Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seseorang itu murtad kerana terpaksa?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ إِيمَـٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُۥ مُطْمَئِنٌّۢ بِٱلْإِيمَـٰنِ وَلَـٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلْكُفْرِ صَدْرًۭا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ
Maksudnya: “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman maka dia akan mendapat kemurkaan daripada Allah kecuali orang yang dipaksa berkata atau melakukan perbuatan kufur sedangkan hatinya tetap tenang dengan keimanan. Sebaliknya, sesiapa yang terbuka hatinya menerima kekufuran maka mereka akan mendapat kemurkaan daripada Allah dan bagi mereka azab yang pedih.”
(Surah al-Nahl: 106)
Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyebutkan riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
كَانَ قَـوْمٌ مِنْ أَهْلِ مَكَّةَ أَسْلَمُوا، وَكَانُوا يَسْتَخْفُونَ بِالْإِسْلَامِ. فَأَخْرَجَهُمُ الْمُشْرِكُونَ يَوْمَ بَدْرٍ مَعَهُمْ. فَأُصِيبَ بَعْضُهُمْ وَقُتِلَ بَعْضٌ. فَـقَالَ الْمُسْلِمُونَ: كَانَ أَصْحَابُـنَا هَؤُلَاءِ مُسْلِمِينَ وَأُكْرِهُوا فَاسْتَغْفِرُوا لَهُمْ، فَـنَـزَلَتْ: {إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ} [النساء: 97] إِلَى آخِرِ الْآيَةِ. قَالَ: وَكَتَبَ إِلَى مَنْ بَقِيَ بِمَكَّةَ مِنَ الْمُسْلِمِينَ هَذِهِ الْآيَةَ لَا عُذْرَ لَهُمْ. قَالَ: فَخَرَجُوا فَـلَحِقَهُمُ الْمُشْرِكُونَ، فَأَعْطُوهُمُ الْفِتْـنَةَ، فَـنَـزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ فَإِذَا أُوذِيَ فِي اللَّهِ جَعَلَ فِتْـنَةَ النَّاسِ كَعَذَابِ اللَّهِ}[العنكبوت: 10] إِلَى آخِرِ الْآيَةِ. فَكَتَبَ الْمُسْلِمُونَ إِلَيْهِمْ بِذَلِكَ، فَخَرَجُوا وَأَيِسُوا مِنْ كُلِّ خَيْرٍ، ثُمَّ نَـزَلَتْ فِيهِمْ: {ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ هَاجَرُوا مِنْ بَعْدِ مَا فُتِنُوا، ثُمَّ جَاهَدُوا وَصَبَـرُوا، إِنَّ رَبَّكَ مِنْ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَحِيمٌ} [النحل: 110] ، فَكَتَـبُوا إِلَيْهِمْ بِذَلِكَ: إِنَّ اللَّهَ قَدْ جَعَلَ لَكُمْ مَخْرَجًا، فَخَرَجُوا، فَأَدْرَكَهُمُ الْمُشْرِكُونَ فَـقَاتَـلُوهُمْ، ثُمَّ نَجَا مَنْ نَجَا، وَقُتِلَ مَنْ قُتِلَ.
Maksudnya: Suatu kaum daripada penduduk Makkah memeluk Islam dan mereka menyembunyikan Islam. Kaum musyrikin membuatkan mereka keluar (secara terpaksa) dalam perang Badar bersama mereka. Sebahagian daripada kaum itu tercedera dan sebahagian mereka yang lain terbunuh. Orang Islam berkata: “Mereka ialah saudara-saudara kami yang Islam dan mereka dipaksa, maka beristighfarlah untuk mereka,” lalu turun ayat: (إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ) sehingga akhir ayat. Ibn Abbas R.Anhuma berkata: “Ayat ini dituliskan kepada sesiapa yang masih berada di Makkah daripada kalangan orang Islam (untuk menyatakan) bahawa tiada lagi alasan untuk mereka (tinggal di Makkah).” Ibn Abbas R.Anhuma berkata: “Mereka pun keluar tetapi diekori oleh kaum musyrikin dan kaum musyrikin tersebut telah menyusahkan dan menimbulkan pelbagai masalah kepada orang Islam Makkah, maka turunlah ayat ini: (وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ فَإِذَا أُوذِيَ فِي اللَّهِ جَعَلَ فِتْـنَةَ النَّاسِ كَعَذَابِ اللَّهِ) sehingga akhir ayat. Orang Islam pun menulis perkara itu kepada orang Islam di Makkah, lalu mereka pun keluar dan berasa putus asa daripada semua kebaikan, kemudian turunlah ayat berkenaan mereka: ( ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ هَاجَرُوا مِنْ بَعْدِ مَا فُتِنُوا، ثُمَّ جَاهَدُوا وَصَبَـرُوا، إِنَّ رَبَّكَ مِنْ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَحِيمٌ).Kaum Muslimin juga menulis perkara itu kepada orang Islam Makkah untuk menyatakan bahawa sesungguhnya Allah telah menjadikan jalan keluar untuk kamu. Maka orang Islam di Makkah pun keluar, tetapi orang musyrikin sempat sampai kepada mereka dan menyerang mereka. Akibat daripada serangan tersebut, selamatlah sesiapa yang terselamat dan dibunuh sesiapa yang dibunuh.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 14/379)
Murtad adalah sebesar-besar jenayah dalam Islam dan para pelakunya akan ditimpa azab yang pedih di hari akhirat kelak. Ayat-ayat ini menceritakan dua keadaan orang yang murtad iaitu mereka yang murtad dengan sebenar-benarnya serta dengan kerelaan hatinya dan juga mereka yang dipaksa untuk murtad. Allah menjelaskan bahawa mereka yang murtad dengan rela hatinya setelah memeluk agama Islam akan ditimpa kemurkaan yang dahsyat, dan pada hari kiamat akan ditimpa azab yang pedih sekiranya mati dalam keadaan sedemikian. Setelah itu dijelaskan faktor yang menyebabkan mereka murtad, iaitu kasihnya mereka kepada dunia melebihi cinta mereka kepada akhirat. Oleh kerana pilihan mereka untuk kembali kepada kekufuran, maka Allah sekali-kali tidak akan memberi petunjuk keimanan mereka. (Lihat Ma‘arij al-Tafakkur wa Daqa‘iq al-Tadabbur, 13/652)
Hukum Murtad kerana Terpaksa
Telah berlaku ijma‘ dalam kalangan ulama bahawa seseorang yang dipaksa untuk kufur sehingga menyebabkan dia khuatir dan bimbang ke atas keselamatan dirinya, maka tidak ada dosa baginya, jika dia melafazkan kata-kata yang menyebabkan dia terkeluar daripada agama Islam dengan syarat hatinya tetap teguh beriman kepada Allah. Fakhruddin al-Razi menyatakan bahawa (الإكراه) yakni paksaan boleh dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu:
- Wajib seseorang yang dipaksa untuk melakukan arahan orang yang memaksanya. Contohnya, jika dia dipaksa dengan ancaman pedang atau apa sahaja senjata yang boleh membunuh supaya minum arak, makan babi atau makan bangkai, maka dalam situasi itu dia wajib melakukan apa yang diarahkan kepadanya. Ini adalah kerana memelihara nyawa adalah wajib.
- Tidak diwajibkan mematuhi arahan orang yang memaksanya, sebaliknya dia diharuskan untuk berbuat demikian. Contohnya, jika dipaksa melafazkan perkataan yang boleh membawa kekufuran, dia harus melafazkannya.
- Tidak wajib menuruti kehendak orang yang memaksanya, bahkan haram menuruti kehendaknya. Contohnya, jika dia dipaksa untuk membunuh orang lain, ataupun dipaksa untuk memotong mana-mana anggota badan orang lain, maka haram baginya berbuat demikian. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 20/124-125; Tafsir al-Bayan, 3/75-76)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa seseorang yang dipaksa untuk murtad dengan ancaman pedang atau apa sahaja senjata yang boleh membunuhnya maka dalam situasi itu dia wajib melakukan apa yang diarahkan kepadanya dengan syarat hatinya tidak mengakuinya dan meredhainya. Ini adalah kerana memelihara nyawa adalah wajib. Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada ancaman sebegini
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”